Pemain Pahang Bingung Dengan Isu Kontrak : Razman Roslan

KUALA LUMPUR – Kapten Pahang, Razman Roslan mengakui, kebanyakan pemain Tok Gajah kini dalam kebingungan kerana sebahagian besar mereka bakal tamat kontrak pada hujung bulan depan, sedang­kan saingan Piala Malaysia hanya akan berakhir pada Disember.

Bagaimanapun dia menegaskan, isu kontrak bukan punca kemerosotan mendadak yang dialami penyandang juara itu dalam dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Malah, Razman berjanji, situasi yang kurang menggembirakan itu tidak akan menjejaskan fokus pa­sukannya untuk mempertahankan Piala Malaysia, sekali pun mereka kini mengharungi saingan yang kurang baik selepas tewas 1-4 kepada PKNS dan Pulau Pinang.

“Memang isu kontrak membuatkan ramai pemain dalam kebingu­ngan, namun ia bukan sebab utama kami gagal bermain baik dalam dua perlawanan terakhir, sebaliknya dua kekalahan yang dialami lebih kepada masalah taktikal.

“Kalau awak (media) menonton perlawanan menentang PKNS (Sabtu lalu), Pahang me­lakukan sera­ngan secara agresif terhadap kubu lawan sebab kami nak menang tambahan pula beraksi di laman sendiri.

“Bagaimanapun selepas lawan berjaya mendahului, taktikal permainan bertukar. Corak permainan terbuka kami telah memberi ruang kepada PKNS.

“Dalam masa yang sama, saya juga ingin mengingatkan penyokong supaya jangan pa­nik. Pahang masih berada dalam kedudukan baik untuk layak ke suku akhir.

“Malah pada musim lalu kami juga tidak mengharungi kempen yang baik di peringkat kumpulan tetapi masih mampu mempertahankan kejua­raan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penangguhan beberapa perlawanan akibat jerebu telah menimbulkan masalah kepada kebanyakan pasukan selepas saingan Piala Malaysia terpaksa diteruskan lewat daripada jadual asal.

Malah bagi skuad Tok Gajah, isu kontrak sudah hangat diperkatakan sejak awal lagi kerana difahamkan ramai tonggak tidak akan disambung kontrak.

Kata Razman, seandainya Pahang mara ke pentas final Piala Malaysia yang dijadual berlangsung pada 19 Disember ia akan menyukarkan pemain dari segi memperbaharui kontrak sekiranya mahu kekal atau berhijrah.

“Saya tidak nafikan macam mana hendak hadapi Piala Malaysia kali ini sebab perlawanan separuh akhir pada November, manakala final pada Disember sedangkan kontrak kami habis pada November.

Banyak perlawanan terpaksa ditangguhkan akibat jerebu serta memberi laluan kepada pasukan yang bertanding dalam Piala AFC.

“Bukan apa, kebiasaannya apabila kontrak pemain tamat pada November mereka mula berbincang mengenai masa depan sama ada mahu berhijrah atau kekal.

“Jika tidak berhijrah mereka akan bincang dengan pasukan untuk memperbaharui kontrak mereka, minta gaji baru,” katanya lagi.

Selepas empat perlawanan, Pahang kini menduduki tangga kedua Kumpulan D.

Baca Juga

Baca Juga