Pemain Sasaran Manchester United Jadi Pembelian Pertama ‘Real Madrid Baharu’

Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid tidak mengambil masa yang lama untuk mengumumkan pembelian pertama di bawah pengurus yang tidak berapa baru, Zinedine Zidane dengan menandantangani pemain pertahanan Porto, Eder Militao.

Eder merupakan pemain antarabangsa Brazil dan menjadi pemain pertama yang dibawa masuk Zidane sejak legenda Perancis itu kembali mengambil alih jawatan pengurus di Santiago Bernabeu minggu lepas.

Eder Militao dibawa masuk untuk memberi saingan kepada Raphael Varane dan Sergio Ramos di bahagian pertahanan tengah.

Zidane menerima permintaan Presiden Real Madrid, Florentino Perez untuk kembali menguruskan pasukan tersebut selepas mengharungi musim yang cukup mengecewakan.

Zidane meninggalkan Real Madrid pada penghujung musim lepas selepas membantu kelab berkenaan memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut-turut. Ia merupakan satu keputusan yang mengejut dan pemain Real Madrid khususnya antara yang paling terkesan dengan tindakan Zidane itu.

Seperti diduga, pengurus seperti Jolen Lopetegui dan Santiago Solari gagal memberikan impak yang sama seperti Zidane dan hanya bertahan beberapa bulan sahaja sebelum dipecat.

Perez sebelum ini berjanji akan membawa perubahan besar-besaran ke dalam skuad Real Madrid untuk menghadapi cabaran musim hadapan dan beliau mengotakan janjinya dengan membawa masuk Eder walaupun jendela perpindahan masih belum dibuka.

Menurut laporan daripada Goal.com, Real Madrid membelanjakan hampir €50 juta untuk mengikat Eder dari Porto dengan pemain tersebut telah menandatangani kontrak selama 6 tahun.

Manchester United terus kempunan. Nampak gaya gandingan Smalling-Jones masih ditagih Solskjaer musim hadapan.

Walaupun bermain untuk Porto, Eder sentiasa berada dalam radar kelab-kelab gergasi Eropah berikutan persembahan cemerlangnya bersama pasukan tersebut.

Manchester United juga dilaporkan berminat untuk memancing Eder pada jendela perpindahan musim panas nanti namun Real Madrid bertindak lebih pantas bagi membawa masuk pemain berusia 21 tahun ini.

Eder baru sahaja menyertai Porto dari Sao Paulo pada musim panas lalu dan cepat untuk menarik perhatian kelab di sekitar Eropah berikutan persembahan cemerlangnya di Portugal.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman web rasmi Real Madrid, Eder akan menyertai pasukan tersebut pada awal musim hadapan dengan tawaran kontrak selama 6 tahun.

“Real Madrid dan Porto telah bersetuju dengan perpindahan pemain yang bernama Eder Militao, yang akan bermain untuk kelab ini bagi 6 musim yang seterusnya, sehingga 30 Jun 2025.”

Pemain antarabangsa Brazil

“Beliau datang dari Porto. Dalam musim pertamanya bersama kelab tersebut, beliau telah menjadi watak utama untuk Porto dalam Liga Portugal. Beliau telah dinamakan sebagai pemain pertahanan terbaik bagi 5 bulan berturut-turut.”

“Militao adalah pemain serba-boleh, beliau boleh bermain di tengah, dan juga mampu mengisi bahagian kanan pertahanan. Beliau dikenali dengan kelajuannya, dan kebolehannya untuk bersaing.”

“Tambahan pula, beliau juga bagus di udara. Kualiti-kualiti ini telah ditunjukkan oleh Militao sejak beliau tiba di Porto pada musim panas yang lalu, dimana beliau menunjukkan adaptasi yang pantas terhadap bola sepak Eropah.”

BACA:  Lihat Dua Kesilapan Tidak Masuk Akal Varane Membuatkan Real Madrid Terciduk