Pemilik Liverpool Diselar Kerana Situasi Kontrak Salah

Pemilik Liverpool, Fenway Sports Group (FSG) telah diselar dalam menangani situasi kontrak Mohamed Salah yang masih tiada kata putus dan dilabel sebagai tidak boleh diterima.

Pemain sayap Mesir itu telah memasuki tahun akhir kontraknya bersama The Reds dan perjanjian terbaru masih lagi tidak nampak tanda persetujuan akan dicapai dari kedua-dua belah pihak.

Liverpool pantas menyelesaikan kontrak bersama Sadio Mane selepas tidak mencapai persetujuan apabila melepaskan pemain Senegal itu ke Bayern Munich.

Dan kontrak bersama Salah masih terkial-kial tanpa kepastian dan Salah akan menjadi ejen bebas pada penghujung musim 22/23.

Bekas pemain Tottenham Hotspur dan Wolverhampton Wanderers, Jamie O’Hara telah menyatakan pandangannya mengenai situasi ini.

“Salah akan memasuki tahun akhir kontraknya, masih tiada tanda untuk satu perjanjian baru dimeterai dan Sadio Mane telah pun pergi.”

“Kini mereka memperoleh kembali wang mereka dengan Mane, satu urusan perniagaan yang bagus.”

“Dia pernah bersama Liverpool dan akhirnya pergi jua atas pelbagai sebab dan aku pasti ini bergantung kepada wang.”

Walau apa pun sebab Mane pergi meninggalkan Liverpool termasuklah kerana wang namun semuanya telah selepas dan situasi Salah tidak boleh diterima.

“Kini Salah mungkin akan pergi secara percuma, ini tidak boleh diterima.”

“Liverpool telah meletakkan penanda aras bagaimana urusniaga dilakukan sebagai kelab bola sepak dan mereka telah lakukan dengan sangat cemerlang.”

“Tetapi mereka perlu selesaikan masalah ini kerana Mo Salah tidak boleh meninggalkan kelab secara percuma.”

Perbincangan kontrak antara pegawai Liverpool dan wakil Salah telah berlarutan untuk tempoh yang panjang dan mereka telah tersekat di skala 6.

Situasi ini meleret hampir menyamai sinetron Bawang Putih Bawang Goreng dan telenovel Amerika Latin seperti Rosalinda Ayamas.

Perbincangan tersangkut ketika Salah berkata tidak mahu mencari duit berkoyan-koyan dan kelab pula bertegas tidak mahu memusnahkan struktur gaji yang bersiling.

Mohamed Salah sendiri telah mengesahkan akan terus bermain bersama Liverpool untuk musim 22/23 sebelum perlawanan akhir Champions League yang menyaksikan mereka kecundang lagi dikaki Real Madrid.

“Aku masih lagi dalam kontrak sehingga musim hadapan (22/23) jadi aku akan kekal sehingga ke akhir kontrak.”

Ketika ditanya mengenai perkembangan situasi kontraknya, Salah menjawab:

“Tidak lagi, tiada apa langsung setakat ini.”

Salah tiada perancangan untuk meninggalkan Liverpool dan mahu melanjutkan kontrak jika dipersetujui apa yang diminta.

Pemain sayap itu menyertai Liverpool pada tahun 2017 dari AS Roma dengan nilai perpindahan £36.5 juta dan sejak itu Salah telah memahat nama sebagai salah seorang pemain terbaik dunia dan juga dalam sejarah Liverpool.

Mohamed Salah telah mempunyai 254 penampilan sejak tiba di Anfield merentasi semua kejohanan dan telah menjaringkan 256 gol.

Sebelum ini Liverpool dilaporkan berkira-kira dan bersedia untuk mempertimbangkan tawaran dalam lingkungan £60 juta untuk Salah.

Secara logiknya Liverpool pasti tidak mahu mengalami kerugian dan masih mempunyai masa mencari pengganti jika Salah dilepaskan dengan kadar segera.

Tambahan pula perjanjian menemui jalan buntu kerana Salah mahukan gaji mingguan sehingga £400,000 dan situasi ini berlarutan hampir setahun.

Pada ketika ini, pemain yang menerima gaji paling tinggi di Anfield adalah pemain pertahanan, Virgil van Dijk, iaitu £240,000 seminggu.

Sebagai kelab yang memegang utuh kepada struktur gaji yang bersempadan dan tidak melampau sukar untuk Liverpool memenuhi permintaan Salah.

Dengan gaji £400,000 seminggu di usia Salah menjengah awal 30-an merupakan sesuatu yang tidak berbaloi.

BACA:  Champions League 2019/20: Liverpool 2-3 Atletico Madrid (Agg. 2-4)