Peminat Bengang Melihat Senarai Calon Pemenang Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Premier League

Para peminat bola sepak Inggeris tidak berpuas hati melihat senarai calon pemenang anugerah Pemain Terbaik Tahunan bagi tahun ini.

Jelas sekali ramai yang akan terkejut kerana nama seperti Cristiano Ronaldo, Virgil Van Dijk atau Sadio Mane tidak tersenarai, tetapi pemain seperti James Ward-Prowse ada dalam senarai tersebut.

Dengan saingan musim ini akan tamat tidak lama lagi, sudah tentu ramai peminat yang akan tertanya-tanya siapa agaknya pemain yang akan dinobatkan sebagai pemain terbaik tahunan saingan Premier League.

Mohamed Salah sementara itu telah sah dinobatkan sebagai penerima anugerah Football Writers Award pada awal minggu lalu.

Pemain kebangsaan Mesir itu turut tercalon sebagai calon pemenang anugerah PFA Player Of The Year tahun ini dan beliau dianggap calon kegemaran untuk membawa pulang anugerah tersebut.

Bintang Manchester City, Kevin De Bruyne merupakan seorang lagi calon pemain yang dianggap calon kegemaran untuk memenangi anugerah itu selain Mo Salah.

Liverpool walau sedang mengharungi antara musim terbaik mereka pada musim ini, namun hanya dua sahaja pemain mereka yang ada dalam senarai yang didedahkan oleh Premier League.

Mohamed Salah dan Trent Alexander Arnold merupakan dua pemain dari skuad The Reds yang ada dalam senarai ini, dan ramai yang mempersoalkan mengapa pemain seperti Sadio Mane dan Virgil Van Dijk tidak tersenarai.

Sadio Mane merupakan antara pemain yang paling berprestasi pada ketika ini dengan beliau berjaya menjadi nadi terpenting sistem serangan Liverpool sejak dari Februari lalu.

Hal ini kerana persembahan Mo Salah jatuh mendadak selepas berakhirnya aksi AFCON dan ketika itulah Mane tampil untuk menggalas tugas sebagai nadi utama jentera serangan The Reds.

Dek kerana itulah ramai yang mempertikaikan tentang senarai tersebut dan mempersoalkan mengapa Sadio Mane tidak tersenarai sebagai calon pemenang.

Pemain lain yang ada dalam senarai itu adalah duo Man City, Joao Cancelo dan Kevin De Bruyne, Son Heung-min (Tottenham Hotspur), Bukayo Saka (Arsenal), Jarrod Bowen (West Ham) dan James Ward-Prowse (Southampton).

Antara nama yang mengejutkan ramai pihak adalah James Ward-Prowse dan ramai peminat merasakan beliau tak sepatutnya ada dalam senarai akhir.

Peminat di media sosial hangat membincangkan hal tersebut dan rata-rata dari mereka yakin dan pasti Ward-Prowse tak layak untuk ada dalam senarai tersebut.

“Ini perkara paling lawak musim ini selain dari melihat aksi Maguire setiap minggu. Macam mana James Ward-Prowse boleh ada dalam senarai ini?”

“Adakah kemahiran mengambil sepakan percuma diambil kira? Hanya kerana itu sahaja James Ward-Prowse ada dalam senarai ini?”

“Saya tak faham mengapa nama James Ward-Prowse boleh ada dalam senarai ini, apa pencapaian dia yang hebat sangat? Di mana kedudukan Southampton?”

“Anugerah ini semakin hilang prestij dia, macam mana pemain seperti Ward-Prowse boleh ada dalam senarai ini? Saya betul-betul tak faham.”

“Mengarut, memang sangat-sangat mengarut. Dari ramai pemain lain yang berkemampuan kenapa dia yang dipilih?”

Jelas sekali para peminat langsung tidak gembira melihat nama James Ward-Prowse ada dalam senarai tersebut dan sepertinya mereka berhak untuk bersuara.

Hal ini kerana ramai lagi pemain lain yang lebih layak dan lebih berpotensi untuk ada dalam senarai ini, namun akhirnya mereka tidak disenaraikan.

Walau bagaimanapun, melihat kepada senarai yang ada, siapa agaknya paling layak memenangi anugerah tersebut? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lima Pemain Bola Sepak Yang Handal Dalam Sukan Lain