Pemain Naturalisasi Pasukan Kebangsaan Qatar Datang dari 10 Negara

Bola sepak Qatar mungkin tidak semenggah Jepun, Korea Selatan, China atau Melaka United, namun mereka mempunyai kisah yang seronok untuk dikongsikan, selain kejayaan dan kontroversi di sebalik bagaimana mereka meyakinkan para delegasi FIFA untuk memilih negara teluk ini untuk menjadi penganjur Piala Dunia 2022.

Negara yang mengamalkan sistem pemerintahan monarki ini mempunyai keluasan sebesar 11,581 km persegi, kira-kira sebesar negeri Terengganu, dengan jumlah penduduk seramai 2.235 juta (mengikut data Bank Dunia pada tahun 2015) – sama ramai dengan jumlah penduduk di Perak.

Bendera Qatar. | Gambar : Metro Flags

Liga bola sepak negara kecil ini dimainkan menerusi dua divisyen – Qatar Star League sebagai divisyen satu yang mempunyai 14 pasukan, dan Qatargas League sebagai divisyen dua, terdiri daripada 18 pasukan.

Dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018, Qatar berjaya layak ke pusingan ketiga dan ditempatkan dalam kumpulan A bersama-sama Iran, Korea Selatan, Uzbekistan, Syria dan China.

Setakat artikel ini ditulis, Qatar terperosok di tangga kelima di atas China dengan 7 mata, dan peluang untuk mereka melayakkan diri ke pusingan akhir di Russia nanti kelihatan amatlah kabur.

Barisan pemain Qatar | Gambar : DreamTeam

Menariknya mengenai pasukan kebangsaan Qatar ini, memandangkan talent pool  mereka tidak besar, maka mereka mengambil langkah yang cepat untuk cuba menjadi kuasa Asia iaitu dengan cara memberikan kerakyatan kepada pemain-pemain import yang bermain di negara tersebut.

Lebih menarik, boleh dikatakan majoriti pemain kebangsaannya adalah pemain import dan mereka datang dari 10 negara.

Penyokong Qatar pun import ke? | Gambar : Dreamteam

Dua daripada penjaga gol mereka dilahirkan di luar Qatar, dengan Khalifa Ababacar di Senegal, dan Oumar Barry di Guinea.

Pertahanan tengah mereka, Mohammed Kasola, Ibarahim Majid dan Ro-Ro masing-masing berasal dari Ghana, Kuwait dan Portugal.

Manakala pemain tengah, Karim Boudiaf, yang memulakan karier di Lorient dan Nancy pula berasal dari Perancis dan pemain ini pernah menjaringkan gol ketika menentang Ireland Utara dan Russia dalam karier antarabangsanya bersama Qatar.

Penyokong ori Qatar | Gambar : Dreamteam

Tidak lengkap senarai import sesebuah negara tanpa pemain dari Brazil, dan Qatar memiliki Rodrigo Tabata dan Luis Junior, dan kedua-dua jejaka berdarah Amerika Selatan ini disertai oleh Sebastian Soria dari Uruguay.

Soria memulakan karier bersama Liverpool de Montevideo ketika usia mudanya.

Selain daripada itu, Qatar turut memuatkan pemain dari negara Arab dalam pasukan mereka dengan Ali Assadalla dan Ahmed Abdul Maqsoud – masing-masing berasal dari Bahrain dan Mesir.

Mengikut undang-undang FIFA, pemain yang telah bermastautin secara tetap selama lima tahun atau lebih di sesebuah negara layak untuk bermain dengan pasukan kebangsaan negara tersebut dan sebab inilah Qatar dibarisi ramai pemain import.

Adakah pemain Korea ini gelak kerana Qatar tak power? | Gambar : Dreamteam

Hasilnya, mereka layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia walaupun peluang untuk layak itu tipis.

Mungkin Qatar sedar bahawa penggunaan pemain naturalisasi sedikit sebanyak mampu memperkuatkan lagi cabaran pasukan kebangsaan mereka sehinggakan mereka muncul juara Piala Teluk 2014, mengenepikan cabaran gergasi asia lain seperti Iraq, Arab Saudi dan UAE.

Mereka juga sedar bahawa penggunaan 100% anak jati tidak akan memberikan mata tambahan kepada pasukan kebangsaannya.

Jadi, harap-harap Sumareh selepas ini dapat didaftarkan sebagai pemain Malaysia walaupun opah atau tokkinya bukan berasal dari negara ini. Sekurang-kurangnya nanti kita ada pemain yang boleh bermain bola dengan baik.

Ke nak bagi peluang kepada Darren Lok dulu?

Sumber artikel :Dreamteam

Baca Juga

Baca Juga