Peminat Bengang Melihat Mbappe Gantikan Griezmann Sebagai Pengambil Sepakan Percuma Perancis

Kylian Mbappe sepertinya sudah mengambil alih tempat Antoine Griezmann sebagai pengambil sepakan percuma untuk skuad kebangsaan Perancis.

Menurut laporan dari media Perancis, banyak pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Didier Deschamps untuk membenarkan Mbappe menjadi pengambil sepakan percuma berbanding Griezmann.

Ia kerana Kylian Mbappe sepanjang karier profesionalnya, beliau masih belum pernah menjaringkan gol menerusi sepakan percuma.

Pemain penyerang berusia 22 tahun itu sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas mempunyai krisis dengan rakan sepasukannya, Olivier Giroud.

Beliau ketika aksi pertemuan bertemu Hungary tampil untuk mengambil sepakan percuma, dan sepertinya sudah menjadi rutin beliau untuk melakukan hal tersebut ketika ini.

Menurut sumber laporan dari RMC, Mbappe ketika ini sudah secara rasminya ditugaskan untuk mengambil semua sepakan percuma yang berpotensi untuk menjaringkan gol.

Menurut laporan sama, Griezmann akan meneruskan rutin beliau untuk mengambil sepakan percuma, tapi bukan dalam situasi yang boleh menjaringkan gol.

Jika sepakan percuma itu dari kawasan berhampiran kotak penalti, maka Mbappe yang akan mengambilnya dan jika ia dari luar atau jauh dari kotak, maka Griezmann yang akan lakukannya.

Griezmann pernah menjaringkan tujuh gol dari sudut sepakan percuma dari 39 percubaan sejak kariernya bersama Atletico Madrid.

Para peminat benar-benar tidak gembira dengan keputusan dari Didier Deschamps itu dengan menganggap beliau terlalu mengikut telunjuk kata Mbappe.

Jelas sekali ramai yang tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana Mbappe belum pernah menjaringkan gol menerusi sudut sepakan percuma, jadi seperti satu hal yang sia-sia membazirkan peluang yang ada jika beliau yang melakukannya.

Perancis mempunyai ramai pemain lain yang boleh mengambil sepakan percuma seperti Paul Pogba, Karim Benzema, Antoine Griezmann dan Lucas Digne.

Jadi kerana itulah para peminat merasakan yang Didier Deschamps sepatutnya memberi ruang kepada pemain yang betul-betul mempunyai kemampuan sahaja untuk menjalankan tugas tersebut.

Carl-Oscar Kallstrom merupakan salah seorang individu yang mempersoalkan tentang keputusan tersebut dengan menyatakan:

“Fakta bahawa Mbappe mengambil sepakan percuma untuk Perancis telah membangkitkan banyak isu tentangnya di peringkat kelab.”

Tulis Oscar di laman twitter miliknya.

“Dia tidak mempunyai kemampuan untuk melepaskan rembatan padu dari jarak jauh dan dia jelas bukan pengambil sepakan percuma yang bagus. Mereka ada Griezmann, Pogba, Digne dan Benzema dalam skuad.”

Bukan hanya Oscar, malah kebanyakan peminat di media sosial turut menghentam Didier Deschamps kerana membuat keputusan yang dianggap tidak masuk akal itu.

“Digne langsung tidak dipandang, Griezmann jauh lebih bagus berbanding Mbappe dari segi sepakan percuma. Kenapa perlu gunakan dia?”

“Tidak dinafikan Mbappe seorang pemain yang bagus, dia laju, dia ada penyudah, tapi dia bukan pengambil sepakan percuma. Kenapa perlu buang masa?”

“Deschamps terlalu mengikut telunjuk Mbappe, dia pengurus dan dia sepatutnya kenal kebolehan setiap pemain dia.”

“Makin lama Mbappe semakin besar kepala, mungkin kerana dia tak bermain dengan pemain senior di peringkat kelab, kerana itulah dia jadi besar kepala.”

Begitulah komen-komen dari para peminat yang merasakan Mbappe tidak sepatutnya ditugaskan untuk menjadi pengambil sepakan percuma Perancis.

Perancis sudah mengesahkan tempat untuk mereka mara ke pusingan kalah mati selepas mengumpul empat mata dari dua perlawanan peringkat kumpulan.

Mereka pada awal pagi esok akan bertemu dengan Portugal dan seandainya menang, Perancis akan mara sebagai Juara kumpulan.

Portugal sendiri terdesak untuk menang dalam perlawanan itu, kerana mahu memastikan mereka turut layak ke pusingan 16 terbaik.

Dua lagi pasukan dari kumpulan F, Jerman dan Hungary akan bertemu juga pada awal pagi esok, dengan skuad kendalian Joachim Low itu hanya perlu mencatatkan keputusan seri sahaja untuk mara ke peringkat seterusnya.

Pertembungan antara kesemua empat pasukan dari kumpulan F yang dianggap sebagai kumpulan maut dalam saingan Euro 2020 itu tentunya akan menyajikan pelbagai aksi yang menarik.

Memandangkan peluang masih terbuka untuk tiga lagi pasukan, dan Perancis juga mahu mencari semula rentak kemenangan mereka, maka aksi dari kumpulan F yang akan dilangsungkan pada awal pagi esok tentunya akan dinanti-nantikan oleh para peminat.

BACA:  Cadangan Genius Bundesliga Untuk Meleraikan Masalah Berebut Penalti Boleh Diguna Pakai