Pemain Liverpool Guna Brain Sensors Sebagai Persediaan Final UCL

Pemain Liverpool telah dirakam memakai sejenis alat di atas kepala mereka yang merupakan Brain Sensors ketika sesi latihan sebagai persediaan menjelang perlawanan akhir Champions League.

Selepas kekecewaan penuh dramatik dalam perebutan gelaran Premier League di hari terakhir liga Liverpool tidak membuang masa dan terus fokus kepada final UCL menentang Real Madrid.

Ketika ini Liverpool sudah pun begitu cemerlang apabila telah menjuarai Carabao Cup dan juga FA Cup dan dengan menewaskan Real Madrid maka treble akan menjadi penutup musim penuh gemilang.

Persediaan rapi telah ditunjukkan oleh Liverpool di kem latihan apabila menggunakan kecanggihan teknologi bagi mendapatkan yang terbaik dari pemain mereka.

Liverpool sekali lagi menggunakan khidmar pakar Neurosainstis dari Jerman Dr Niklas Hausler dan rakan perniagaannya, Patrick Hantschke yang merupakan tunjang belakang syarikat yang mencipta teknologi Neuro11.

Teknologi Neuro11 secara khusus dicipta untuk melatih otak secara terus yang bertujuan untuk membantu pemain Liverpool mencapai keadaan mental yang optimum.

Brains Sensors yang bernama Neuro11 ini dipakai ketika sesi latihan bukanlah untuk mengesan samada pemain Liverpool mempunyai otak atau tidak tetapi untuk menguatkan lagi mental.

Yang tiada otak tu penyokong Liverpool je bukan pemain mereka.

Neuro11 mempromosikan teknologi ini sebagai “latihan kekuatan mental terkini untuk atlet.” yang berasaskan kepada pangkalan data dan bukannya kepada kata-kata motivasi serta ayat power yang meruntun emosi.

Mereka yang pernah menggunakan teknologi ini akan berada dalam keadaan mental yang optimum yang diperlukan untuk mencapai tahap tertinggi.

Sudah pasti jika keadaan mental para pemain berada pada tahap optimum mereka tidak akan mudah koyak dan mampu membuat keputusan yang tepat lagi pantas ketika di padang.

Menurut pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, Neuro11 sangat membantu pasukannya kerana kekuatan mental memainkan peranan penting dalam perlawanan peringkat tinggi.

“Pasukan neuro11 telah membangunkan kaedah latihan kekuatan mental berasaskan fakta yang sangat inovatif dan boleh disepadukan dengan lancar ke dalam program latihan sedia ada kami.”

“Kami kini dapat melatih secara khusus kebolehan mental dan ketepatan percubaan pemain kami secara langsung di atas padang, dengan cara yang tidak mungkin dilakukan sebelum ini.”

“Memandangkan kekuatan mental memainkan peranan yang begitu penting di peringkat tertinggi, kami teruja untuk bekerjasama dengan mereka ini.”

Pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander Arnold dan Kostas Tsimikas dirakam memakai teknologi tersebut di kepala mereka bagi mengumpul data dan membolehkan program latihan disesuaikan dengan mereka secara individu.

Syarikat itu telah bekerjasama dengan Liverpool sejak Ogos lalu, dengan harapan mereka akan meningkatkan kualiti pasukan daripada set piece. Dan teknologi itu nampaknya telah memberikan keajaibam buat Liverpool musim ini.

Klopp sering melabelkan pemainnya sebagai ‘raksasa mentaliti’ dan Real Madrid halangan terakhir untuk diatasi bagi mencari kemenangan ketujuh mereka dalam Liga Juara-Juara.

Keberkesanan penggunaan teknologi Neuro11 terbukti jika dilihat apa yang dipamerkan oleh pasukan Liverpool musim ini terutamanya ke atas Chelsea dalam dua perlawanan akhir.

Dalam perlawanan akhir Carabao Cup dan FA Cup Chelsea telah mengeheret Liverpool ke penentuan sepakan penalti dan kedua-duanya telah dimenangi oleh Liverpool.

Penentuan sepakan penalti sememangnya sudah diketahui memerlukan kekuatan mental yang sangat kuat buat penendang dan juga yang ditendang.

Kekuatan mental aras tertinggi dipamerkan Liverpool dalam perebutan gelaran Premier League di mana mereka pernah ketinggalan 14 mata dibelakang Manchester City.

Entah bagaimana Liverpool mengejar dan memastikan kemenangan ditentukan pada hari terakhir liga dan pemenang ditentukan pada tempoh 10 minit terakhir perlawanan.

Tambahan pula pada pertengahan musim Liverpool kehilangan mesin cetak gol mereka, Mohamed Salah dan Sadio Mane yang beraksi di Piala Negara Afrika sehingga final.

Jika tiada kekuatan mental yang kuat mustahil Liverpool mencapai apa mereka kecapi pada musim ini.

Liverpool sekali lagi bertemu Real Madrid di final dan berpeluang untuk membalas dendam kekalahan beberapa tahun lalu yang penuh kontroversi dan drama.

BACA:  Klopp Tegaskan Menentang Real Madrid Bukan Satu Misi Balas Dendam