Panenka Bertukar Menjadi Petaka

Sepakan penalti panenka bukanlah satu teknik yang semudah kita lihat dan memerlukan teknik serta keyakinan yang tinggi untuk melakukannya kerana panenka boleh bertukar menjadi petaka.

Sepakan Penalti yang digelar Panenka dicipta oleh Antonín Panenka di mana sepakan dibuat dengan chip yang lembut ke tengah gol dan menjunam masuk dengan begitu mengasyikkan serta mempesonakan.

Ademola Lookman tampil mengambil sepakan penalti pada minit ke-98 permainan untuk membantu Fulham setidak-tidaknya membawa pulang satu mata beharga, ketika dalam aksi perlawanan bertemu West Ham awal pagi tadi.

Namun tindakan dungunya yang mencuba untuk menggunakan teknik panenka berakhir dengan tragedi yang sungguh mengerikan untuknya.

Fulham berkunjung ke London Stadium untuk bertemu West Ham United dalam perlawanan saingan Liga Perdana Inggeris.

Kedua-dua pasukan menamatkan 90 minit sebenar permainan dengan tidak menjaringkan sebarang gol, walau kedua-dua pasukan berjaya melancarkan beberapa siri percubaan berbahaya ke kubu lawan.

Ketika perlawanan masuk ke masa kecederaan, Thomas Soucek berjaya menjaringkan gol pembukaan serta gol kemenangan untuk West Ham United menewaskan Fulham 1-0.

Para pemain pasukan tuan rumah meraikan jaringan tersebut dengan penuh kegembiraan kerana yakin bahawa mereka akan berjaya peroleh tiga mata penuh dalam perlawanan ini.

Namun, ketika perlawanan sudah hampir tamat, Said Benrahma telah menjatuhkan Tom Cairney di dalam kotak penalti West Ham di saat Fulham sedang memburu gol penyamaan.

Pengadil perlawanan, Robert Jones telah meniupkan wisel dan menghadiahkan sepakan penalti kepada Fulham sebelum wisel penamat dibunyikan.

Lookman diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut dan mendapatkan jaringan penyamaan untuk Fulham mengikat West Ham 1-1.

Lookman melakukan teknik panenka ketika mengambil sepakan penalti tersebut namun ianya gagal dan sama sekali tidak menjadi.

Niat mahu menjaringkan gol dengan gaya yang bermutu berubah menjadi kegagalan yang memperoleh ribuan kecaman.

Fabianski ketika itu tidak melakukan gerakan, sebaliknya bola sepakan dari Lookman tepat menuju ke tanggannya dengan begitu lemah.

Scott Parker kelihatan sangat tidak gembira melihat pemain berusia 23 tahun itu menyesali tindakan dungunya yang menyebabkan Fulham tewas dalam perlawanan tersebut.

Para peminat turut memberi reaksi terhadap insiden tersebut di media sosial dan kebanyakkannya seakan tidak faham mengapa pemain pinjaman dari RB Leipzig itu memikirkan bahawa tindakan yang beliau cuba lakukan itu merupakan langkah yang bijak.

Kemenangan West Ham dalam perlawanan ini membawa mereka ke kedudukan ke-11 dalam saingan liga sementara Fulham pula kekal di tangga ke-17 dan hanya dipisahkan satu mata sahaja dari zon penyingkiran.

Panenka menjadi ikonik dan cap dagang kepada empunya badan kerana jaringan inilah yang mengesahkan Czechoslovakia sebagai juara EURO 1976 ketika menewaskan Jerman Barat di penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2.

Sepakan ini kemudian ditiru dengan jayanya oleh Zinedine Zidane, Omar Abdulrahman, Andrea Pirlo, Robin van Persie, Shebby Singh, Nazrin Nawi, Svetoslav Dyakov, Antonio Cassano, Pato dan ramai lagi.

Ketua pasukan Real Madrid yang juga merupakan bekas rakan sepasukan Ronaldo, Sergio Ramos antara pemain yang kerap melakukan sepakan Panenka ketika mengambil sepakan penalti kebelakangan ini

BACA:  Panenka Pemain Indonesia Bertukar Menjadi Kelakar