Pemain Argentina Ini Masuk Guinness World Record Kerana Gagal Sempurnakan Penalti

Guinness Book Of World Record adalah sebuah buku catatan yang mencatatkan pelbagai rekod yang tercipta di dunia dan diiktiraf.

Sesiapa sahaja di dunia ini berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada mereka yang masuk ke dalam Guinness World Record dengan mencipta pelbagai rekod yang diiktiraf.

Kadang kala ianya terjadi dengan dirancang dan aksi yang dilakukan memang berniat untuk mencipta rekod dan ada juga yang masuk kedalam Guinness World Record dengan secara tidak disengajakan.

Misalnya seorang pemain bola sepak Profesional dari Argentina ini masuk dalam Guinness World Record kerana mempunyai catatan sepakan penalti yang paling teruk dalam sejarah.

Martin Palermo pernah beraksi sebanyak 15 kali untuk pasukan kebangsaannya. Beliau juga merupakan pemain yang berjaya menjaringkan gol penuh dramatik untuk membantu skuad bimbingan Maradona mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2010.

Namun 11 tahun sebelum dari itu, bekas pemain Boca Juniors dan Villarreal itu mempunyai rekod yang tidak begitu baik ketika mewakili Argentina menentang Colombia dalam aksi perlawanan di Copa Amerika.

Palermo merupakan seorang pemain penyerang yang berbisa dan mempunyai ketajaman yang luar biasa. Ekoran dari itu sukar untuk percaya ketika itu beliau gagal menyempurnakan tiga sepakan penalti dalam satu perlawanan.

Palermo turun beraksi dalam kejohanan tersebut sebagai pemenang anugerah pemain terbaik Amerika Selatan.

Palermo juga memiliki reputasi luar biasa. Tetapi tidak pasti apa yang berlaku pada ketika itu sehingga segalanya tidak menjadi.

Penalti pertama yang diambil olehnya sekadar singgah ke palang gol lawan dan penalti kedua pula beliau merembat bola meliar keluar dari kawasan gol.

Argentina kemudiannya mendapat satu lagi sepakan penalti dan Palermo terus mengambil kesempatan yang ada untuk menebus kekecewaan dua kali kegagalan beliau sebelum itu.

Palermo tidak memberi peluang kepada rakan yang lain untuk mengambil sepakan penalti ketiga yang diberikan dan beliau nekad untuk menjaringkan gol untuk cubaan ketiganya itu.

Namun sayangnya beliau gagal lagi untuk kali yang ketiga dalam perlawanan ini selepas tendangan penaltinya itu berjaya diselamatkan oleh Miguel Calero.

Palermo mencatatkan hatrik gagal menjaringkan gol penalti ketika itu. Sepanjang karier profesionalnya, beliau telah mencatatkan 249 gol dari 592 perlawanan.

Lihat statistik jaringan yang beliau pernah catatkan itu, sudah jelas beliau sememangnya antara penyerang yang cukup berbisa, namun apa boleh buat, sudah ditakdirkan untuk beliau gagal menyempurnakan kesemua sepakan penalti ketika itu.

Selain dari Palermo, beberapa lagi pemain bola sepak profesional yang lain turut memegang rekod yang luar biasa dalam sukan bola sepak seperti Adriano yang memegang rekod menjaringkan gol paling kencang di dunia.

Lord Bendtner juga merupakan salah seorang pemegang rekod dunia apabila beliau berjaya menjaringkan gol terpantas sebagai pemain gantian.

BACA:  Pra Piala Dunia: UAE 0-5 Argentina