Pemain Bola Sepak Malaysia Belum Faham Sepenuhnya Tentang Sukan Ini – Pemain Import Kelantan United

Malaysia tidak pernah ketandusan bakat bola sepak di mana setiap tahun pasti akan muncul bakat-bakat baru yang menggegarkan arena bola sepak tempatan.

Walaubagaimanapun, menurut pemain import Kelantan United, Masashi Motoyama, masih ramai pemain yang belum faham sepenuhnya apa erti bola sepak dan bagaimana cara sebenar untuk sukan ini dimainkan.

Masashi Motoyama pernah beraksi bersama Kashima Antlers di J-League. Gambar : Kelantan United.

Pemain veteran berusia 42 tahun ini berkata demikian dalam satu program yang diterbitkan J-League International di mana program ini turut menampilkan dua lagi pemain Jepun yang beraksi di luar negara matahari terbit tersebut, – Hajime Hosogai yang kini bermain untuk Bangkok United di Thailand, dan juga Kasuke Ota yang menyumbang tenaga buat Perth Glory di Australia.

“Saya rasa pemain-pemain di Malaysia sangat berkebolehan, tetapi mereka masih belum faham sepenuhnya tentang bola sepak.

“Posisi kadangkala agak aneh, tidak berapa tahu cara menggunakan badan atau cara menggerakkan leher. Saya rasa asas mereka masih boleh diperbaiki,” ujar Motoyama seperti yang dilaporkan di labolamalaya.com.

Pada masa yang sama, Motoyama memuji semangat pemain tempatan di Malaysia yang menurutnya sering membuat cubaan untuk menjaringkan gol.

“Dari segi kebolehan, ada pemain-pemain yang menarik yang cukup bersemangat berlari dan membuat cubaan menjaringkan gol.

“Sekarang ini saya berada di Divisyen Dua tapi dalam Divisyen Satu pasti ada pemain dengan kualiti yang lebih tinggi.

“Dari segi itu, saya rasa liga di sini agak menarik,” tambahnya lagi.

Kalau nak ikutkan, kunci utama dalma kemajuan seseorang pemain bola sepak adalah kecederdasan seseorang pemain, atau yang kita selalu sebut football IQ. 

Jurulatih pasukan selebriti Malaysia Challo FC, Coach Shahidan berkata dalam satu video di channel Eikrem TV di YouTube, kepentingan football IQ jauh melebihi kepentingan fizikal seseorang pemain itu.

Menurutnya lagi, antara kesilapan yang sering dilakukan oleh banyak pihak adalah terlalu memandang fizikal atau ketinggian seseorang pemain tersebut yang mana kedua-dua ciri ini hanya penting untuk dua posisi sahaja – penjaga gol dan pertahanan tengah.

Lagi pula, ciri-ciri utama yang wajib ada pada seseorang pemain pertahanan tengah adalah kepantasan di mana kebiasaanya pemain di posisi ini perlu memecut mengejar pemain lawan atau bola dan menjadi benteng terakhir pasukan sebelum penjaga gol.

IQ bola sepak ini hanya dapat ditingkatkan menerusi beberapa cara dan yang pertama adalah latihan yang berterusan dengan bantuan daripada jurulatih. Pada waktu ini jurulatih perlu mengajarkan seseorang pemain itu bagaimana caranya beraksi dengan cara yang betul.

Contohnya bila perlu seseorang pemain itu mengejar bola, bila seseorang pemain itu perlu melakukan pressing dan sebagainya.

Selain daripada latihan, IQ bola sepak seseorang pemain juga boleh ditingkatkan menerusi sesi tontonan dan pembelajaran menerusi video. Video yang dimaksudkan adalah seperti video perlawanan yang dimainkan oleh pemain tersebut, ataupun video contoh gerakan atau gaya permainan daripada pemain yang ternyata lebih baik dan berkelas dunia.

Selain daripada belajar secara langsung seperti dua kaedah di atas, IQ bola sepak seseorang pemain itu boleh ditingkatkan dengan pengalaman yang ditimba sepanjang bermain di atas padang.

Selalunya pemain akan menemukan situasi yang sama dalam perlawanan yang berlainan dan seseorang pemain yang cerdik pastinya akan belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukannya dalam situasi yang sama.

Korang pun pasti pernah jumpa di mana seorang pemain tu beberapa tahun sebelum ini dia adalah pemain yang paling tidak akan diajak untuk bermain kerana tidak tahu ke mana hala tuju permainannya.

Namun situasinya berbeza sekarang ini di mana dia mampu bermain dengan bijak sekaligus membantu pasukan korang.

Pada masa yang sama korang juga pasti akan temukan jenis pemain yang cara permainannya sama sahaja selama bertahun-tahun. Pemain jenis ini boleh dikatakan sebagai pemain yang syok sendiri dan tidak belajar daripada pengalaman.

Apa pun, secara umumnya untuk bola sepak di negara ini, masa depan sukan nombor satu di Malaysia ini dijangka akan lebih cerah dengan lahirnya banyak akademi untuk pemain muda.

Tambahan pula semakin ramai jurulatih yang sudah memiliki lesen kejurulatihan daripada badan-badan bola sepak seperti FAM dan AFC.

Sumber berita : La BolaMalaya dan Youtube

BACA:  Frank Bernhardt Kehabisan Wang, Terkandas Di Lembah Klang Dan Tidak Dapat Pulang Ke Jerman?