Pekerman: Colombia Risau Dengan Kecederaan Yang Dialami James Rodriguez

Jurulatih Colombia, Jose Pekerman berkata beliau sangat risau dengan status kecederaan James Rodriguez selepas pemain tersebut terpaksa dibawa keluar ketika Colombia menang 1-0 ke atas Senegal semalam.

Pemain penting yang menjadi nadi pasukan Colombia Rodriguez terpaksa diusung keluar pada minit ke-31 selepas mengadu kesakitan di bahagian betis beliau.

Pemain harapan rakyat Colombia, James Rodriguez mungkin terpaksa melupakan niatnya untuk bermain menentang England sekiranya gagal pulih dengan cepat

Dalam perlawanan tersebut, Colombia berjaya mengesahkan tempat mereka di pusingan 16 pasukan terakhir selepas pemain pertahanan Barcelona, Yerry Mina berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menghantar Senegal pulang.

Colombia bakal bertemu England di pusingan seterusnya Selasa ini dan berharap perancang tengah, James Rodriguez sempat sembuh untuk beraksi dalam perlawanan itu nanti.

Jurulatih Colombia, Pekerman berkata kepada wartawan selepas perlawanan berakhir beliau risau dengan keadaan terkini pemain berusia 26 tahun itu tetapi enggan bercakap mengenai perkara tersebut lebih lanjut kerana Colombia baru sahaja mengesahkan tempat di pusingan seterusnya selepas menduduki tangga teratas kumpulan H.

Jurulatih Colombia, Jose Pekerman sempat menenangkan James yang jiwa kacau kerana terpaksa meninggalkan permainan

“Saya sangat risau dengan apa yang saya lihat berlaku kepada James Rodriguez tadi, ia merupakan situasi yang sukar buat seluruh pasukan.”

“Saya tidak mahu bercakap mengenai kecederaan James di sidang media kali ini, kerana ia mungkin membayangi kejayaan yang kami raih dalam perlawanan tadi. Tetapi apa yang saya boleh cakap adalah ia merupakan situasi yang kurang selesa buat kami.”

Rodriguez yang bermain untuk Bayern Munich musim lepas secara pinjaman dari Real Madrid hadir ke Russia dengan masalah kecederaan. Beliau bermula dari bangku simpanan ketika Colombia tumpas di tangan Jepun tempoh hari.

Walaubagaimanapun, beliau kembali ke dalam kesebelasan utama untuk perlawanan seterusnya menentang Poland dan membantu pasukannya mencatatkan kemenangan 3-0.

Apabila ditanya adakah Rodriguez mengalami kecederaan yang baru, Pekerman masih lagi tidak dapat mengesahkan perkara tersebut buat masa sekarang.

Pemain yang dianggap gagal di Barcelona, Yerry Mina muncul wira untuk negaranya apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk meletakkan Colombia di tangga teratas kumpulan

“Buat masa sekarang, kami tidak ada sebarang maklumat. Saya tidak dapat mengesahkan atau menafikan perkara tersebut.”

“James menjalani latihan dengan normal kelmarin seperti biasa. Beliau berada di padang latihan lebih lama untuk menjalani latihan sepakan percuma dan penalti, seperti yang beliau selalu lakukan.”

“Beliau memang sudah cergas sepenuhnya… tetapi buat masa sekarang, saya tidak tahu keadaan sebenar beliau selepas kecederaan tadi. Kami berharap akan mendengar berita gembira sebaik sahaja beliau pergi melakukan pemeriksaan.”

Colombia akan bertemu England dalam pusingan 16 pasukan terakhir pada 4 Jun ini, awal pagi Rabu pukul 2.00 a.m waktu Malaysia.

Baca Juga

Baca Juga