Peminat Arsenal Bengang McArthur Tak Dilayangkan Kad Merah Lepas Rembat Betis Saka

Pemain midfield Crystal Palace, James McArthur bernasib baik tidak dilayangkan dengan layangan kad merah selepas melakukan kekasaran keras terhadap Bukayo Saka.

Beliau melakukan half volley yang sungguh padu, namun sayangnya sasaran beliau bukan bola, tetapi betis pemain penyerang Arsenal, Bukayo Saka.

Bekas pemain kebangsaan Scotland yang kini berusia 34 tahun itu telah membuat lapan penampilan untuk Crystal Palace sepanjang musim ini.

Beliau dengan tidak sengaja telah melepaskan rembatan super padu tepat ke arah betis Bukayo Saka ketika aksi pertemuan antara Crystal Palace bertemu Arsenal di Emirates dalam saingan Premier League.

Pengadil perlawanan, Mike Dean memutuskan untuk memberikan kad kuning sahaja atas kekasaran tersebut berbanding kad merah.

Namun begitu, mangsa yang dirembat, Saka pula terpaksa dikeluarkan oleh Mikel Arteta dan digantikan oleh Albert Sambi Lokonga sebelum sepak mula aksi babak kedua permainan.

Keputusan Mike Dean untuk tidak melayangkan kad merah kepada James McArthur telah mengundang kecaman dari para peminat di media sosial.

“Macam mana McArthur boleh tak dilayangkan dengan kad merah? Saya tak nampak dia macam nak rembat bola.”

“Adakah kesalahan macam ini boleh dianggap tak disengajakan? Tak ada alasan untuk Mike Dean tak buang dia dari padang.”

“Saka terpaksa dikeluarkan pada awal babak kedua, maksudnya dia sakit, dan jelas sekali kekasaran itu bahaya. Saya tak faham kenapa tak layangkan kad merah?”

“Atas dasar apa dia terselamat dari dilayangkan kad merah? Kenapa? Saya rasa kesalahan yang dia buat tu memang patut dilayangkan kad merah tanpa di rujuk mana-mana.”

Begitulah komen-komen dari para peminat di media sosial, yang merasakan McArthur selayaknya dibuang padang atas kekasaran yang beliau lakukan ke atas Saka.

Ia merupakan malam yang tentunya mahu segera dilupakan oleh kem Arsenal, dengan mereka hanya mampu mencatatkan keputusan seri bertemu Palace, walau sudah mendahului sejak minit ke-8 permainan lagi.

Pierre-Emerick Aubameyang berjaya membuka tirai jaringan untuk Gunners seawal minit ke-8 permainan dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat aksi babak pertama permainan.

Walaupun bermula dengan sangat cemerlang dalam perlawanan ini, anak-anak buah Mikel Arteta sepertinya bergelut dengan masalah prestasi pada aksi babak kedua permainan.

Pada minit ke-50 permainan, Crystal Palace akhirnya berjaya memadam kelebihan satu gol Arsenal miliki menerusi jaringan dari Christian Benteke.

Penandatanganan musim panas, Odsonne Edouard kemudiannya menjaringkan gol kedua untuk Palace mendahului Arsenal 2-1 pada minit ke-73 permainan.

Ketika para penyokong Gunners sudah merasakan yang mereka bakal pulang dengan tangan kosong, Alexandre Lacazette muncul wira Arsenal untuk jaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan permainan.

Perlawanan tamat dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati pulang dengan satu mata selepas terikat 2-2 dalam satu perlawanan yang sangat sengit dan mengujakan.

Seandainya Mike Dean membuat keputusan yang tepat dengan melayangkan kad merah pada McArthur, keputusan perlawanan tentunya akan lebih berbeza.

Kerana itu jugalah para penyokong Arsenal begitu bengang bagaimana McArthur boleh terselamat dari layangan kad merah sedangkan beliau layak untuk menerimanya.

Keputusan seri ini menjadikan Arsenal untuk kekal di kedudukan ke-12 dalam carta liga dengan mengumpul 11 mata selepas mengharungi 8 perlawanan.

Sementara Crystal Palace pula berada di kedudukan ke-14 dalam carta liga, dengan mengumpul lapan mata, lima mata sahaja menyelamatkan mereka dari berada di zon penyingkiran.

Arsenal pada hujung minggu ini akan turun beraksi bertemu Aston Villa, sementara Crystal Palace pula bakal bertemu Newcastle United dalam saingan Premier League.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Alexis Sanchez Dakwa Keletihan Mental Sebagai Punca Prestasi Merosot