Paul Scholes Menganjing Sancho Dan Antony

Bekas pemain Manchester United, Paul Scholes telah menganjing dan mengkritik Jadon Sancho dan Antony Santos selepas kekalahan memalukan Setan Merah kepada Manchester City.

Paul Scholes mungkin tidak bersiaran di studio untuk perlawanan itu lalu menggunakan media sosial miliknya untuk memberi pandangan.

Pemain legenda Manchester United itu telah menuduh Jadon Sancho dan Antony tidak memberi bantuan sedikit habuk pun kepada pemain full-back.

Diogo Dalot telah dilayangkan kad kuning seawal minit kedua dan Tyrell Malacia melalui perlawanan yang mahu dilupakan dan telah digantikan Luke Shaw pada separuh masa kedua.

Melalui laman Instagram Story, Paul Scholes telah melakukan kerja menganjing dengan meletakkan gambar Ryan Giggs dan David Beckham dengan kapsyen:

“Ada sesiapa ingat bilakah pemain sayap membantu full-back mereka?”

Kata-kata itu telah ditafsirkan dan dikatakan telah ditujukan kepada Jadon Sancho dan Antony dalam perlawanan mengharukan itu.

Sebelum ini Scholes sudahpun bebulu dengan Sancho dengan menghentam dan mengecam keputusan bekas kelabnya membawa masuk Jadon Sancho dan Raphael Varane ke Old Trafford pada musim panas lalu.

Dalam penampilannya di rancangan The Overlap kendalian Gary Neville, Scholes berkata:

“Jadon Sancho adalah pemain muda yang menyebabkan Manchester United membelanjakan banyak wang yang tidak terbukti hebat dalam liga. Dan kenapa kelab seperti Real Madrid melepaskan Varane?”

“Jika anda melihatnya musim lalu, dia kelihatan tidak betul. Saya tidak fikir ia adalah jendela perpindahan yang hebat. Tiada sesiapa di kelab yang bertanggungjawab untuknya.”

Jadon Sancho hadir dengan reputasi yang besar dari Borussia Dortmund namun gagal mengulangi apa yang dilakukannya di bumi Jerman dengan persembahan yang hambar musim lalu.

Kedua-dua Sancho dan Varane mempunyai permulaan yang sukar dalam karier di Old Trafford selepas pasukan itu mengharungi musim suram 21/22 yang menyaksikan mereka menamatkan dengan kutipan mata paling rendah dalam sejarah Setan Merah di Premier League.

Roy Keane yang berada distudio agak keras menghentam aksi Manchester United dan telah melabelkan aksi itu sebagai sesuatu yang memalukan.

Langsung tidak tertarik dengan persembahan bekas pasukannya, lalu Roy Keane berkata:

“Dari pandangan seorang pemain, mereka sepatutnya rasa malu. Kau tak boleh main perlawanan Derbi dan kena 4-0 di separuh masa pertama, ini sangat memalukan.”

“City sangat hebat, United pula sangat terdesak terutama di tengah. Pertahanan berterabur. Mereka jaringkan beberapa gol saguhati untuk penyedap hati tetapi perlawanan telah berakhir dan jadi milik City.”

Sementara itu, pengurus Manchester United, Erik Ten Hag telah menyifatkan para pemainnya kurang keyakinan dalam temuramah selepas tewas.

“Kamu kurang keyakinan, saya terkejut kenapa kami tidak membawa keyakinan ke padang.”

“Empat minggu lalu tapi saya lihat ini satu pasukan berbeza dengan semangat berbeza dan denyut yang berbeza.”

“Hari ini, kami tidak meyakinkan, dari minit pertama kami sudah kecut dan tidak berani memegang bola.”

Persembahan Manchester United menentang City ini seperti aksi mereka tewas dalam dua perlawanan awal seperti tidak pandai bermain bola tetapi versi sedikit baik kerana berjaya menjaringkan gol.

Situasi ini pasti membuatkan Erik Ten Hag pening dan terpaksa menggaru kepala walaupun tidak berambut dan tidak gatal.

“Sentiasa sukar untuk mencari punca kenapa, terutamanya sejurus selepas perlawanan. Saya perlu bercakap dengan pemain bagi mencari punca.”

United mungkin boleh reset semula semangat mereka tanpa mandi bunga atau berjumpa bomoh kerana akan bertemu Omonia Nicosia di Europa League. Takkan tak leh menang.

Everton pula akan menanti kunjungan Setan Merah di Goodison Park untuk perlawanan Premier League minggu hadapan.

BACA:  Sancho Diharamkan Makan Bersama Rakan Sepasukan Lain Oleh Ten Hag