Pegawai Bola Sepak Arab Saudi Mahu Kelab Pancing Mohammed Salah

Seorang pegawai bola sepak Arab Saudi dikenali sebagai Hafez Al-Medlej mahu kelab-kelab Saudi Pro League untuk memulakan usaha memancing Mohamed Salah dari Liverpool.

Pada masa ini kelab Arab Saudi turut sedang berusaha untuk memancing bintang Manchester City, Bernardo Silva – dalam usaha berterusan bola sepak negara itu merompak bintang ternama dari Eropah.

Setelah berjaya membawa masuk Cristiano Ronaldo untuk menyertai Al Nassr , beberapa nama besar lain seperti Karim Benzema dan N’Golo Kante kini turut sah akan beraksi bersama Al Itithad.

Manakala Ruben Neves kini berada di ambang perpindahan untuk menyertai Al Hilal selepas gagal mendapatkan tandatangan Lionel Messi.

Dua pemain Chelsea, Hakim Ziyech dan Kalidou Koulibaly pula dijangka akan diumumkan sebagai pemain baharu Al Nassr dan Al Hilal dalam masa terdekat, tatkala usaha membawa masuk Edouard Mendy dan Pierre-Emerick Aubameyang kini turut positif.

Pada awal bulan ini Saudi Investment Fund (PIF) mengambil alih 75% pegangan di dalam empat kelab paling berjaya Arab Saudi – Al-Ittihad, Al-Nassr, Al-Ahli, dan Al-Hilal – dengan sasaran memancing bakat-bakat terbaik bola sepak Eropah ke negara itu.

PIF adalah kumpulan firma yang sama berjaya mendapatkan pemilikan majoriti Newcastle United sebelum ini.

Al Medlej adalah pegawai bola sepak Arab Saudi yang pernah mengetuai Bahagian Komersial Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), selain turut pernah bergelar pegawai eksekutif badan bola sepak Asia itu.

“Semua pemain yang berpotensi akan kini mulai menjadi sasaran kelab Arab Saudi,” ujar Al Medlej baru-baru ini kepada Koura.

Walaupun langkah kelab-kelab Saudi Pro League memancing ramai pemain bintang eropah turut mendapat kritikan ramai Al Medlej yakin usaha memperkasakan bola sepak negara itu melalui kaedah tersebut tidak akan menerima nasib yang sama dengan Chinese Super League (CSL).

BACA:  Nainggolan Yakin Mampu Singkirkan Liverpool Seperti Mereka Lakukan Ketika Menentang Barcelona