Pemain Sweden Pamerkan Aksi Kad Merah Yang Paling Menakutkan Dalam Euro 2020

Semalam menyaksikan pasukan yang bertanding di Euro telah melengkapkan senarai mereka yang layak ke peringkat suku akhir, dengan England berjaya menewaskan musuh tradisi, Jerman dua jaringan tanpa balas, dan Ukraine menjaringkan gol di minit akhir masa tambahan untuk menyingkirkan Sweden 2-1.

Senarai lengkap perlawanan suku akhir yang akan bermula dalam tempoh dua hari lagi adalah seperti berikut.

Switzerland vs Sepanyol
Belgium vs Itali
Republik Czech vs Denmark
Ukraine vs England

Memandangkan Jerman dan England adalah pasukan abang long dalam arena bola sepak dunia, maka semua mata tertumpu kepada perlawanan tersebut, tanpa menyedari bahawa ada satu lagi peralawanan yang berlangsung semalam antara Sweden dan Ukraine.

Perlawanan Sweden menentang Ukraine ini boleh dikatakan sebagai satu perlawanan yang cukup menarik di mana kedua-dua pasukan saring berbalas serangan. Perlawanan ini turut menyaksikan beberapa kali bola singgah di palang dan tiang gol kedua-dua pasukan.

Bayangkan kalau kau penyokong dua negara tu, mesti jantung dah terkeluar daripada badan.

Oleksadr Zinchenko terlebih dahulu membuka jaringan menerusi satu rembatan padu pada minit ke-27, selepas menerima hantaran outside foot daripada Andriy Yarmolenko.

Emil Forsberg kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-43, juga menerusi satu rembatan deras yang tertampan pertahanan Ukraine.

Keputusan seri kekal sehingga wisel penamat 90 minit ditiup pengadil dan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Pada minit ke-99, satu kejadian yang menakutkan berlaku apabila pemain Sweden, Marcus Danielson telah dilayangkan kad merah selepas mengkasari pemain Ukraine, Artem Besyedin.

Pada mulanya pengadil melayangkan kad kuning kepada pemain ini, namun selepas diteliti di televisyen di tepi padang, pengadil mengubah fikiran dan mengeluarkan kad merah.

Kalau ikutkan, memang patut kad merah pun. Tengok terjahan dia tu.

Terjahan ini sangatlah berbahaya dan boleh mendatangkan kecederaan jangka masa panjang. Selepas diterjah, Besyedin tidak dapat meneruskan perlawanan lagi dan terpaksa dikeluarkan.

Dengan kad merah tersebut, Sweden terpaksa bermain dengan 10 pemain dalam tempoh 21 minit masa tambahan dan lebih malang lagi, ketika perlawanan masa tambahan hanya tinggal sembilan minit, Sweden terpaksa bermain dengan sembilan pemain apabila Emil Krafth terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.

Pada minit ke-120+1, Ukraine merobek hati pemain dan penyokong Sweden menerusi gol hasil tandukan Artem Dovbyk, sekaligus menyingkir Sweden daripada saingan kali ini.

Kalau kita tengok, terjahan ini juga mirip terjahan penamat karier yang dilakukan bekas kapten Manchester United, Roy Keane, ke atas bapa Erling Haaland, Alf-Inge Haaland, ketika pertemuan antara United dan jiran setempat, Manchester City.

Selepas dikasari Roy Keane, Haaland si ayah telah berehat panjang daripada bola sepak dan selepas sembuh, dia tidak dapat kembali ke prestasi asal sekaligus menyebabkannya terpaksa menggantung but buat selama-lamanya.

Harapnya Besyedin akan mampu kembali beraksi seperti sedia kala.

Dalam edisi Euro 2020, setakat ini sebanyak lima kali kad merah telah dilayangkan dengan pemain Poland, Grzegorz Krychowiak, muncul pemain pertama menerimanya, ketika perlawanan menentang Slovakia.

Pemain Wales, Ethan Ampadu menjadi penerima kad merah kedua kejohanan ketika perlawanan menentang Itali, selepas terpijak kaki Federico Bernardeschi. Itali muncul pemenang perlawanan tersebut menerusi gol tunggal Matteo Pessina pada minit ke-39.

Menariknya, dua kad merah pertama kejohanan ini dilayangkan oleh pengadil yang sama – Ovidiu Hategan dari Romania.

Dalam pusingan 16-pasukan, pemain Wales sekali lagi merekodkan kad merah di kalangan pemainnya apabila Harry Wilson selepas mengasari pemain Denmark. Sebenarnya kad merah ini boleh dikatakan agak lembut kerana kekasaran yang dilakukan tidaklah seberapa sangat.

Kad merah Wilson ini juga dikecam kapten Wales, Gareth Bale, yang mengatakan bahawa pasukannya dilayan dengan teruk oleh pengadil perlawanan yang turut menafikan beberapa kekasaran daripada Denmark.

Pemain Belanda yang berprofil tinggi, Matthijs de Ligt, muncul pemain yang keempat menerima kad merah selepas dia dengan sengaja menampan bola dengan tangan selepas tergelincir diasak penyerang Republik Czech, Patrik Schick.

Perlawanan tersebut menyaksikan Belanda tersingkir daripada saingan Euro 2020 selepas tewas 0-2, lantas membawa kepada perletakan jawatan pengurusnya, Frank de Boer.

Sumber :

SB
The Sun

BACA:  Tidak Kira Apa Berlaku, Souness Mahu FIFA Sediakan Tempat Untuk Ukraine Beraksi Di Pentas Piala Dunia