Pemain Muda Jangan Mudah Selesa – Lee Chong Wei

Sejak memenangi Kejohanan Terbuka Malaysia pada tahun 2004, Datuk Lee Chong Wei tidak menoleh ke belakang dan terus melangkah menjadi pemain terbaik dunia untuk sedekad. Kini pada tahun 2017, Chong Wei yang berusia 34 tahun masih lagi gigih menabur bakti kepada negara.

Cuma persoalannya, siapa pengganti Chong Wei?

Ada beberapa pemain muda yang diberikan harapan tinggi ketika mereka remaja, namun segala harapan pudar seiring dengan perjalanan masa, dan punca utamanya ialah terlalu cepat berasa selesa dengan kedudukan semasa.

Disebabkan faktor ini, Chong Wei telah menegur sebilangan pemain muda di dalam kem pasukan negara yang mudah berasa selesa ini meskipun prestasi mereka tidaklah memberansangkan di peringkat antarabangsa.

Chong Wei dan seteru utamanya, Lin Dan. Mereka tidak bercinta.

Dalam terbuka Malaysia pada tahun ini, Chong Wei bersama tiga lagi pemain – Soo Teck Zhi, Chong Yee Han dan Cheam Jun Wei membawa cabaran Malaysia, namun agak malang apabila hanya Chong Wei yang melepasi pusingan awal.

Tambah malang lagi, Teck Zhi dan Yee Han berada dalam skuad projek khas, tetapi tidak mampu untuk beraksi cemerlang walaupun diberi segala kemudahan dan modul latihan terbaik untuk membentuk mereka menjadi sebagus Chong Wei, jika tidak lebih bagus.

“Sebelum ini, pemain perlu berada dalam kelompok enam terbaik baru diberikan peluang untuk bertanding dalam kejohanan antarabangsa,” kata Chong Wei seperti yang diberitakan dalam Stadium Astro.

“Tetapi kini disebabkan pemain semakin berkurangan, kalah atau menang, mereka tetap akan dihantar beraksi di luar negara. Itu satu senario yang cukup berbeza.

“Jurulatih telah berikan segalanya tetapi bergantung kepada pemain untuk meningkatkan prestasi mereka.

“Segalanya bergantung kepada pemain perseorangan.

“Apa yang patut dikatakan sudah pun diutarakan. Peluang juga sudah diberi tetapi di kemudian hari, pemain sendiri yang perlu mengambil inisiatif,” pesan Chong Wei panjang lebar.

Chong Wei turut mengatakan ketandusan pemain muda yang baik adalah kerana tiada persaingan antara mereka. Jika keadaan ini berterusan, maka kita akan menunggu lebih lama lagi untuk melihat jagoan badminton yang berikutnya.

Artikel ini diceduk dan diolah semula dari Stadium Astro

Baca Juga

Baca Juga