Pemain Yang Xavi Mahukan Andai Beliau Mengurus Barcelona

Xavi pada tahun lalu pernah mendedahkan pemain bintang yang beliau mahu tandatangani seandainya dilantik menjadi pengurus Barcelona.

Beliau pada ketika itu lagi sudah mendedahkan hasrat hatinya untuk menjadi pengurus Barcelona satu hari nanti, andai beliau diberikan peluang oleh kelab.

Xavi tidak dinafikan lagi sememangnya antara legenda terhebat sepanjang kelab dengan beliau telah meninggalkan gergasi Catalan itu pada tahun 2015 yang lalu.

Beliau telah mengharungi karier yang sungguh luar biasa mengagumkan bersama Barcelona dan kini beliau berkemungkinan akan dilantik untuk menjadi pengurus kelab.

Xavi pada ketika ini masih mengurus gergasi Qatar, Al Sadd dan beliau dilaporkan sudah menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran Barca untuk menggantikan Ronald Koeman.

Beliau memang sudah lama merancang (tapi tak ada sesiapa yang lalai) untuk kembali ke Nou Camp, namun hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk menjadikan hal itu satu kenyataan.

“Saya yakin dengan keputusan saya untuk kembali ke Barcelona, Saya sangat teruja untuk kembali.”

“Sekarang saya sudah nampak diri saya boleh melatih dan saya fikir saya boleh menyampaikan sesuatu kepada pemain.”

Jelas Xavi mengenai hasratnya untuk kembali.

“Tetapi secara jujurnya saya berterus terang kepada mereka bahawa saya melihat diri saya sebagai pengurus yang akan bermula dari kosong, dan segala keputusan untuk memulakan sesuatu adalah datang dari saya.”

“Saya sangat suka bekerja dengan orang yang saya percaya, berkerjasama dengan orang yang betul adalah satu kelebihan untuk saya.”

“Tidak boleh disangkal bahawa sudah pasti akan ada toxic dalam kalangan pasukan.”

Xavi terus mendedahkan beberapa pemain yang beliau akan tandatangani sekiranya beliau dilantik menjadi pengurus pasukan Barcelona.

“Saya akan membawa pemain sayap seperti Neymar, saya tidak pasti sama ada beliau boleh menyesuaikan diri atau tidak dengan isu sosialnya, tetapi dari segi permainan bola sepak, dia sememangnya bagus.”

“Kekurangan pasukan Barcelona sekarang adalah tiada pemain sayap yang bagus seperti Bayern mempunyai Gnabry, Dortmund ada Jadon Sancho dan Liverpool ada Salah dan Mane.”

“Barcelona memerlukan pemain sayap yang berkualiti seperti itu.”

Jelas Xavi pada tahun lalu.

Namun kini mungkin semuanya sudah berubah, dan tugas beliau sudah tentu akan semakin berat memandangkan nadi utama yang beliau harapkan, Messi sudah meninggalkan kelab.

Lionel Messi telah meninggalkan Barcelona pada jendela perpindahan musim panas lalu, dengan beliau kini menandatangani kontrak sebagai pemain free ejen bersama Paris Saint Germain.

Oleh yang demikian, agak sukar sebenarnya untuk Xavi menguruskan skuad Barca pada ketika ini, yang terumbang ambing selepas kehilangan Lionel Messi.

Dan jika sebelum ini beliau hanya mahu mencari pemain sayap, kini beliau juga perlu mencari pemain penyerang yang boleh beri impak yang sama seperti Lionel Messi.

Beliau juga mungkin sukar untuk mendapatkan Neymar memandangkan bintang Brazil itu pada ketika ini sedang bahagia bersama Messi di Parc des Princes.

Neymar sebelum ini memang sering dikaitkan dengan kepulangan semula ke Nou Camp, namun sejak beberapa musim terakhir ini, beliau sepertinya sudah mula selesa di Paris dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk beliau pergi.

Jadon Sancho pula sudah meninggalkan Borussia Dortmund pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini untuk menyertai Manchester United.

Xavi juga sepertinya agak mustahil untuk mendapatkan bintang England itu memandangkan beliau baru sahaja ditandatangani oleh setan merah.

Gnabry mungkin boleh menjadi pemain sasaran beliau dengan bintang Bayern Munich itu jelas sekali antara pemain sayap paling berprestasi pada ketika ini.

Namun jika dilihat kepada persembahan dan sumbangannya, jelas sekali Bayern Munich tidak akan melepaskan pemain mereka itu dengan mudah.

Maka Barcelona perlu menyediakan dana perpindahan yang mencukupi seandainya mereka benar-benar berhasrat untuk mendapatkan bintang handalan Bayern Munich itu.

Sadio Mane pada ketika ini mungkin sudah tidak berada di tahap persembahan terbaiknya, namun beliau masih lagi antara pemain sayap terhebat dalam dunia bola sepak.

Mane merupakan antara pemain terpenting untuk Liverpool, dan jelas sekali tidak akan mengejutkan untuk melihat Barca berjaya mendapatkan bintang Senegal itu, namun ia tentunya perlu melibatkan yuran perpindahan yang besar.

Mo Salah pula pada ketika ini dianggap sebagai pemain terhebat dalam dunia bola sepak selepas menunjukkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

Salah jelas sekali menjadi watak penting sebalik kejayaan, Liverpool mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 24 perlawanan dalam semua pertandingan.

Bukan hanya Barcelona, bahkan mana-mana kelab sahaja dalam dunia bola sepak hari ini sudah tentu memasang hasrat untuk menandatangani bintang Mesir itu.

Liverpool sendiri pada ketika ini sedang berunding dengan Salah untuk menawarkan kontrak baru kepadanya, dengan kedua-dua pihak sedang berunding soal tawaran gaji.

Tidak mustahil juga Barca boleh mencuba nasib untuk mendapatkan Mo Salah, namun jelas sekali harga bintang Mesir itu mungkin akan jauh lebih mahal berbanding harga Philippe Coutinho.

Barca pada ketika ini masih mempunyai barisan pemain berkelas dunia di setiap posisi, namun untuk Xavi mulakan era baru di bawah kendalian beliau, setidak-tidaknya dua penandatanganan mega perlu dilakukan oleh kelab untuk melihat hasil yang lebih memuaskan hati.

Selepas memecat Ronald Koeman, nama Xavi antara yang paling hangat dikaitkan dengan Barcelona pada ketika ini, dengan beliau sendiri sudah bersetuju untuk menerima tawaran tersebut.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa legenda Barca itu sudah bersetuju dengan tawaran dari bekas kelabnya, dengan beliau kini sedang berunding dengan pihak kelabnya sekarang (Al Sadd) berkait hal tersebut.

BACA:  Champions League 2021/22: Benfica 3-0 Barcelona