Pasukan Ketiga Layak Ke Piala Dunia, Denmark Cipta Rekod Yang Sungguh Menakjubkan

Denmark berjaya menjadi pasukan ketiga yang layak ke saingan Piala Dunia 2022 selepas Jerman dan tuan rumah Qatar.

Mereka layak selepas mengharungi pusingan kelayakan yang sungguh menakjubkan dengan mencatatkan lapan kemenangan tanpa kalah.

Lebih menakjubkan lagi, selain merekodkan kemenangan 100 peratus, Denmark berjaya mengharungi kesemua perlawanan di peringkat kelayakan dengan tanpa bolos.

Berbaki dua perlawanan untuk dimainkan, Denmark sudah mengesahkan tempat untuk mereka di temasya terbesar dalam dunia bola sepak itu.

Pasukan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir saingan Euro 2020 itu layak untuk beraksi di saingan Piala Dunia selepas mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Austria.

Pemain terbaik mereka pada ketika ini, Joakim Maehle menjadi penjaring gol dalam perlawanan tersebut, seterusnya menjadi gol kemenangan yang membawa Denmark ke pentas Piala Dunia.

Denmark ketika ini selesa mendahului saingan peringkat kumpulan F, selepas mengumpul 24 mata dan menjaringkan 27 gol tanpa mencatatkan sebarang bolos.

Berbaki dua perlawanan dan dengan Scotland yang berada di kedudukan kedua, kini tujuh mata di belakang mereka, jadi secara matematiknya, mustahil untuk mereka dipintas.

Skuad kendalian Kasper Hjulmand berjaya untuk menjadi pasukan kedua dari bumi Eropah yang melayakkan diri ke saingan Piala Dunia Qatar.

Jerman mengesahkan tempat untuk mereka di pentas Piala Dunia selepas mencatatkan kemenangan 4-0 menewaskan North Macedonia.

Ketua pasukan Denmark, Simon Kjaer percaya yang skuadnya akan berusaha sedaya upaya untuk mara lebih jauh dalam kejohanan yang akan dilangsungkan pada tahun hadapan.

Bercakap kepada Kanal 5, pemain yang diangkat sebagai wira penyelamat ketika saingan Euro 2020 itu menyatakan bahawa:

β€œKami sudah berjalan begitu jauh, namun kami masih tetap dahagakan kejayaan.”

β€œKami bina skuad ini dengan mentaliti yang sangat menakjubkan dan kami senantiasa berhasrat untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada.”

β€œKami berkongsi yang terbaik sesama kami dan menambah ia untuk memperbaiki kualiti kami, kami boleh pergi lebih jauh.”

Ia jelas sekali pencapaian yang sangat membanggakan untuk skuad Denmark, dan mereka sebenarnya antara pasukan yang perlu diberi perhatian dalam saingan Piala Dunia akan datang.

Seperti yang berlaku ketika saingan Euro 2020, Denmark dengan tidak diduga mampu untuk sampai ke peringkat separuh akhir, dan hampir untuk layak ke perlawanan akhir.

Melihat kepada persembahan semasa mereka, tidak mengejutkan andai Denmark bakal membuat kejutan di Qatar tahun hadapan.

Jerman yang ketika ini dikendalikan oleh Hansi Flick juga perlu diberi perhatian memandangkan mereka menjadi pasukan pertama selain Qatar yang mengesahkan tempat untuk beraksi dalam saingan Piala Dunia tahun hadapan.

Hansi Flick berjaya membantu Jerman mencatatkan lima kemenangan dari lima perlawanan, dengan mereka berjaya menjaringkan 18 gol dan hanya mencatatkan satu bolos sahaja.

Jelas sekali kedua-dua pasukan yang paling awal melayakkan diri ke saingan Piala Dunia ini, bakal menjadi antara pasukan pilihan yang dijangka akan pergi jauh dalam kejohanan tersebut nanti.

Sumber: SuperSport

BACA:Β  Detik Menyentuh Perasaan Selepas Pemain Denmark Sedar Mereka Layak ke Pusingan Kalah Mati