Pandangan Fowler Tentang Keputusan Liverpool Menandatangani Darwin Nunez

Robbie Fowler merupakan pemain yang pernah berjaya menjaringkan 182 gol dari 368 perlawanan untuk Liverpool dan beliau baru-baru ini telah tampil memberikan pendapatnya tentang keputusan The Reds menandatangani Darwin Nunez dari Benfica.

Legenda Liverpool itu menegaskan yang beliau melihat keputusan bekas kelabnya menandatangani pemain penyerang itu sebagai satu tindakan yang sungguh menakjubkan.

Sudah hampir seminggu kini telah tersebar berita tentang keputusan Liverpool mahu menandatangani Darwin Nunez di media sosial.

Pemain berusia 22 tahun itu bahkan dilaporkan akan menjadi pemain Liverpool secara rasmi dalam tempoh beberapa hari lagi.

Pemain penyerang kebangsaan Uruguay itu berjaya menjaringkan 34 gol dari 41 penampilan bersama Benfica dalam semua pertandingan musim lalu.

34 gol itu termasuklah enam gol dalam saingan Champions League dengan beliau berjaya membantu Benfica untuk layak hingga ke peringkat suku akhir.

Sebelum ini Manchester United merupakan pasukan yang paling berminat mahu mendapatkan khidmat Darwin Nunez dari Benfica.

Namun dengan tiba-tiba Liverpool tampil sebagai pencabar dengan mereka turut menyatakan minat mahu mendapatkan pemain penyerang itu.

Kini Liverpool dilaporkan sudah berjaya melengkapkan perpindahan Darwin Nunez dari Benfica dengan yuran perpindahan bernilai €100 juta.

Fowler kini tampil memberi pandangan beliau tentang urusan perpindahan tersebut dengan menyatakan:

“Nampaknya ia satu perancangan yang bijak untuk menggantikan Sadio Mane dengan Nunez.”

“Tambahan pula gaji yang Nunez terima kini separuh lebih rendah berbanding gaji yang Mane minta untuk kekal bersama Liverpool.”

Legenda England yang kini berusia 47 tahun itu turut menegaskan bahawa:

“Sudah tentu, ia satu pertaruhan besar.”

“Jika ada pengurus yang boleh dapatkan yang terbaik dari dia(Nunez) pengurus itu adalah Jurgen Klopp. Kamu dah lihat dia lakukan bersama Salah dan Mane, tidak lupakan dengan Lewandowski di Dortmund.”

Tambah Fowler lagi.

Legenda Liverpool itu sangat yakin dan percaya yang Darwin Nunez bakal menjadi bintang besar bersama The Reds dan akan bersinar di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Memandangkan nilai yang Liverpool bayar untuk mendapatkan khidmatnya merupakan nilai yang sangat tinggi, maka tidak hairanlah jika semua mata akan tertumpu kepada Darwin Nunez musim hadapan.

Sudah tentu para peminat berharap agar beliau akan mampu menunjukkan tahap persembahan terbaiknya bersama Liverpool dan akan menjadi antara pemain penyerang paling digeruni dalam saingan Premier League.

Tidak mustahil juga akan ada peminat yang bakal meletakkan kepercayaan kepada Darwin Nunez untuk memenangi anugerah kasut emas musim hadapan.

Mungkin agak sukar untuk Darwin Nunez melakukan hal itu, namun tak mustahil untuk beliau berjaya menjadi mesin peledak gol terbaik Liverpool di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Beliau akan mendapat sokongan dari pemain seperti Mo Salah, Luis Diaz, Diogo Jota, Roberto Firmino di bahagian serangan, dan beliau juga bakal mendapat sokongan dari duo full back The Reds, Trent Alexander Arnold dan Andy Robertson.

Duo full back terbaik dunia itu jelas sekali akan lebih gembira memiliki Darwin Nunez di bahagian hadapan dengan mereka selepas ini tahu setiap hantaran mereka akan disudahi dengan sempurna oleh penyerang berkualiti seperti Nunez.

Sebelum ini tular video yang menunjukkan bagaimana teruknya sentuhan pertama Nunez ketika beraksi bersama Benfica dan skuad kebangsaan Uruguay.

Namun ada peminat yang menafikan hal tersebut dan menganggap video itu merangkumkan aksi Nunez yang terdahulu dan pemain penyerang itu pada musim lalu sudah berjaya perbaiki kelemahan beliau itu.

Walau bagaimanapun, untuk tahu sama ada sentuhan pertama beliau masih dungu atau tidak, jelas sekali para peminat perlu menunggu bermulanya musim baharu nanti.

BACA:  Darwin Nunez Istikamah Menembak Langit Meskipun Dalam Latihan