Dunia sukan berduka dengan berita kematian seorang pemain China berusia 17 tahun selepas rebah di gelanggang semasa kejohanan antarabangsa di Indonesia.
Zhang Zhijie tersungkur semasa perlawanan lewat Ahad menentang Kazuma Kawano dari Jepun pada Kejohanan Berpasukan Campuran Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia.
Ketika perlawanan berkedudukan 11-11 pada perlawanan set pertama, Zhang tiba-tiba tersungkur jatuh ke gelanggang.
Seorang doktor dan pasukan perubatan segera di tempat kejadian cuba memeriksa keadaannya dan memberikan bantuan kepada pemain itu.
Doktor tersebut kemudian mendapati ada perkara yang serius sedang menimpa pemain itu dan dia dibawa ke hospital dengan ambulans dalam beberapa minit selepas itu.
Namun malangnya, pemain remaja China itu disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.
Badminton Asia dan Persatuan Badminton Indonesia kemudian mengeluarkan kenyataan untuk mengesahkan perkara itu kepada umum. Berita itu benar benar meruntun jiwa peminat badminton dunia, melihat seorang pemain remaja pergi pada usia yang sangat muda.
“Pemain perseorangan China, Zhang Zhijie, rebah di atas gelanggang semasa perlawanan pada sebelah petang,” kata Badminton Asia dan Persatuan Badminton Indonesia (PBSI) dalam satu kenyataan bersama pada Isnin.
“Dia dihantar ke hospital di mana dia meninggal dunia pada 23:20 waktu tempatan semalam.
“Dia telah dirawat oleh doktor kejohanan dan pasukan perubatan. Dia dibawa dalam ambulans siap sedia dalam masa kurang dua minit dan dihantar ke hospital.
“Badminton Asia, PBSI dan jawatankuasa penganjur amat berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa Zhang, keluarga dan Persatuan Badminton China.”
“Dunia badminton telah kehilangan pemain berbakat,” tambah kenyataan itu lagi.
Pemain berusia 17 tahun itu dianggap prospek masa depan untuk China dalam acara badminton. Dan dia antara pemain yang menyertai pasukan China dalam kejohanan antarabangsa junior di Belanda pada Mac. Membantu pasukannya menjadi juara dalam kejohanan itu.
Persatuan Badminton China, CBA berkata: “Persatuan Badminton China berasa sangat dukacita di atas pemergian Zhang Zhijie dan merakamkan salam takziah kami kepada keluarganya.
“Ketika ini, kami masih belum menerima laporan daripada hospital tempatan berkenaan dengan punca kematian mendiang.”
Dalam pada itu, kejohanan tersebut yang akan diteruskan, akan memberikan penghormatan senyap seminit pada hari ini. Pemain pemain dan staf kejurulatihan China dibenarkan memakai lilitan lengan berwarna hitam sebagai tanda berkabung.