Peminat Sedih Melihat Tangisan Fabianski Ketika Beraksi Buat Kali Terakhir Untuk Poland

Para peminat menangis kesedihan melihat aksi terakhir Lukasz Fabianski bersama skuad kebangsaan Poland, dengan beliau sendiri turut menitiskan air mata di National Stadium di Warsaw.

Karier antarabangsa penjaga gol West Ham itu akhirnya tiba ke penghujungnya dengan beliau sudah mengumumkan sebelum ini untuk bersara dari pentas bola sepak antarabangsa pada musim panas ini.

Penjaga gol berusia 36 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama Arsenal, Swansea dan West Ham ketika kariernya di England, dan beliau tidak dinafikan lagi antara pemain terbaik pernah menghiasi dunia bola sepak.

Walau sudah mengumumkan persaraannya pada musim panas baru-baru ini, Fabianski walau bagaimanapun telah diberi kesempatan oleh pengurusnya, Paulo Sousa untuk turun buat kali terakhir.

Beliau diturunkan ketika aksi bertemu San Marino, dalam aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia, dengan Fabianski kemudiannya dikeluarkan pada minit ke-57 permainan.

Beliau dikeluarkan pada minit ke-57 permainan bersempena dengan 57 caps yang berjaya beliau capai bersama skuad kebangsaan Poland.

Sejak dari detik pembantu pengadil mengangkat papan untuk memanggil beliau keluar, dan digantikan oleh penjaga gol Monaco, Radoslaw Majecki, Fabianski terus menangis.

Beliau mungkin sudah sedar yang itu merupakan kali terakhir beliau akan menjaga gawang gol skuad kebangsaannya, dan kerana itulah beliau menangis kesedihan.

Tangisan beliau semakin kuat ketika Fabianski sedang berjalan untuk meninggalkan padang, dengan beliau turut menerima standing ovation dari para penyokong yang hadir.

Fabianski juga turut mencium logo Poland yang ada di dadanya, dan ia sebagai tanda untuk beliau jelaskan bagaimana sayangnya beliau kepada Poland.

Lebih mengharukan lagi, para pemain dari kedua-dua pasukan turut memberikan penghormatan, ‘Guard of honour’ kepada Fabianski ketika beliau mahu meninggalkan padang.

Rakan sepasukannya turut memeluk Fabianski ketika beliau mahu keluar, termasuklah penyerang terhebat dunia, Robert Lewandowski.

Calon pemenang anugerah Ballon D’or itu sayangnya gagal untuk mencatat nama sebagai penjaring gol dalam aksi kemenangan 5-0 Poland menewaskan San Marino.

Beliau walau gagal untuk menjaringkan gol, namun tetap berjaya melakukan enam percubaan yang hampir menghadiahkan gol untuk Poland.

Bintang Bayern Munich itu turut memuat naik ucapan beremosi untuk memberikan tribute kepada Fabianski selepas tamat perlawanan tersebut di laman instagram miliknya.

Beliau turut terkesan dengan persaraan Fabianski memandangkan mereka berdua sudah lama beraksi bersama di pentas bola sepak antarabangsa.

“Terima kasih @ lukasz.fabianski untuk sepanjang tahun kita bersama di atas padang dan atas persembahan mantap kamu untuk #Polska. 15 tahun bersama skuad menunjukkan bagaimana bermaknanya kamu untuk pasukan ini.”

Tulis Lewandowski di laman media sosial miliknya.

Kemenangan besar Poland dalam perlawanan ini membantu mereka untuk berada di kedudukan ketiga dalam aksi peringkat kumpulan saingan kelayakan Piala Dunia.

Poland ketinggalan lima mata di belakang skuad The Three Lions, dan hanya satu mata sahaja di belakang Albania untuk melayakkan diri mereka beraksi di pentas Piala Dunia Qatar tahun hadapan.

Sumber: GMS

Baca Juga

Baca Juga