Pandangan Mane Tentang Pembatalan Liga Menyentuh Hati

Sadio Mane menganggap niat dan tindakan untuk membatalkan liga itu sebagai satu perkara yang gila.

Tetapi bagi dirinya, bersatu dalam usaha untuk memerangi penularan virus Covid-19 adalah perkara yang lebih penting dari segalanya.

Walau sedih liga terpaksa dibatalkan dek kerana isu wabak Covid-19, bagi Mane, nyawa dan keselamatan lebih penting.

Pasukannya, Liverpool kini sedang selesa mendahului saingan Liga untuk memenangi gelaran premier league pertama mereka dalam tempoh 30 tahun.

Mereka terlalu hampir untuk mendapatkan gelaran juara, tetapi menurut Mane sendiri, beliau tidak mahu memikirkan hal itu, apa yang penting keselamatan semua pihak.

“Kadang kala saya rasa bola sepak itu adalah sebahagian dari kehidupan saya,kadang kala saya rasa sukar melalui hari-hari saya tanpa bola sepak.”

“Tetapi, sampai satu tahap,saya bertanya kepada diri sendiri, ‘wow apa yang sedang terjadi kepada dunia ini sekarang?’ lalu saya jadi tidak berminat untuk mendengar tentang bola sepak.”

Jelas Mane kepada SPORTbible.

“Apa yang paling penting sebelum kita bermain bola sepak adalah memastikan semua orang sihat. Nyawa itu lebih penting dari segalanya.”

“Jadi kita semua perlu bersatu, bersama melawan wabak Covid-19 dan singkirkan virus itu dari dunia kita. Virus itu sedang melanda dunia dan percayalah dia akan pergi juga.”

Penyerang Liverpool itu kelihatan sedih bila bicarakan tentang kejuaraan liga tetapi beliau nampak bersemangat bila berbicara tentang melawan virus Covid-19.

Mane turut ditanya pandangan dan perasaannya jika saingan liga musim ini dibatalkan.

“Ia akan membuatkan saya berasa sangat, sangat, sangat sedih jika liga dibatalkan.”

“Kami sudah mendahului dengan kelebihan 25 mata, dari sembilan baki perlawanan cukup dengan satu atau dua kemenangan, kami sudah bergelar juara. Tetapi ia boleh dibatalkan, itu tidak cukup sedih?”

Kata Mane ketika ditanya tentang pandangan beliau berkaitan isu pembatalan liga.

“Ia akan menjadi salah satu detik duka lara yang penuh kekecewaan dan ia juga adalah hal yang gila untuk semua orang dalam pasukan sehebat Liverpool.”

“Tetapi kami semua masih positif. Saya rasa musim ini akan berakhir dengan cara sepatutnya, dan Liverpool akan diberi gelaran kejuaraan. Semoga saja ia terjadi! Dan walaupun kamu bukan penyokong Liverpool kamu juga setuju bukan?’

Mane tersenyum sebaik memberi jawapannya kepada wartawan dari SPORTbible dalam temu bual melalui panggilan video itu.

Walau bagaimanapun, Mane tetap berpendirian bahawa nyawa dan keselamatan lebih diutamakan berbanding kejuaraan Liga.

Beliau sangat berharap dunia akan kembali tenang dan aman dari ancaman wabak Covid-19.

Untuk kejuaraan Liga, Mane menyerahkan sepenuhnya kepada pihak FA untuk menentukan apa yang terbaik dan sebagai pencinta bola sepak beliau menyokong apa jua keputusan dari mereka.

BACA:  Mane Dedah Punca Sebenar Tolak Lamaran Lumayan Manchester United