Paul Scholes: ‘Mainlah Macam Tu Lawan Liverpool Nanti,Tengok Apa Jadi’

Ketika para penyokong Manchester United sedang menikmati kegembiraan melihat pasukan kesayangan mereka melakukan comeback bertemu Atalanta, Scholes tampil merosakkan suasana.

Legenda setan merah itu jelas sekali tidak gembira dengan keputusan dalam perlawanan ini dengan beliau menganggap persembahan United masih teruk.

Paul Scholes percaya andai Manchester United mengekalkan corak persembahan yang sama bertemu Liverpool, maka mereka akan sekali lagi pulang dengan kedukaan.

Beliau merasakan corak permainan United masih tidak berada di tahap yang baik, dan kemenangan menewaskan Atalanta pada hari ini tidak sepatutnya diraikan seolah sudah menang Piala.

Manchester United berjaya mencatatkan kemenangan menewaskan Atalanta selepas mereka melakukan aksi comeback yang sungguh menakjubkan.

Ketinggalan 2-0 pada aksi babak pertama permainan, skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu sepertinya sudah bersedia untuk berdepan dengan satu lagi kekalahan.

Manusia paling tertekan dengan keputusan perlawanan tersebut tentunya Ole Gunnar Solskjaer dengan beliau pada ketika ini sedang teruk berdepan dengan kritikan dari pelbagai pihak.

Walau bagaimanapun, beliau berjaya menarik nafas lega selepas anak-anak buahnya mempamerkan aksi persembahan yang lebih baik pada aksi babak kedua permainan.

Setan merah berjaya memperoleh tiga gol pada aksi babak kedua, seterusnya mengesahkan kemenangan 3-2 mereka menewaskan Atalanta di halaman sendiri.

Para penyokong setan merah meraikan kemenangan ini seolah-olah mereka sudah selangkah ke perlawanan akhir, dan hal itu sama sekali tidak disenangi oleh Paul Scholes.

Legenda setan merah itu menganggap persembahan United pada aksi babak pertama sangat teruk, dan andainya mereka bertemu pasukan lebih baik, mustahil untuk mereka melakukan comeback.

“Jika kita bermain dengan pasukan yang lebih baik, mereka sudah tidak terkejar lagi. Kita bermain dengan Atalanta, pasukan yang kehilangan lima pemain utama mereka.”

“Saya tidak mahu merosakkan suasana tapi saya tidak begitu gembira dengannya.”

“Pergi dan lakukan itu ketika bertemu Liverpool Ahad ini, tengoklah apa akan berlaku.”

“Bayangkan Jurgen Klopp menonton dari rumah, sambil dia menggosok-gosok tangan dia.”

Apa yang cuba disampaikan oleh Scholes adalah, United tidak boleh terlalu bergantung dan percaya yang mereka boleh comeback.

Aksi babak pertama sebenarnya penting dalam menjadi penentu keputusan perlawanan, dan andai United bermain seteruk itu ketika bertemu pasukan seperti Liverpool, Manchester City dan Chelsea, sukar sebenarnya untuk mereka kembali dapatkan rentak pada aksi babak kedua.

Namun tidak dinafikan juga yang ada perubahan sedikit dari corak permainan United pada aksi babak kedua permainan.

Mereka sudah mula bermain bola hantaran silang untuk mencari Ronaldo di dalam kotak penalti, yang mana ia jelas akan memberi kelebihan kepada mereka.

Jika dilihat pada aksi United sebelum ini, dengan Sancho dan Greenwood di posisi sayap, mereka sangat jarang melakukan hantaran silang ke dalam kotak penalti.

Kedua-dua mereka lebih gemar cut-inside atau melakukan percubaan dari luar kotak berbanding memanfaatkan kelebihan memiliki Ronaldo di dalam kotak penalti.

Tugas berat menanti Manchester United selepas ini, dengan mereka akan berdepan dengan deretan perlawanan sukar, dan tentunya Ole Gunnar Solskjaer akan melakukan segala yang beliau mampu untuk mencatatkan keputusan terbaik dalam semua perlawanan tersebut.

Manchester United pada hujung minggu ini akan turun beraksi bertemu Liverpool yang sedang dalam rentak persembahan terbaik mereka.

Dengan rekod masih tidak terkalahkan, skuad kendalian Jurgen Klopp itu dilihat lebih berpotensi untuk mencatatkan kemenangan, seterusnya membawa pulang tiga mata berharga.

Namun begitu, melihat United kembali menemui rentak kemenangan, tidak boleh dinafikan yang mereka juga berkemungkinan akan membuat kejutan dengan menamatkan rekod bersih tidak terkalahkan Liverpool itu.

Sumber: BTSport

BACA:  Ronaldo Sempat Melawat Ferguson Selepas Juventus Tumpaskan Manchester United