Pandangan Ralf Rangnick Tentang Klopp Dan Liverpool

Ralf Rangnick ketika ini sudah semakin hampir pasti untuk dilantik sebagai pengurus interim Manchester United, dengan pihak kelab mahu menawarkan kontrak selama enam bulan kepadanya.

Ketika ini ramai yang membicarakan tentang kehebatan dan kebijaksanaan beliau dalam dunia pengurusan, dan hal itu sememangnya tidak boleh dinafikan.

Sebelum nama beliau disebut-sebut seperti hari ini, Ralf Rangnick pernah memberikan pandangan peribadi beliau tentang Jurgen Klopp dan para pemainnya di Anfield.

Ralf Rangnick dianggap sebagai salah seorang pengurus paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak Jerman, dan ramai pengurus modern ini yang menjadikan beliau sebagai inspirasi.

Agak mengejutkan untuk melihat Rangnick memberikan pujian menggunung kepada rakan senegaranya Jurgen Klopp, walaupun falsafah yang digunapakai oleh mereka sama.

Pengurus Liverpool itu sering diberi pujian dan dianggap sebagai pakar dalam mengamalkan corak permainan Gegenpressing dan bermain secara high-intensity, sejak dari kariernya bersama Borussia Dortmund lagi.

Walau bagaimanapun, falsafah yang digunapakai oleh Jurgen Klopp itu sebenarnya telah digunakan terlebih dahulu oleh Rangnick ketika kariernya bersama Stuttgart dan Ulm.

Ia secara tidak langsung membuktikan yang Rangnick adalah pengasas sebenar corak permainan Gegenpressing yang diamalkan oleh Jurgen Klopp.

Ketika Klopp mula masuk ke dunia pengurusan bersama Mainz pada awal tahun 2000 yang lalu, beliau mengguna dan menggabungkan kesemua prinsip ini dalam taktikalnya.

Dua dekad kemudian, walaupun Rangnick merupakan pengasas kepada asas permainan tersebut, namun beliau tetap memberikan pujian yang menggunung atas hasil kerja yang ditunjukkan oleh Jurgen Klopp itu.

Beliau sangat berbangga dan teruja melihat bagaimana Jurgen Klopp membina gandingan trio serangan Liverpool yang kini dianggap sebagai jentera serangan terhebat dunia itu.

“Salah, Firmino dan Mane. Tiga pemain dari tiga negara berbeza.”

Jelas Rangnick kepada Coaches Voice.

“Ketika mereka menyertai Liverpool, tidak ada sesiapa antara mereka yang semula jadi dilahirkan sebagai ball winners. Mereka bukan mesin pressing.”

“Jadi cara bagaimana mereka bermain bersama Liverpool merupakan kerja keras dari pengurus dan jurulatih.”

Beliau tidak dinafikan lagi seorang professor taktikal dalam dunia bola sepak dan beliau juga jelas sekali sudah sangat faham dengan semua falsafah yang ada.

Kerana itulah beliau tidak berselindung memuji kemampuan Jurgen Klopp dan mengakui bekas pengurus Borussia Dortmund itu memiliki bakat semula jadi yang sungguh hebat.

Ketika beliau masih lagi menjadi pengurus RB Leipzig pada tahun 2019 yang lalu, beliau telah menjelaskan tentang persamaan antara pendekatan yang beliau gunakan dan falsafah yang Klopp pegang.

“Corak permainan hampir sama dengan Jurgen Klopp. Ia proaktif, high pressing, counter-pressing. Sebaik kita memenangi bola, kita tidak perlu buang masa untuk bermain square passes atau back passes.”

Jelas Rangnick kepada Sky Sports.

“Ia jelas sekali bukan kebetulan yang Jurgen Klopp ada empat bekas pemain saya, (Roberto Firmino, Naby Keita, Sadio Mane dan Joel Matip) kerana ia menunjukkan kami sama. Bahkan dia juga mencari jenis pemain yang sama, aset yang sama dengan mentaliti yang sama.”

Rangnick sememangnya mengangkat Klopp sebagai seorang pengurus yang hebat, dengan Jurgen Klopp sendiri tentunya sangat menghormati beliau.

Seandainya Rangnick benar-benar dilantik menjadi pengurus interim Manchester United selepas ini, sudah tentu sangat menarik untuk menyaksikan perang taktikal antara kedua-dua mereka jika bertemu nanti.

Kenali serba ringkas siapa Ralf Rangnick

Ralf Rangnick dianggap godfather dalam dunia pengurusan bola sepak Jerman, dengan beliau pernah menjadi pemain, pengurus dan terbaru sebagai Ketua Sukan dan pembangunan bersama Lokomotiv Moscow.

Ralf Rangnick memulakan karier sebagai pengurus pada tahun 1983 dengan beliau pada ketika itu baru berusia 25 tahun.

Rangnick merupakan pemain merangkap pengurus ketika kariernya bersama FC Victoria Backnang dari 1983 sehingga 1986.

Dari tahun 1986 sehingga 1987 beliau telah dilantik sebagai pengurus untuk Stuttgart II, sebelum dipanggil menjadi pemain merangkap pengurus untuk Lippoldsweiler pada tahun 1987 hingga 1988.

Beliau kemudiannya meneruskan kariernya sebagai pengurus bersama SC Korb, skuad bawah 19 tahun Stuttgart, akademi VfB Stuttgart, SSV Reutlingen, SSV Ulm 1846, VfB Stuttgart, Hannover 96, FC Schalke 04 dan TSG Hoffenheim.

Beliau pada tahun 2012 telah dilantik sebagai sporting director RB Salzburg dan setahun selepas itu beliau memegang jawatan sama bersama RB Leipzig.

Pada tahun 2015 hingga 2019, Ralf Rangnick telah dilantik sebagai pengurus RB Leipzig, dengan beliau kemudiannya menjadi Global sport director untuk RB Bragantino, Red Bulls, RB Salzburg dan RB Leipzig.

Dan terakhir sekali beliau memegang jawatan Ketua Sukan dan pembangunan bersama Lokomotiv Moscow.

Pencapaian

Sepanjang kariernya sebagai pengurus, Ralf Rangnick pernah memenangi pelbagai kejuaraan di Austria dan Jerman.

Bersama FC Schalke 04, beliau berjaya memenangi German Super Cup pada musim 2011/12, German League Cup musim 2005/06, German Cup pada musim 2011/12.

Bersama Hannover 96 berjaya memenangi gelaran division kedua saingan bola sepak Jerman pada musim 2001/02.

Ralf Rangnick berjaya memenangi dua gelaran liga Austria dan dua Austrian Cup bersama Red Bull Salzburg pada musim 2013/14 dan 2014/15.

Pengalaman yang beliau miliki, tidak dinafikan lagi sememangnya sungguh luar biasa menakjubkan dengan Ralf Rangnick turut dianggap sebagai guru kepada Jurgen Klopp dan Thomas Tuchel.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Klopp: Liverpool Tidak Akan Jual Pemain Kepada Seteru Pada Pertengahan Musim