Pemain Muda Malaysia Menarik Minat Gamba Osaka

Seorang pemain muda Malaysia, M. Kavishkumar berpeluang besar untuk mencipta sejarah apabila dia dijemput untuk menghadiri trial bersama kelab J1 League, Gamba Osaka.

Kepada yang tak tahu, Gamba Osaka adalah pasukan yang berjaya melayakkan diri ke AFC Champions League pada tahun ini dan diundi sekumpulan bersama gergasi Asia lain – Jiangsu Suning, Jeju United dan Adelaide United.

Berusia 20 tahun, Kavishkumar atau lebih senang dipanggil Kumar, kini bermain bersama kelab Victoria Institution FC (VIFC) – pasukan yang bertanding di KL Super League, anjuran KLFA.

Kavishkuar beraksi bersama VIFC | Gambar : FB VIFC

Bakat Kumar diasah di Victoria Institution – sekolah yang memang dikenali dalam menghasilkan pemain bola sepak di Malaysia antaranya seperti Zamir Selamat yang kini bermain bermain bersama PKNS FC, K. Reuben (Pulau Pinang), Sivanesan dan ramai lagenda seperti Mokhtar Dahari, Shahrin Majid, Fairuz Yunus, Azmin Azram Aziz, Rosle Mat Derus dan Mat Zan Mat Aris.

Pada tahun 2014, Kumar terpilih untuk menyertai Manchester United Soccer School dan kehebatannya telah menawan hati scout dari Jepun, Asaba-san. Sejak detik pertama melihat Kumar, Asaba-san terus mengikuti perkembangan penyerang ini.

Kumar di Old Trafford | Gambar : FB Kavish Kumar

Pada tahun 2016, Kumar dipilih untuk mewakili pasukan Piala Belia MISC-MIFA. Walaupun sekadar menamatkan saingan di tangga kesembilan daripada 10 pasukan kumpulan B, prestasi Kumar yang sentiasa konsisten cukup untuk meyakinkan Gamba Osaka untuk menawarkannya trial  bersama skuad bawah-23 kelab tersebut pada tahun ini.

Pasukan bawah-23 Gamba Osaka bermain di J3 League – liga divisyen 3 Jepun. Struktur liga Jepun dan Malaysia cukup berbeza di mana pasukan untuk pemain muda seperti Gamba Osaka ini berpeluang untuk bersaing dengan pemain yang lebih dewasa.

Kalau di Malaysia, pasukan bawah umur sekadar beraksi sesama mereka sahaja seperti dalam kempen Piala Presiden dan Piala Belia.

Selepas berpuas hati dengan anak muda Kuala Lumpur ini, Gamba sekali lagi memanggil Kumar untuk diuji selama sebulan pula dan dia akan berlepas ke Jepun pada 5 Oktober 2017 nanti dengan kos tiket penerbangan adalah tanggungan sendiri manakala penginapan dan pengangkutan di Jepun dibantu oleh Asaba-san.

Selain Gamba Osaka, kelab J3 League Fujieda MYFC turut menawarkan trial kepada Kumar, dan ini bermakna peluang untuk Kumar beraksi secara professional di Jepun adalah sangat cerah.

Kami di The Sukan mendoakan agar Kumar berjaya untuk menawan hati Gamba Osaka nanti. Mana tahu Kumar berpeluang menjadi pemain Malaysia pertama yang bermain di AFC Champions League.

Sumber berita : VI Football Club

Baca Juga

Baca Juga