Pemain EPL Yang ‘Dive’ Berdepan Hukuman Berat

Permainan bola sepak cukup menggalakkan fair play, iaitu bermain dengan adil, bersih dan saksama, namun sering dicemari dengan aksi-aksi yang tidak layak dipanggil fair play dan salah satu daripadanya ialah menjatuhkan badan dengan sengaja walaupun tiada sentuhan, atau dalam bahasa orang putihnya dive.

Antara pemain yang sinonim dengan diving ialah Ashley Young dan Steven Gerrard di kalangan pemain lama, di samping Delle Ali, Wilfred Zaha dan Robert Snodgrass di kalangan pemain yang baru nak up. Tidak lupa juga pemain-pemain Barcelona yang cukup lembut bagaikan kain sutera di dalam sungai yang mengalir.

Tidak lama lagi, para pemain di Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal berhadapan dengan tindakan digantung dua perlawanan jika didapati diving.

Contoh pemain diveFA England bakal menghantar wakil untuk bertemu FA Scotland bagi mengambil idea bagaimana kaedah hukuman ini dilaksanakan di liga Scotland.

Menurut seorang jurucakap FA England yang tidak mahu dinamakan, bersetuju dengan idea ini.

“Dari segi asasnya, idea ini cukup bagus. Segala perincian untuk tindakan ini sudah dikumpul, tapi kita masih lagi mengkaji bagaimana nak tentukan sama ada seseorang pemain itu terjun atau jatuh,” katanya kepada The Times.

“Sekarang kita sedang berbincang dengan FA Scotland dan sesetengah wakil FA England akan berkelana ke utara untuk belajar dengan lebih dalam lagi daripada Scotland,” tambahnya lagi.

Berita ini mungkin menggembirakan seluruh warga bola sepak Scotland kerana akhirnya England mula meniru mereka.

Selain daripada FA, para pengurus EPL termasuk Sean Dyche dari Burnley dan Tony Pulis dari West Brom turut menggesa hukuman ini dilaksanakan dengan segera bagi mencegah penyakit terjun ini daripada semakin merebak.

Bekas pengadil yang pernah melayangkan tiga kad kuning dalam satu perlawanan kepada Josep Simunic, Graham Poll, juga turut bersetuju dengan cadangan ini.

Katanya,”Apa-apa sahaja yang akan menghukum pemain yang suka dive ini sangat dialu-alukan. Hari ini, pemain yang suka menipu ni selalu mendapat kelebihan.

“Katalah perlawanan dah masuk ke penghujung dan satu pasukan sedang berusaha keras untuk menjaringkan gol demi keputusan menang atau seri. Kalau seorang pemain bahagian serangan yang masih belum mendapat kad kuning, dia berpotensi tinggi untuk cuba dive, terutamanya dalam kotak penalti.

“Kalau dia berjaya mengelaburi mata pengadil, dia akan dapat penalti yang sangat penting. Kalau dia gagal, paling teruk pun dia akan dapat kad kuning.

“Secara statistik, pemain di bahagian serangan mendapat kurang kad berbanding pemain di bahagian pertahanan, dan kebarangkalian untuk pemain ini digantung kerana pengumpulan kad adalah sedikit.

“Kalau FA menggunakan sistem orang Scotland ini, pemain sedar diri sikit kalau diorang mampu menipu pengadil sekalipun, diorang akan berhadapan dengan penggantungan dua perlawanan apabila video insiden itu dikaji semula,” tambahnya lagi.

Buat masa ini, pemain yang dive tidak dikenakan sebarang tindakan susulan, namun mereka yang melakukan tindakan yang tidak melambangkan semangat kesukanan seperti terjahan keras, pijak muka pemain lawan, menyiku pemain lawan atau kencing berdiri di tengah padang akan dikenakan tindakan oleh jawatankuasa disiplin selepas perlawanan tamat.

Tindakan dan cadangan ini patut dibawa ke Liga Malaysia di mana mutu pengadilan sering dipersoalkan, baik dalam perlawanan panas atau perlawanan biasa-biasa seperti MISC-MIFA bertemu Kuantan FA. Tambahan pula peminat bola sepak di Malaysia ini suka bertekak di media sosial walaupun tiada ilmu mengenai perkara yang dipertekakkan itu.

Jadi, untuk mengatasi kontroversi-kontroversi daripada berterusan, tindakan susulan seperti hukuman terhadap pemain yang dive perlu dibawa ke Malaysia.

Berita ini diklepet dari The Sun UK

Baca Juga

Baca Juga