Pelan Kewangan Barcelona Mampu Jana Wang Segera Namun Masa Depan Kelab Mungkin Tergadai?

Barcelona dan krisis kewangan tidak dapat dipisahkan lagi sejak tempoh 2-3 tahun lalu dan selalu dilaporkan oleh media bakal menghadapi bangkrap jika situasi ini tidak ditangani dengan berhemah.

Masalah kewangan yang melanda Barcelona ini disebabkan hutang yang menimbun ditambah pula dengan bayaran gaji pemain yang teramat tinggi sehinggakan mereka tidak mampu untuk mengekalkan Lionel Messi.

Bekas juara La Liga ini sudah bersedia untuk membuat pengumuman rasmi bagi menyambung kontrak Lionel Messi untuk tempoh selama lima tahun lagi dan semuanya hanya menanti masa.

Kemudian telah keluar satu maklumat dalaman yang dibocorkan daripada kelab bahawa Messi tidak dapat dikekalkan disebabkan peraturan kewangan La Liga.

Akibatnya, situasi di antara Messi dan Barcelona terus ranap hanya dalam beberapa jam dan Messi memilih untuk ke PSG.

Disebalik masalah wang ini, La Blaugrana tidak mampu bersabar dan mahu terus berbelanja bagi mengembalikan kegemilangan kelab dengan kadar segera.

Barcelona merupakan kelab paling banyak berhutang di Eropah dan mengumpul hutang sebanyak €1.35 bilion (RM6.24 bilion) dan dilaporkan perlu membayar hutang sebanyak €500 juta (RM2.3 bilion) dalam tempoh terdekat.

Barcelona telah membuat satu pelan kewangan bagi menyelesaikan masalah hutang ini bagi menjana wang segera dan dua langkah dari rancangan ini dilihat boleh menggadai masa depan kelab.

Minggu lalu, ahli berdaftar Barcelona telah membuat undian dan memberi lampu hijau kepada proposal yang dibuat oleh Ahli Lembaga pengarah kelab bagi membolehkan pelan kewangan itu dilaksanakan.

Dua pelan kewangan telah dicadangkan sebagaimana dipersetujui adalah:

1. Barcelona menjual 49% pegangan ke atas hak perlesenan dan dagangan cenderahati termasuk jersi.
2. Barcelona menjual 25% pendapatan dari hak penyiaran televisyen dari perlawanan liga Sepanyol untuk tempoh 25 tahun.

Dengan menjual hak penyiaran tv dan cederahati ini Barcelona boleh menjana wang segera sebanyak €700 juta (RM3.23 bilion) dan menurut Presiden Barcelona. Juan Laporta wang yang dijana dari pelan ini mungkin lebih banyak.

Juan Laporta membandingkan kelabnya yang uzur dengan kereta perlumbaan Formula Satu yang memerlukan baik pulih sepenuhnya.

Beliau berkata bahawa kedua-dua operasi kewangan ini bermakna:

“Kereta F1 boleh meninggalkan pits dan kembali ke barisan hadapan grid untuk bersaing dan menang lagi.”

Laporta dan ahli lembaga pengarah lain tidak mendedahkan sebarang butiran mengenai tawaran atau bakal pembeli apabila ditanya oleh perwakilan.

Hak Penyiaran 25%

Barcelona melalui tuan Presidennya, Juan Laporta sudah bersedia melepaskan hak penyiaran televisyen liga domestik sahaja sebanyak 25% untuk tempoh 25 tahun yang bernilai €500 juta (RM2.3 bilion).

Menurut Laporta jualan setiap 10% pegangan itu membawa masuk €200 juta (RM924.74 juta) maka dengan jualan 25% maka benarlah €500 juta akan masuk ke kantung Barcelona.

Laporta berkata mereka sedang mengusahakan empat perjanjian berasingan dan mereka berharap dapat menyelesaikannya dengan cepat untuk keluar daripada had perbelanjaan yang dikenakan.

Barcelona memperoleh sekitar €165 juta daripada perjanjian hak penyiaran La Liga pada 2020-21.

Jika Barcelona menjana jumlah ini untuk 25 tahun akan datang dan mereka menjual 25% hak mereka, Barcelona sebenarnya telah memberikan lebih daripada €1 bilion kepada bakal pembeli.

