Pasukan Gambia Berdepan Situasi Cemas Pesawat Kekurangan Oksigen

Pasukan bola sepak kebangsaan Gambia berdepan situasi cemas, getir dan mendebarkan apabila pesawat dinaiki mereka mengalami masalah kekurangan oksigen ketika sudah berlepas dan berada di udara.

Pesawat membawa pemain Gambia dan pegawai pasukan telah pun berlepas selama 9 minit menuju ke Ivory Coast untuk kejohana Piala Negara Afrika (AFCON) dan terpaksa berpatah balik apabila pembantu juruterbang mengesan masalah tekanan udara.

Situasi ini mungkin berpunca dari saiz pesawat terlalu kecil untuk menampung jumlah pemain dan pegawai lalu menyebabkan berlakunya kekurangan oksigen di dalam ruang kabin pesawat.

Walaupun baru 9 minit di udara, situasi itu telah menyebabkan beberapa orang pemain pengsan dan dua orang pemain dilaporkan mengalami trauma namun tidak kritikal. Gila tak trauma.

Melalui laman Facebook rasmi mereka, Gambia Football Federation telah mengeluarkan kenyataan Rasmi mengenai insiden ini:

“Persekutuan Bola Sepak Gambia (GFF) kesal untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa Penerbangan yang disewa untuk membawa Scorpions ke Piala Negara Afrika telah kembali ke Banjul kerana masalah teknikal. Penerbangan itu telah sembilan minit berada di udara apabila anak kapal menyedari dan segera meminta untuk kembali ke Banjul.

Semasa mendarat, siasatan awal menunjukkan bahawa terdapat kehilangan tekanan kabin dan oksigen. Bagaimanapun, pasukan teknikal syarikat pengendali penerbangan itu, Air Cote d’Ivoire sedang menilai lebih lanjut keadaan untuk menentukan punca kekurangan oksigen dan tekanan kabin.

Sehubungan itu, pasukan termasuk pemain dan kakitangan kini dalam perjalanan ke pangkalan di Hotel Ocean Bay sambil menunggu arahan selanjutnya. Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa setiap ahli delegasi adalah selamat dan sihat.

Orang ramai akan dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan mengenai perkara itu. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin ditimbulkan oleh perkara ini kerana kami berusaha mencari penyelesaian pantas untuk pasukan itu pergi ke Ivory Coast secepat mungkin.”

Beberapa jam selepas itu Gambia Football Federation mengeluarkan satu lagi kenyataan bahawa mereka akan meneruskan perjalanan ke Ivory Coast bagi membawa cabaran negara dengan menaiki pesawat Airbus 319 hasil campur tangan Tuan Yang Terutama Presiden Adama Barrow.

“Persekutuan Bola Sepak Gambia dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Scorpions akan meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Banjul pada jam 4 petang hari ini berikutan campur tangan Tuan Yang Terutama Presiden Adama Barrow.

Kerana pasukan itu ingin terbang terus ke Yamoussoukro, yang merupakan lapangan terbang yang lebih kecil dan atas sebab keselamatan, kelulusan khas diperlukan untuk penerbangan yang lebih besar untuk mendarat di sana. Oleh itu, Presiden Barrow telah berhubung dengan rakan sejawatannya dari Ivory Coast Alassane Ouattara mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, Air Côte d’Ivoire telah pun menghantar sebuah Airbus 319 yang akan tiba di Banjul pada tengah hari untuk membawa pasukan itu. Permit juga telah diberikan untuk Airbus mendarat di Yamoussoukro dan bukannya Abidjan.

GFF mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat kerana menunjukkan sikap negarawan sekali lagi dalam campur tangan dan mencari penyelesaian yang cepat.”

Beberapa jam lalu ketika artikel ini dinukilkan Gambia Football Federation telah menyatakan ‘Alhamdulillah’ kerana para pemain dan pegawai Scorpion telah selamat tiba dan mendarat di Yamoussoukro.

Baca Juga

Baca Juga