Peluang Besar Mohamed Salah Menang Ballon d’Or dan Kekal Bersama Liverpool

Ejen Mohamed Salah, Ramy Abbas sangat bijak menguruskan kontrak yang rumit asalkan ia memberi manfaat besar kepada pelanggannya. Dengan kemahirannya itu, Liverpool mungkin boleh merancang strategi yang menguntungkan kedua-dua pihak seperti menjadikan Salah sebagai tarikan utama yang bukan sahaja menaikkan imej kelab tetapi juga membolehkan dia terus mencipta rekod baru.

Pada malam Rabu di Villa Park, satu lagi rekod berjaya dipecahkan. Salah menjadi pemain pertama sejak Lionel Messi yang menjaringkan gol dan mencipta bantuan dalam 10 perlawanan berbeza dalam satu musim di 5 liga utama Eropah.

Lebih menarik, Salah mencapai pencapaian ini dalam tempoh hanya 7 bulan, sedangkan Messi mengambil masa 10 bulan untuk melakukan perkara yang sama. Ini meletakkan bintang Mesir itu sebaris dengan pemain-pemain hebat dunia.

Salah dan Impian Ballon d’Or

Salah sudah lama mengimpikan untuk diiktiraf sebagai pemain terbaik dunia walaupun dia sering menekankan kepentingan kejayaan pasukan berbanding anugerah individu. Namun, jika Lionel Messi menutup tahun 2015 dengan 5 gelaran Ballon d’Or, kini Salah berada dalam kedudukan terbaik untuk memenanginya untuk pertama kali.

Buat masa ini, Salah adalah calon utama untuk anugerah tersebut, mengatasi pesaing seperti Kylian Mbappe dan Vinicius Junior dari Real Madrid serta Lamine Yamal dan Raphinha dari Barcelona.

Apa yang tidak boleh dinafikan adalah peranan besar Salah dalam skuad Liverpool musim ini. Dia telah menjaringkan 24 gol di Liga Perdana Inggeris, sedangkan 5 penyerang lain dalam skuad Arne Slot hanya mengumpul 26 gol secara keseluruhan. Pada Rabu lalu, Salah mencipta satu lagi rekod dengan menjadi pemain ke-5 dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya 15 gol dan mencipta 15 bantuan gol dalam satu musim dan musim ini masih berbaki satu pertiga.

Namun, untuk mengukuhkan peluangnya memenangi Ballon d’Or, Salah perlu membawa Liverpool meraih kejayaan besar sebagai satu pasukan.

Messi menamatkan musim 2014-15 dengan jumlah jaringan ke-3 tertinggi dalam kariernya, selain memenangi Liga Juara-Juara Eropah, La Liga dan Copa del Rey.

Liverpool kini merupakan pilihan utama untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris dan telah mara ke final Piala Carabao. Sejarah menunjukkan bahawa kejuaraan domestik sahaja mungkin tidak mencukupi. Daripada 18 pemenang terakhir Ballon d’Or, 13 daripadanya turut memenangi Liga Juara-Juara atau Piala Dunia pada tahun yang sama.

Pengalaman Lampau: Salah Pernah Hampir Menang?

Salah sudah melihat sendiri bagaimana undian Ballon d’Or cenderung memihak kepada pemain yang meraih kejayaan besar dalam kejohanan utama.

Pada musim 2017-18, dia menjaringkan 44 gol dalam 52 perlawanan untuk Liverpool dan membantu pasukan mara ke final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid. Namun, segalanya berubah di Kyiv. Salah terpaksa dikeluarkan awal akibat kecederaan dan Liverpool akhirnya tewas 3-1. Pada masa yang sama Luka Modric mempamerkan prestasi cemerlang.

Walaupun Croatia tewas kepada Perancis di final Piala Dunia, Modric tetap memenangi Ballon d’Or. Jika Liverpool menewaskan Real Madrid 5 minggu sebelum itu, kemungkinan besar anugerah tersebut menjadi milik Salah. Sebaliknya dia hanya menduduki tempat ke-6 dalam undian akhir.

Sejak itu, Salah pernah berada di kedudukan ke-5 sebanyak 2 kali tetapi dalam kedua-dua keadaan, dia bukan pemain Liverpool yang mendapat ranking tertinggi.