Seperti pengeluaran duit KWSP RM10K, lebih baik mempunyai €500 juta sekarang daripada €41 juta setahun untuk 25 tahun akan datang. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa inflasi adalah perkara sebenar, barangan berharga lebih murah 25 tahun lalu.

Ini bermakna bakal pembeli akan mengeluarkan modal €500 juta dan bakal meraih €1 bilion dalam tempoh 25 tahun atau €41 juta setahun dan angka ini mungkin lebih. Satu pelaburan yang baik.

Perjanjian TV domestik La Liga akan meningkat nilainya bagi tahun mendatang.

Dan ini juga bermakna Barcelona mungkin akan memberikan lebih daripada €41j setahun (mungkin lebih banyak) dalam tempoh masa itu Barcelona juga, sudah tentu akan menjana pendapatan lebih banyak kerana mereka masih mempunyai 75% pegangan.

Hak Cenderahati 49%

Penjualan hak perlesenan dan dagangan cenderahati termasuklah jersi bakal dilepaskan pegangan sebanyak 49% bagi meraih pulangan segera antara €200 – €300 juta (RM924.74 juta – RM1.4 juta).

Tahun lalu di fasa pra-pandemik Barcelona telah menjana pendapatan €63 juta setahun melalui penjualan cenderahati mereka walaupun kedai cenderhati ditutu, tiada penonton di stadium.

Muzium Barcelona yang merupakan destinasi kedua yang paling ramai pengunjung di Sepanyol selepas Prada di Madrid juga telah ditutup ketika itu.

Penjualan cenderahati pasti akan meningkat ditahun-tahun mendatang dan dengan mudah dapat menjadi €100 setahun dan Barcelona bakal kehilangan separuh pendapatan dari sini.

Tempoh jualan pegangan ini tidak disebut seperti hak penyiaran untuk berapa tahun namun bakal pembeli bakal mendapat pulangan dalam tempoh 4-6 tahun jika membawayar sekitar €200 – €300 juta dengan situasi Barcelona menjana €100 setahun dari penjualan cenderahati.

Selepas tempoh 4-6 tahun pembeli akan mula menikmati keuntungan dan jika jualan cenderahati kurang dari €100 setahun maka tempoh pulangan akan bertambah.

Namun apa yang pasti disini, Barca telah kehilangan separuh pendapatan dari cenderahati setiap tahun.

Masa Depan Barcelona Tergadai?

Jika menurut pakar IT, pakar ekonomi, jaguh sukan dan juga jutawan langkah dan pelan kewangan Barca ini merupakan satu perjudian dan boleh menggadaikan masa depan kelab Catalan ini.

Namun berdasarkan situasi semasa, pasukan ini perlu mengambil langkah seperti ini kerana bukanlah kelab yang mempunyai pemilik yang mampu menyuntik modal tanpa had bagi membayar hutang.

Barcelona dikenakan sekatan perbelanjaan kerana hutang jahat, Barcelona mempunyai hutang menggunung €800 juta di mana €310 (ada melaporkan €500 juta) perlu dibayar dalam tempoh 12 bulan.

Laporta selaku Presiden sudah pasti mahu membuktikan kepimpinannya dan membawa kelab ini kembali ke zaman kegemilangan dengan apa jua kos.

Akibat dan kesan dari pelan ini mungkin akan ditanggung bakal presiden Barca akan datang jika Laporta gagal dalam perancangannya.

Juan Laporta mendedahkan bahawa kelabnya hanya akan menjual pegangan ini kepada pembeli yang bersetuju dengan syarat pembelian kembali bagi membolehkan kelab mendapat kawalan penuh aset tersebut di masa hadapan.

Bekas Presiden Barcelona, Josep Bartomeu merupakan individu yang dipersalahkan dengan hutang menimbun ini kerana bayaran gaji dan perpindahan yang dilakukan semasa eranya yang masih lagi perlu ditanggung hingga kini.

Situasi kewangan Barcelona bertambah buruk dan menjadikannya lebih dramatik apabila dunia dengan tiba-tiba dilanda wabak yang menyebabkan ekonomi dunia serta Barcelona terjejas teruk.

BACA:  Messi Terpaksa Berehat 3 Minggu Akibat Patah Tulang Tangan Kanan, Bakal Terlepas El-Clasico