Pemain Bola Sepak Indonesia Meninggal Dunia Ketika Perlawanan

Lagenda kelab Persela Lamongan merangkap penjaga gol mereka, Choirul Huda meninggal dunia sewaktu perlawanan sedang berlangsung selepas bertembung dengan pemain sendiri ketika perebutan bola.

Penjaga gol berusia 38 tahun itu rebah selepas perlanggaran tersebut kemudian Huda diberikan rawatan sebelum dibawa ke hospital, Huda disahkan meninggal dunia di Hospital di Lamongan.

Menurut laporan, penjaga gol itu bertembung dengan Ramon Rodrigues ketika mahu menyelamatkan bola dari penyerang Semen Padang, Marcel Sacramento.

Kematian Huda disahkan oleh jurulatih Persela Lamongan, Aji Santoso.

“Selepas perlawanan semua pemain pergi ke hospital, apabila tiba di sana Choirul Huda disahkan meninggal dunia.”

Menurut laporan awal Doktor Zaki Mubarak, Huda meninggal kerana pelanggaran di bahagian kepala.

“Huda dibawa ke hospital dalam keadaan masih bernafas dan meninggal dunia lebih kurang jam 17:00.

“Menurut analisis kami, kematian ini disebabkan oleh pelanggaran di kepala dan bahagian belakang leher.” Jelas Doktor Zaki Mubarak.

Choirul Huda merupakan pemain bola sepak profesional Indonesia dan juga seorang penjawat awam. Beliau dilahirkan pada 2 Jun 1979 dan memulakan kariernya sebagai penjaga gol bersama kelab Persela Lamongan sejak tahun 1999.

Huda setia bersama Persela Lamongan sehingga akhir hayatnya. Huda juga dikenali sebagai “The One Man One Club One Love” kerana kesetiaanya dan diangkat sebagai pemain lagenda Persela Lamongan.

Baca Juga

Baca Juga