Pasukan Dari Premier League Mahu Selamatkan Karier Van de Beek

Karier Van de Beek bakal diselamatkan oleh salah sebuah pasukan dalam saingan Premier League, dengan Everton dilaporkan sangat berminat untuk menandatangani bintang Belanda itu.

Football Director Everton, Marcel Brands telah mengesahkan yang mereka sangat berminat untuk menandatangani bintang Manchester United itu pada jendela perpindahan Januari nanti.

The Toffees dilaporkan sudah hampir untuk mendapatkan khidmat bekas bintang Ajax itu pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Namun beberapa hari sebelum jendela perpindahan ditutup, Manchester United mengubah keputusan mereka dan membatalkan rundingan tersebut.

Maka pada jendela perpindahan Januari ini, Everton akan sekali lagi berusaha untuk mendapatkan tandatangan pemain kebangsaan Belanda itu.

“Kita ada dia (Van de Beek) dalam senarai kita.”

Jelas Brands kepada media Belanda, NOS.

“Pada awal jendela perpindahan sebelum ini, kami menyatakan minat kepada Manchester United, dan semuanya nampak berjalan pancar.”

“Pada hujung jendela perpindahan, saya dapat panggilan dari Guido Albers, ejen dia, yang mana dia mungkin akan dipinjamkan buat seketika. Tapi di saat-saat akhir, rundingan dibatalkan.”

Ketika ditanya sama ada beliau dan pengurus kelab, Rafael Benitez masih berminat untuk mendapatkan pemain berusia 24 tahun itu tiga bulan dari sekarang, Brands kemudiannya menjawab:

“Kita senantiasa berharap sama ada kelab mahu beri kerjasama atau tidak.”

Sambung Brands lagi.

“Dan ini masih awal Oktober, masih banyak yang akan berlaku, mungkin kecederaan. United ada banyak gandingan di bahagian hadapan. Ia sukar untuk dikatakan sekarang.”

Sejak menyertai Manchester United pada musim panas lalu, Van de Beek hanya sempat membuat 39 penampilan sahaja dalam semua pertandingan.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya menjaringkan satu gol dan turut mencatatkan dua assist. Namun tidak dinafikan yang minit permainan untuk bintang Belanda itu sangat minimum.

Ketika aksi kemenangan 2-1 setan merah menewaskan Villarreal dalam aksi saingan Champions League sebelum ini, Van de Beek dilihat bengang kerana tidak diturunkan.

Beliau dilihat mencampakkan gula getah ke arah Ole Gunnar Solskjaer sambil rakan sepasukannya cuba menenangkan beliau yang ketika itu berada di bangku simpanan.

Brands yang memainkan peranan penting dalam menaikkan Everton sejak tahun 2018 yang lalu, turut meluahkan rasa kesalnya beliau melihat nasib pemain midfield itu.

“Jelas sekali saya sangat kasihan pada Donny.”

Jelas bekas football Director, PSV Eindhoven itu.

“Dia seorang pemain yang sangat bagus, tidak diragukan tentang itu.”

“Seorang pemain yang sentiasa mahu bermain dan berhasrat untuk kembali sertai skuad kebangsaan Belanda. Tapi kamu tahu, jika berada di sebuah kelab yang besar, persaingan di sana juga semakin sukar.”

Mungkinkah Van de Beek bakal mengikut jejak langkah pemain seperti Phil Neville, Darron Gibson, Louis Saha, Tom Cleverley dan Wayne Rooney untuk berhijrah dari Manchester United ke Everton?

Andai Brands benar-benar mahu menyelamatkan karier bintang Belanda itu, ia tentu bakal menjadi pelaburan yang berbaloi untuk Everton yang jelas memerlukan pemain seperti de Beek.

Namun begitu, seperti yang dimaksudkan oleh Brands, semuanya bergantung kepada United, andai mereka mahu melepaskan de Beek, maka ia bakal menjadi berita baik untuk semua.

Ole Gunnar Solskjaer sebelum ini menyatakan yang de Beek ada dalam perancangan beliau, dan kerana itulah bintang Belanda itu menolak untuk sertai Everton.

Namun hakikatnya, sehingga kini beliau jelas masih tiada perancangan untuk bekas bintang Ajax itu, dan sering memberi alasan untuk tidak menurunkannya.

Maka adalah lebih baik andai beliau lepaskan saja de Beek agar bintang Belanda itu dapat minit permainan yang beliau mahukan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  United Perlu Ikat Tiga Pemain Baru Untuk Tewaskan Liverpool Dan City