Peminat Man Utd Tidak Dapat Beraya Dengan Tenang Kerana Aksi Dungu Maguire Dan De Gea

Peminat Manchester United pastinya tidak dapat beraya dengan tenang tahun ini kerana aksi dungu tidak boleh bawa bincang yang telah ditunjukkan oleh Harry Maguire dan David De Gea ketika menentang Sevilla.

Kerana aksi kelakar dua pemain pertahanan ini Sevilla menunjukkan Setan Merah jalan pulang ke kampung menjelang hari raya dari saingan Europa League diperingkat suku akhir.

Dalam perlawanan suku akhir pertama Europa League di Old Trafford, Sevilla telah mencipta kebangkitan untuk mengikat Setan Merah selepas ketinggalan dua gol ketika Setan Merah membazirkan deretan peluang keemasan.

Bermain di Stadium Ramón Sánchez Pizjuán, Sevilla tidak lagi menoleh kebelakang dengan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri apabila menang penuh bergaya tiga gol tanpa balas.

Kemenangan ini menyaksikan Sevilla mara mudah ke separuh akhir dengan agregat 5-2 ketika ramai permerhati menjangkakan perlawanan sengit akan disajikan.

Kesilapan Harry Maguire

Manchester United bermula langkah kiri apabila dihukum seawal minit kelapan dengan jaringan gol pembukaan dari Youssef En-Nesyri selepas memanfaatkan kesilapan bahagian pertahanan Setan Merah.

David De Gea telah menolak bola kepada Harry Maguire yang sudah diketahui kualitinya dalam memegang bola yang terus kelam kabut apabila ditekan Youssef En-Nesyri.

Hantaran Maguire sampai kepada lawan dan Youssef En-Nesyri terus melakukan percubaan untuk menewaskan De Gea. Mungkin silap De Gea menghantar bola kepada Maguire dengan dua pemain Sevilla sedang menekan.

Kesilapan De Gea

Dipenghujung babak pertama Sevilla berjaya menggandakan kedudukkan melalui Lucas Ocampos namun mujur jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.

Dua minit permainan bersambung, Loic Bade menggandakan kedudukan selepas menanduk masuk sepakan penjuru Ivan Rakitic yang melemaskan David De Gea dengan tandukan berputar.

Lima pertukaran yang dilakukan Erik Ten Hag untuk mengubah keputusan perlawanan tidak berhasil dan Youssef En-Nesyri terus membunuh permainan pada minit ke-81 dengan gol ketiga.

Tindakan David De Gea untuk keluar jauh ke atas ternyata salah apabila gagal mengawal bola dengan kemas dan tertolak bola kepada Youssef En-Nesyri ketika gawang terbuka luas.

Kekalahan ini melebarkan rekod tanpa menang Manchester United menentang Sevilla kepada lima perlawanan. Sevilla terus menjadi badi dan duri dalam daging buat pasukan Inggeris.

Keputusan perlawanan dengan aksi memalukan ini pasti menjadikan raya kali ini sukar buat peminat setan merah yang pastinya dibahan oleh sanak saudara dan juga rakan taulan.

Semoga aksi mengejek ini akan lebih mengeratkan hubungan dan tidak menjadi punca pergaduhan.

Baca Juga

Baca Juga