Perancangan Manchester City Berubah di Saat Akhir: Cabaran Di Jendela Perpindahan Januari
Kira-kira enam minggu lepas, Manchester City merancang untuk melalui jendela perpindahan Januari dengan tenang. Mereka sudah bersedia untuk melakukan rombakan besar pada hujung musim dan hanya menetapkan satu sasaran untuk perpindahan Januari: seorang pemain tengah box-to-box.
Namun menjelang Disember, dengan prestasi yang terus merosot serta masalah kecederaan telah memaksa mereka untuk mengubah perancangan, menyusun semula bajet dan memperkukuhkan pasukan dengan segera. Sehingga kini, mereka telah membawa masuk 3 pemain baharu tetapi dengan tarikh akhir perpindahan pada jam 11 malam ini (6 petang waktu ET), mereka masih belum menandatangani pemain tengah yang mereka perlukan.
City sedang berusaha mendapatkan Nico Gonzalez dari Porto dan kemungkinan untuk malakukan pembelian saat akhir masih terbuka. Kelab menyedari kepentingan pemain tengah yang dinamik dan mungkin akan terpaksa membayar lebih mahal selepas kekalahan 5-1 kepada Arsenal pada hari Ahad lalu.
Masalah di Bahagian Tengah dan Pertahanan
Kesilapan individu dan keyakinan yang rapuh menjadi faktor utama kekalahan tersebut. Kekurangan kepantasan dan mobiliti di bahagian tengah juga terserlah. Ia bukan sahaja berlaku ketika Arsenal menjaringkan gol ke-4 tetapi juga semasa perlawanan Liga Juara-Juara menentang Club Brugge, serta dalam banyak perlawanan lain.
Apabila City kehilangan bola di bahagian serangan lawan, mereka akan berada dalam masalah. Mereka berusaha untuk mengawal permainan dengan corak yang mereka perlukan tetapi pemain yang sepatutnya ‘menjaga’ penguasaan bola kini bermain di bawah standard mereka. Akibatnya, kehilangan bola menjadi satu kebiasaan.
Pep Guardiola sendiri mengakui masalah ini dengan menyatakan, “Kami adalah pasukan yang sudah tua.” Beliau merujuk kepada Kevin De Bruyne (33), Ilkay Gundogan (34), dan Mateo Kovacic (30). Guardiola juga bimbang apabila pasukannya menghadapi pasukan yang lebih bertenaga seperti Liverpool, Arsenal, Newcastle, Aston Villa dan Brighton.
Kelemahan bahagian tengah ini memberi kesan kepada pertahanan. Ia menjadi masalah besar City musim ini. Pada minggu lepas Manuel Akanji dan John Stones terpaksa mengawal bahagian pertahanan, tetapi mereka berada jauh dari tahap terbaiknya.
City cuba memperkukuhkan pertahanan dengan membawa masuk Vitor Reis (19 tahun) dan Abdukodir Khusanov (20 tahun) tetapi kedua-duanya lebih sesuai untuk projek jangka panjang. Disebabkan masalah kecederaan oleh City, Khusanov terpaksa diturunkan menentang Chelsea, sesuatu yang tidak akan berlaku dalam keadaan biasa di City menurunkan pemain baharu seawal ini.
Bagaimana City Boleh Bangkit?
Semangat dan usaha masih jelas kelihatan dalam pasukan itu tetapi keyakinan mereka berulang kali digugat. Guardiola sendiri mengkritik prestasi pemain selepas kekalahan kepada Arsenal. Dia menyatakan pasukan itu “runtuh” dalam 20 minit terakhir perlawanan dan menyokong kenyataan Stones bahawa kekalahan tersebut “tidak boleh diterima.”
Kepenatan pemain serta kebergantungan kepada pemain yang tidak lagi mampu mengawal bahagian tengah akan menyebabkan kesilapan terus berlaku. Dengan perlawanan menentang Liverpool, Newcastle, Tottenham dan Real Madrid, kelemahan ini mungkin terus berlaku.
Dilema Perpindahan dan Kesukaran Mencari Pengganti Rodri
Tidak ada jaminan pemain baru akan memberi impak serta-merta terutama di City dan terutamanya di bahagian tengah. Mereka telah melihat bagaimana Kalvin Phillips hampir tidak mendapat peluang bermain. Matheus Nunes berada dalam musim kedua di bawah Guardiola, lebih kerap bermain sebagai pemain sayap kiri atau bek kanan berbanding posisi tengah.
City telah lama sedar mereka tidak mempunyai pengganti semula jadi untuk Rodri. Mereka juga tahu bahawa, jika Rodri terpaksa diketepikan untuk tempoh yang lama, mereka perlu menggunakan dua pemain tengah untuk bertahan lebih dalam. Kepulangan Gundogan dari Barcelona tidak banyak membantu kerana faktor usia manakala Kovacic lebih cenderung untuk menyerang.
Situasi ini menjadi lebih genting apabila De Bruyne kini berada di bulan-bulan terakhir kontraknya dan mungkin meninggalkan City pada musim panas. Gundogan berada dalam situasi yang sama dan masa depan Bernardo Silva juga masih tidak menentu. City tidak boleh tersilap langkah apabila mereka membuat keputusan untuk memperkuat bahagian tengah.
Guardiola menjelaskan betapa sukarnya mencari pemain yang boleh menggantikan Rodri sebelum perlawanan menentang Arsenal:
“Ada pemain yang boleh melakukannya, tetapi kelab mereka tidak mahu menjual. Mereka terlalu mahal, jadi kami tidak boleh membelinya. Sudah tentu, kami mempertimbangkan perkara ini kerana Kovacic dan Gundogan membantu kami, tetapi mereka bukan pemain tengah bertahan yang sebenar. Saya berterima kasih atas usaha mereka, tetapi kami tahu mereka bukan solusi jangka panjang.”
Kesilapan dalam Pasaran Pemain?
City sebelum ini cuba mendapatkan Declan Rice tetapi gagal. Mereka juga tidak pernah mencuba untuk mendapatkan Aurelien Tchouameni kerana mengetahui pemain itu tidak mahu menjadi pelapis kepada Rodri. Ia menunjukkan kesukaran City dalam mendapatkan pemain tengah yang mereka mahukan.
Walaupun ada keperluan mendesak untuk mendapatkan pemain baru sebelum jendela perpindahan ditutup, mereka juga perlu mempertimbangkan strategi jangka panjang. Jika mereka yakin Nico Gonzalez (23 tahun) boleh menjadi penyelesaian masa depan, keputusan untuk menunggu mungkin langkah yang lebih bijak.
Namun pengkritik mendakwa City terlalu lambat dalam memperkukuhkan bahagian tengahnya dan kini mereka sedang menanggung akibatnya.
Memandangkan sasaran utamanya untuk jendela ini adalah seorang pemain tengah dinamik, tekanan kini sangat tinggi untuk memastikan mereka mendapatkan pemain yang tepat sebelum tempoh perpindahan berakhir.
Dan itu bukan tugas yang mudah.