Patrice Evra Tiba di London, Bakal Sertai West Ham Sehingga Tamat Musim

Bekas pemain Manchester United, Patrice Evra telah tiba di padang latihan West Ham bagi melengkapkan perpindahan secara percuma ke kelab tersebut hari ini.

Pemain berusia 36 tahun ini dilihat berada di Kompleks Latihan Rush Green (pusat latihan West Ham) pagi Rabu dimana Evra dilaporkan bakal menandatangani kontrak jangka pendek bersama West Ham sehingga tamat musim ini.

Abang Long Setan Merah sudah pulang

Sumber Skysports melaporkan Everton turut berminat untuk membawa masuk Evra ke Goodison Park tetapi bekas pemain antarabangsa Perancis ini lebih berminat untuk tinggal di London.

Evra bermain bersama Manchester United selama 8 musim sebelum ini, termasuk semusim bermain di bawah pengurus West Ham sekarang, David Moyes pada musim 2013/2014.

Evra terlibat dalam kontroversi awal musim ini bersama kelab lamanya, Marseille selepas terlibat dalam satu pergaduhan dengan penyokong Marseille sendiri sebelum perlawanan Europa League di Portugal. Ekoran insiden tersebut, Evra telah dipecat Marseille dan turut digantung oleh UEFA.

Evra tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang pertandingan anjuran UEFA sehingga Jun 2018. Walaubagaimanapun, penggantungan ini hanya melibatkan kejohanan peringkat Eropah dan Evra masih boleh bermain dalam Liga Perdana Inggeris jika beliau menyertai West Ham.

Insiden yang menyebabkan Evra dipecat Marseille. Muka puas hati dapat tibai penyokong

Selain insiden tersebut, Evra juga pernah dibuang padang dalam satu perlawanan Europa League menentang Vitoria Nobember tahun lepas, selepas bertindak balas atas provokosi perkauman yang ditujukan kepadanya.

Evra berjaya mencatatkan 379 penampilan bersama Manchester United dan menjaringkan 3 gol dalam 9 musim bersama kelab tersebut. Beliau memenangi 5 Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara Eropah, 3 Piala Liga, 5 Perisai Komuniti, dan FIFA Piala Kelab Dunia.

Selepas Manchester United, beliau berhijrah ke Itali untuk bermain bersama Juventus selama dua tahun setengah. Evra pulang ke Perancis pada Januari tahun lepas untuk bersama dengan Marseille. Malangnya, jodoh beliau bersama Marseille tidak lama dengan pelbagai kontroversi berlaku di antara Evra dan penyokong kelab.

BACA:  Premier League 2020/21: Everton 1-3 Manchester United