Pada 2019, Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara dengan bantuan jaringan awal Salah dalam final menentang Tottenham Hotspur. Namun secara keseluruhan, statistiknya musim itu tidak cukup mengagumkan menyebabkan Virgil van Dijk berada di tempat ke-2 dan Sadio Mane di tempat ke-4. Messi pula memenangi Ballon d’Or selepas membantu Barcelona meraih kejuaraan La Liga buat kali ke-10.

3 tahun kemudian, Mane sekali lagi mengatasi Salah dalam kedudukan akhir selepas mengetuai Senegal memenangi Piala Negara-Negara Afrika dengan menewaskan Mesir di final. Kekalahan Liverpool di final Liga Juara-Juara sekali lagi memberi kelebihan kepada pemain Real Madrid, kali ini Karim Benzema yang menjadi pemain Arab pertama sejak Zinedine Zidane memenangi anugerah itu.

Salah tidak melihat perkara ini dari sudut agama, bangsa atau negara tetapi fakta tetap fakta. Benzema dilahirkan di Lyon dan mewakili Perancis begitu juga Zidane yang berasal dari Marseille. Jika Salah memenangi Ballon d’Or, dia akan menjadi pemain Arab pertama dari Afrika atau Timur Tengah yang berjaya melakukannya, serta pemain Afrika pertama sejak George Weah pada tahun 1995.

Masa Depan Salah: Liverpool atau Arab Saudi?

Pada Disember lalu Salah menegaskan bahawa matlamat utamanya adalah membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris. Dia juga sedar bahawa kejayaan itu akan membawanya lebih dekat kepada anugerah Ballon d’Or.

Dia pernah mengakui bahawa dia melihat dirinya sebagai “yang terbaik”. Jika dia berjaya membuktikannya secara rasmi, boleh dibayangkan bagaimana reaksi rakyat Mesir – sebuah negara yang sentiasa percaya mereka mempunyai pengaruh besar di peringkat global tetapi masih belum membuktikannya dalam bola sepak di peringkat tertinggi.

Kisah Karim Benzema boleh menjadi peringatan buat Salah. Selepas memenangi Ballon d’Or pada 2022, hanya setahun kemudian dia jatuh ke tangga ke-16 selepas berpindah ke Al Ittihad di Arab Saudi. Cristiano Ronaldo pula jatuh ke tangga ke-20 pada musim terakhirnya di Manchester United sebelum terus hilang dari senarai selepas menyertai Al Nassr.

Benzema dan Ronaldo lebih berusia daripada Salah. Tidak kira berapa banyak gol yang mereka jaringkan di Arab Saudi, ia tidak cukup untuk menarik perhatian para pengundi Ballon d’Or.

Ini membawa kepada persoalan utama mengenai masa depan Salah. Kontraknya bersama Liverpool akan tamat pada musim panas dan rundingan lanjutan berjalan perlahan. Salah mahu gaji yang setanding dengan prestasinya tetapi sukar untuk melihat kelab di Eropah yang mampu membayarnya.

Arab Saudi, yang sekian lama mengidamkan bintang Mesir itu, mungkin menjadi satu-satunya pilihan sekiranya dia meninggalkan Liverpool. Salah pasti sedar bahawa jika dia berpindah ke Arab Saudi tanpa memenangi Ballon d’Or di Eropah terlebih dahulu, peluangnya untuk meraih anugerah itu akan tertutup selama-lamanya. Situasi itu mungkin memberi kelebihan kepada Liverpool dalam rundingan kontrak sekiranya Salah benar-benar mahu dikenang sebagai perintis dalam dunia bola sepak.

Salah kini berada dalam situasi unik dan ada satu lagi persamaan dengan Lionel Messi.

Pada 2021, pemergian Messi dari Barcelona tidak menggembirakan sesiapa. Barcelona terpaksa melepaskannya kerana masalah kewangan. Mereka sedar kehilangannya adalah satu tamparan besar. Sejak itu, Messi tidak lagi berada pada tahap terbaik di peringkat kelab walaupun terus bersinar bersama Argentina.

Liverpool dan Salah berada dalam keadaan yang hampir sama. Kedua-duanya tidak mahu berpisah kerana saling melengkapi.

Persoalannya: bagaimana mereka boleh memastikan kerjasama ini berterusan?

BACA:  Bekas Direktor Liverpool Yakin Klopp Tidak Akan Tergoda Dengan Tawaran Real Madrid