Pemain Chelsea Mengeluh Kemandulan Pengurusan Dalam Jendela Perpindahan

Selepas kekalahan mengejut dalam perlawanan pertama, Cesar Azpilicueta mengeluh tentang kurangnya aktiviti Chelsea dalam jendela perpindahan dalam misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan liga.

Dalam perlawanan menentang Burnley, Gary Cahill telah dilayangkan kad merah sebelum The Clarets merobek gol Chelsea tiga kali sebelum separuh masa pertama tamat di Stamford Bridge.

Cesar Azpilicueta | Gambar : Daily Mail

Dengan bintang utama musim lalu, Eden Hazard mengalami kecederaan dan penjaring terbanyak musim lalu, Diego Costa diketepikan oleh Antonio Conte, pasukan juara bertahan ini kelihatan sangat lemah dan lemau.

Pemain dari akademi, Jeremie Boga diberikan debut bersama pasukan utama di bahagian serangan bersama Michy Batshuayi dan Alvaro Morata tidak dimasukkan sehingga perlawanan memasuki minit ke 60.

Boga bagaimanapun tidak sempat menunjukkan belang apabila dikeluarkan pada minit ke-17, selepas Cahill mendapat kad merah, untuk memberi laluan kepada Andreas Christensen.

“Guys, bagi Burnley score tiga je!” Mungkin itu apa yang dijeritkan Conte | Gambar : Daily Mail

Keadaan pasukan Chelsea ini membimbangkan Azpilicueta.

“Kalau kau tengok pemain yang kita jual dengan pemain yang beli, diorang ni tak sama,” kata pemain kebangsaan Sepanyol itu kepada Daily Mail.

“Kita ada ramai pemain muda yang bagus tapi realiti untuk menjadi juara semakin sukar musim ini.

“Kita pernah  berhadapan situasi ini, jadi kita perlukan pemain – dan juga membantu perkembangan pemain muda.

“Mereka perlukan bantuan daripada pemain terbaik, dan tidak memaksa mereka bermain ketika mereka belum bersedia.

“Jadi, ini adalah satu isu yang kelab dan pengurus perlu ambil perhatian dan harapnya nanti kita akan ada pemain baru dalam masa beberapa minggu lagi,” tambah Azpilicueta panjang lebar. Wajahnya kelihatan tidak tenang, seolah-olah menyimpan seribu rahsia pergolakan pasukan.

Chelsea bakal menentang Tottenham Hotspur minggu depan, di Stadium Wembley dengan Dele Ali sudahpun membuka akaun jaringannya dalam perlawanan pertama menentang West Brom tempoh hari.

The Blues pula tempang tanpa Fabregas dan Cahill. Satu fakta yang boleh menenangkan Conte ialah selalunya Harry Kane tidak menjaringkan gol dalam bulan Ogos.

Nota : Jangan beli Harry Kane lagi dalam pasukan fantasi engkorang, apatah lagi letak triple captain.

Sumber berita : Daily Mail Sports

Baca Juga

Baca Juga