Patson Daka Jaringkan 4 Gol Bantu Leicester Benam Spartak Moscow

Patson Daka telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan ketika membantu Leicester City membenam Spartak Moscow dalam saingan Europa League malam semalam.

Lebih dasyat lagi, beliau berjaya menjaringkan kesemua empat gol Leicester dalam perlawanan ini, dengan wakil dari Premier League itu cemerlang menewaskan Spartak 4-3.

Spartak terlebih dahulu mendahului perlawanan selepas mereka memperoleh gol pembukaan pada minit ke-11 permainan, menerusi Aleksandr Sobolev.

Satu minit sebelum tamat aksi babak pertama permainan, pasukan tuan rumah berjaya menggandakan kedudukan selepas Jordan Larsson meledak gol kedua untuk Spartak Moscow.

Sebelum rehat separuh masa, Patson Daka berjaya menjaringkan satu gol untuk Leicester City kembali beri saingan kepada Spartak.

Melihat kepada keputusan 2-1 selepas tamat aksi babak pertama, ramai yang percaya Spartak Moscow akan mampu merobek lagi gawang gol Leicester, seterusnya mengutip tiga mata berharga.

Walau bagaimanapun, masuk saja aksi babak kedua permainan, Leicester City terlebih dahulu memperoleh gol dengan Patson Daka tenang membantu The Foxes untuk menyamakan kedudukan.

Enam minit sahaja selepas membantu Leicester City untuk menyamakan kedudukan, pemain kebangsaan Zambia itu berjaya mencatatkan hat-trick untuk gol ketiga Leicester.

Tidak sekadar terhenti di situ, pemain berusia 23 tahun itu kemudiannya meledak satu lagi gol, untuk mengubah kedudukan menjadi 4-2.

Empat gol dalam tempoh 74 minit jelas sekali merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan untuk Patson Daka, lebih-lebih lagi beliau melakukan hal tersebut di pentas bola sepak Eropah.

Minit ke-86 permainan, Aleksandr Sobolev menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini, seterusnya mengubah kedudukan menjadi 4-3.

Sayangnya, pasukan tuan rumah gagal untuk melakukan aksi comeback, dengan mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan 4-3 tewas di tangan gergasi Premier League itu.

Kemenangan ini merupakan yang pertama untuk Leicester City dalam saingan Europa League musim ini, dengan mereka pada ketika ini berada di kedudukan kedua dalam saingan peringkat kumpulan C.

Leicester City akan sekali lagi bertemu Spartak Moscow selepas ini pada 5 November nanti di King Power Stadium.

Kedua-dua pasukan jelas sekali masih berpotensi untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati, namun perlu memenangi kesemua baki perlawanan dalam aksi saingan peringkat kumpulan.

Patson Daka tentunya akan menjadi pemain yang akan diberi perhatian oleh pasukan lawan selepas ini, dek kerana aksi hebat yang beliau persembahkan.

Beliau minggu lalu turut berjaya muncul sebagai penjaring gol, yang mana Daka meledak gol keempat untuk Leicester City ketika menewaskan Manchester United 4-2 dalam saingan Premier League.

Kali ini, beliau berjaya menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan, dan tentunya semua mata akan tertumpu kepadanya selepas ini.

Tidak dinafikan juga, keputusan Leicester City untuk menandatangani bekas bintang Red Bull Salzburg ini tersangatlah tepat.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Leicester City Tewaskan Man City 1-0 Untuk Raih FA Community Shield