Pemain Malaysia Yang Berhijrah ke Luar Negara Patut Belajar Apa Yang Fikayo Tomori Lakukan

Fikayo Tomori baru sahaja menjulang Scudetto bersama AC Milan – kejuaraan liga yang pertama dalam tempoh 11 tahun buat kelab tersebut. Berpindah ke Milan dari Chelsea, Tomori muncul sebagai watak utama dalam pasukan terutamanya di bahagian pertahanan di mana dia boleh dianggap sebagai antara yang terbaik di Serie A.

Pada awal musim, tiada siapa yang menjangka bahawa pasukan muda Milan ini, kecuali Zlatan Ibrahimovic yang berusia 40 tahun, akan mengenepikan Inter Milan daripada menjulang trofi liga Serie A selepas menewaskan Sassuolo pada hari terakhir perlawanan.

Perpindahan bernilai £25 juta pada musim panas lalu mungkin membuatkan Chelsea agak menyesal selepas pada awalnya pemain ini bermain di Milan secara pinjaman semusim, namun bak kata mat saleh, past is past.

Kalau kita lihat kembali, Fikayo Tomori adalah salah seorang daripada sebilangan pemain Inggeris yang mencuba nasib bermain di luar negara tersebut. Sepuluh tahun lalu, perkara ini dilihat agak mustahil dan sukar untuk menjadi kenyataan.

Jika kita kaji, bola sepak Malaysia juga mempunyai persamaan dengan England di mana semakin ramai pemain muda mencuba nasib di luar negara dan yang terbaru, tiga pemain AMD menjalani ujian di pentas Eropah.

Lagi pula, budaya bola sepak Inggeris dan Malaysia tidak banyak bezanya, terutamanya bab gaji di mana pemain dibayar upah yang tinggi untuk buat kelakar di atas padang.

Tetapi apa yang dilakukan Tomori di Itali boleh menjadi ikutan para pemain muda Malaysia yang mula berhijrah ke luar negara.

Bercerita kepada media seperti yang dipetik dari The Sun, Fikayo Tomori berkongsi tentang suasana meriah sambutan kemenangan Scudetto dan juga bagaimana dia belajar menyesuaikan diri berada di negara orang.

“Ramai orang tidak percaya yang kami akan lakukannya dan menang kejuaraan,” ujar Fikayo Tomori.

“Bagi kami di bilik persalinan yang sentiasa seronok – membuktikan orang lain adalah silap dan kami adalah pasukan yang bagus – sangatlah manis untuk dikenang.

“Memang gila. Sambutan keraian macam ni aku tak pernah tengok sebelum ini. Ramai gila orang.

“Penyokong berbaris sepanjang tiga, empat, lima kilometer tapi kami ambil masa berjam-jam di atas bas. Berhenti di semua lampu isyarat.

“Memang aku pernah jumpa penyokong di Milan, tapi bila tengok semua orang di jalanan macam tu sepanjang hari, aku tak tahu nak cakap macam mana, memang gila.

“Aku rasa seronok sangat dan rasa sangat gembira.

“Masa aku mula ke luar negara, ada cakap-cakap yang pemain Inggeris ini suka buat itu ini, tapi aku cuba menyelami perkara di sekeliling aku sebaik mungkin.

“Memang ini membantu dan aku mahu terus berkembang menjadi pemain yang lebih baik.”

Fikayo Tomori kini dilihat sangat selesa dengan kehidupan di Lombardy dan seperti yang dilihat di dalam banyak temu bual, dia sudah fasih berbahasa Itali.

“Memang diorang semua cakap bahasa Itali lah,” tambah Fikayo Tomori, tentang bagaimana dia beradaptasi di negara orang.

“Aku memang nak belajar sangat bahasa tu dan memang membantu untuk aku rasa selesa di sini.

“Aku rasa memang penting la [belajar bahasa Itali] untuk berkomunikasi dan sekarang ni kami hanya menggunakan bahasa itu. Tak lah sempurna, tapi aku masih belajar juga, cuma itu sebahagian daripada kehidupan.

“Berada di bilik persalinan menjadi lebih mudah berbanding ambil tutor, sebab semua orang cakap bahasa tu. Dalam bilik air, dalam bilik persalinan, atas padang.

“Kau memang cepat belajar. Sah-sah lah aku banyak dengar perkataan mencarut! Perkataan berbeza dan sebutan pun berbeza!

“Ramai pemain tolong aku dan ada beberapa daripada mereka bercakap bahasa Inggeris, dan ini memang membantu masa aku awal-awal sampai dulu.

“Tapi sekarang aku banyak cakap Itali dan rasa seronok sangat.”

Tentang gaya permainannya, Fikayo Tomori berkongsi bagaimana dia belajar untuk menjadi pertahanan yang bagus selepas belajar daripada legenda pertahanan dunia, Paolo Maldini.

“Pertama sekali, pengurus memang tolong aku dari segi macam mana cara dia nak pasukan bermain.

“Begitu juga secara individu dan berpasukan tentang bagaimana untuk bertahan.

“Dalam bab tu, aku banyak belajar perkara berbeza. Macam mana orang main dalam liga ini, pengadil tiup wisel lebih kerap – jadi kau tak boleh nak terjah je. Kalau kau nak terjah, kau kena menang bola.

“Kalau kau agresif, kau kena tackle dengan cara yang betul. Berdiri betul-betul dan pastikan kau berada di posisi yang tepat. Aku banyak belajar dan perlu berfikir tentang posisi aku sendiri.

“Aku ada sembang dengan Paolo [Maldini] – dia ada je kat situ hari-hari. Kadang dia tanya aku pasal keadaan semasa, dan bercakap kepada kami para pertahanan secara kolektif.”

Fikayo Tomori benar-benar merealisasikan pepatah Melayu – masuk kandang harimau mengaum, masuk kandang kambing mengembek – dalam menyesuaikan diri di tempat orang.

Tapi tu lah, mana ada kandang harimau, kan?

Baca Juga

Baca Juga