Pemain Unik: Pemain Tunggal Dari Setiap Negara Yang Bermain di Liga Perdana Inggeris

Karier Gunnar Nielsen di Liga Perdana Inggeris sangat singkat iaitu hanya 17 minit. Beliau dimasukkan menggantikan Shay Given yang mengalami kecederaan bahu. Ketika itu pasukannya, Manchester City menentang Arsenal. Walaupun hanya bermain sekejap, detik itu sangat bermakna kerana Nielsen muncul sebagai pemain pertama dan satu-satunya dari Kepulauan Faroe yang bermain di Liga Perdana Inggeris.

Kejayaan Nielsen mencetuskan kegembiraan di kampung halamannya. Stesen radio tempatan menghubungi abangnya untuk mendapatkan reaksi sebelum perlawanan tamat. Mujurlah Nielsen berjaya mengekalkan gawangnya dari dibolosi dan mengelakkan dari melakukan sebarang kesilapan yang memalukan.

Beliau menyertai satu kumpulan kecil pemain yang merupakan wakil tunggal dari negaranya bermain di Liga Perdana. Pemain terbaru dalam senarai ini ialah Abdukodir Khusanov dari Uzbekistan yang menyertai Manchester City. Sebelum itu, Ali Al-Hamadi dari Ipswich Town menjadi pemain Iraq tunggal di liga tersebut. Dia muncul dalam  perlawanan pembukaan musim menentang Liverpool.

Selain Nielsen, ini adalah senarai lain; Victor Wanyama (Kenya), Henrikh Mkhitaryan (Armenia), Onel Hernandez (Cuba), Junior Firpo (Republik Dominika), Nathaniel Mendez-Laing (Guatemala), Danny Higginbotham (Gibraltar), Ryan Donk (Surinam), Ali Al-Habsi (Oman), Jordi Amat (Indonesia), Hamza Choudhury (Bangladesh), Dylan Kerr (Malta), Mbwana Samatta (Tanzania), Frederic Nimani (Republik Afrika Tengah), Neil Etheridge (Filipina) dan Zesh Rehman (Pakistan).

Kebanyakan dari negara itu bukanlah kuasa besar bola sepak. Beberapa pemain dalam senarai ini lahir dan dibesarkan di negara dengan budaya bola sepak yang lebih kuat tetapi memilih untuk mewakili negara asal keluarga mereka (pemain warisan). Namun, ada juga yang memulakan kariernya dari negara kurang dikenali dalam bola sepak tetapi berjaya menembusi liga paling berprestij di dunia.

Nielsen sendiri merasakan cabaran besar sebagai pemain dari Kepulauan Faroe. “Kami lebih dekat dengan bola sepak Denmark, tetapi tiada pemain Faroe sebelum saya yang bermain di Premier League. Jadi, tiada contoh untuk saya ikuti,” katanya.

Bagi Wanyama, beliau juga tidak mempunyai pemain dari Kenya untuk dijadikan inspirasi tetapi abangnya, McDonald Mariga memberi panduan kepadanya apabila dia beraksi di Serie A bersama Parma. Wanyama kemudiannya menyertai kelab Belgium, Beerschot sebelum menembusi Liga Perdana bersama Southampton dan Tottenham Hotspur.

Bagi Etheridge, beliau lahir dan dibesarkan di England tetapi layak bermain untuk Filipina melalui kelahiran ibunya. Ketika berusia 18 tahun rakan-rakan akademi Chelsea, James dan Phil Younghusband yang menyertai Filipina mencadangkan namanya untuk pasukan kebangsaan negara itu. Etheridge membuat debut antarabangsa pada tahun 2008 dan kini sudah mempunyai lebih 80 caps serta menjadi kapten pasukan sejak 2022.

“Filipina sangat bangga dengan budaya mereka. Saya melihat peluang untuk membuat perubahan di negara yang lebih terkenal dengan bola keranjang berbanding bola sepak,” katanya.

Ketika pertama kali Etheridge dipanggil ke pasukan kebangsaan, Filipina berada di ranking ke-195 dunia. Namun, mereka berjaya layak ke Piala Asia 2019 dan mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 untuk kali pertama.

Pemain-pemain ini bukan sekadar mencapai kejayaan peribadi tetapi juga menjadi inspirasi kepada generasi baru di negara itu. Wanyama berkata,

“Saya bangga jika saya telah membantu pemain muda percaya bahawa mereka juga boleh bermain di Liga Perdana.”

Etheridge pula menambah,

“Jika bukan kerana saya dan kejayaan saya, ramai pemain bola sepak Filipina mungkin tidak akan mendapat peluang bermain secara profesional. Kini, lebih ramai pemain memilih untuk mewakili Filipina kerana mereka tahu kewujudan pasukan kebangsaan kami.”

Bagi kebanyakan pemain ini, bermain di Liga Perdana bukan sekadar impian peribadi tetapi juga satu langkah besar untuk bola sepak di negara mereka.

BACA:  Adakah Kejujuran Amorim Boleh Memakan Dirinya Sendiri?