Pemain Man Utd Macam ‘Bayi’ Dan Perasan Diri ‘Bagus’

Legenda Manchester United, Gary Neville mendedahkan yang pemain setan merah sekarang seperti ‘bayi’ ketika beliau membuat analisis tentang kekalahan mereka di tangan Leicester City hujung minggu lalu.

Ia merupakan satu lagi keputusan buruk yang telah dicatatkan oleh kem Manchester United selepas mereka dikejutkan dengan kekalahan 4-2 di tangan Leicester City di King Power Stadium.

Kekalahan itu merupakan kekalahan kedua United dari tiga perlawanan terakhir mereka dalam saingan Premier League, dan kekalahan itu juga meleburkan rekod tidak terkalahkan setan merah di halaman lawan.

Ia jelas satu hal yang sangat tidak diingini oleh kem Manchester United yang pada musim ini dianggap sebagai calon Juara.

Keputusan buruk itu juga telah meningkatkan lagi tekanan untuk Ole Gunnar Solskjaer dengan ramai yang membuat spekulasi berkait masa depannya bersama kelab pada ketika ini.

Ramai yang meletakkan sepenuh kesalahan di atas bahu Ole Gunnar Solskjaer dan menggesa pengurus dari Norway itu untuk meninggalkan kelab.

Walau bagaimanapun, Gary Neville memiliki sudut pandangan berbeza, dengan beliau meminta para pemain supaya melihat kepada kesalahan diri mereka sendiri juga.

Neville menganggap anak-anak buah Solskjaer seperti bayi ketika mereka berdepan dengan situasi gawang mereka dibolosi.

Beliau turut menganggap yang para pemain Manchester United sebenarnya perasan diri mereka terlalu bagus berbanding kemampuan sebenar yang mereka miliki.

“Jujurnya, mereka tidak menekan dengan sangat baik, mereka tak ada intensiti, mereka sekadar berjalan di sekitar padang, terutama sekali untuk pemain di posisi serangan.”

Jelas Neville kepada Sky Sports.

“Mereka fikir yang mereka lebih bagus berbanding kemampuan sebenar msreka miliki… Ketika saya menonton aksi Liverpool dan Manchester City, pemain mereka berlari.”

“Skuad Manchester United ini juga sangat teruk dalam memberi tindak balas terhadap gol. Andai mereka bolos, mereka jadi macam bayi dan mereka semua mula buat hal sendiri.”

“Jika mereka menjaringkan gol, masing-masing kembang dada dan fikir ‘ini lah dia, saya akan jaringkan gol kemenangan’ dan ego mereka pun mulai keluar.”

Walau bagaimanapun, Neville turut mengakui kesilapan yang dilakukan oleh Solskjaer terutama dari segi pemilihan pemain, selepas pengurus dari Norway itu menurunkan ketua pasukan, Harry Maguire.

Maguire sebenarnya baru sahaja kembali dari kecederaan dan diturunkan untuk beraksi bertemu bekas kelabnya Leicester City.

Aksi beliau dalam perlawanan itu sangat mengecewakan, bahkan Maguire turut dikecam teruk kerana dianggap punca terhasilnya gol pertama dan keempat Leicester.

“Kesalahan terbesar yang Ole Gunnar Solskjaer lakukan adalah dari segi pemilihan pemain, dengan beliau menurunkan Harry Maguire.”

Jelas Neville lagi.

“Maguire jelas sekali langsung tak boleh bermain.”

“Kita sudah mengharungi perlawanan yang mana kita tak cukup cergas dan langsung tak bersedia. Memilih dia dari awal sudah jadi satu masalah besar. Mungkin dia terlalu takut dan gugup kerana kehilangan kedua-dua Maguire dan Varane.”

“Tapi dia masih tak keluarkan Maguire pada rehat separuh masa. Dia bukan hanya menjadi punca United bolos, tapi dia juga sebenarnya langsung tak bersedia untuk bermain.”

“Saya rasa Eric Bailly sepatutnya bermain di samping Victor Lindelof, dan ini merupakan salah satu kesalahan terbesar yang dia lakukan pada hari itu.”

United selepas ini bakal berdepan dengan lawan yang sukar, dengan mereka bakal turun beraksi bertemu Atalanta dalam aksi saingan Champions League.

Selepas itu, setan merah akan turun beraksi bertemu Liverpool dalam saingan Premier League, dan akan turut melalui jadual perlawanan yang agar sukar sepanjang bulan Oktober dan November nanti.

Selepas berdepan dengan dua kekalahan dalam saingan Premier League, setan merah sepertinya sudah tergelincir dari kedudukan untuk terus mencabar kejuaraan liga.

Tekanan untuk Ole Gunnar Solskjaer semakin memuncak dengan beliau perlu memastikan United berjaya memenangi perlawanan bertemu Atalanta dan Liverpool, untuk memastikan kedudukan beliau sebagai pengurus selamat.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Alexis Sanchez Dakwa Keletihan Mental Sebagai Punca Prestasi Merosot