Peminat Seluruh Dunia Memuji Sikap Terpuji Inaki Williams Mengajar Adiknya Adab Ambil Hadiah

Pemain sayap Athletic Bilbao, Inaki Williams telah dipuji oleh para peminat seluruh dunia kerana menunjukkan sikap terpuji dengan meminta adiknya, Nico Williams supaya menghormati pingat kemenangan Spanish Super Cup.

Para peminat berjaya mengesan reaksi spontan Inaki yang menegur adiknya yang mencabut kalungan pingat di lehernya sebaik beliau turun dari pentas.

Bilbao berdepan kekalahan 2-0 di tangan Real Madrid di King Fahd Stadium di Riyadh hujung minggu baru-baru ini, dengan Luka Modric dan Karim Benzema muncul sebagai penjaring gol untuk Los Blancos dalam perlawanan tersebut.

Para pemain Athletic Bilbao jelas sekali sangat kecewa dengan keputusan perlawanan tersebut, apa lagi terpaksa akur melihat pendahulu saingan La Liga itu akan menjulang Piala Spanish Super Cup.

Ketika sesi penyampaian hadiah, Nico Williams dilihat segera mencabut kalungan pingat Naib Juara yang dikalungkan kepadanya sebaik beliau turun dari pentas.

Ia sebenarnya merupakan tindakan biadap dan tidak menghormati pingat tersebut dan ramai pemain yang sudah dikritik serta dihentam kerana melakukan kesalahan yang sama.

Abang kepada Nico Williams, Inaki yang kini sudah membuat lebih 300 penampilan bersama Bilbao perasan akan reaksi adiknya itu, dan beliau segera meminta Nico supaya memakai semula pingat tersebut.

Jelas sekali tindakan mulia Inaki itu berjaya mencuri perhatian para peminat dengan ramai yang memuji kemuliaan hati beliau itu di media sosial.

“Selama ini saya tak pernah nampak ada pemain yang tegur pemain lain ketika mereka melakukan hal itu, ia sememangnya tidak sopan dan Inaki telah membuat sesuatu yang layak dipuji.”

“Selepas para pemain Man City dan skuad England kena hentam kerana tak menghargai pingat tempat kedua, saya rasa Inaki tahu adiknya juga akan dikritik kerana melakukan hal sama, mungkin kerana itu dia terus suruh adik dia sarung semula pingat itu.”

“Apa yang boleh saya katakan, Inaki sebenarnya telah menunjukkan contoh tauladan yang sangat baik, kerana sikap dia inilah dia boleh dianggap role model yang bagus untuk adiknya.”

“Walau dia hanya menegur adik dia sahaja, saya rasa secara tak langsung dia dah ingatkan semua pemain lain agar tidak melakukan hal sama.”

Inaki Williams sememangnya agak protective dan beliau sememangnya senantiasa menjaga serta melindungi adiknya itu.

Sejak dari hari pertama Nico Williams melakukan debut bersama skuad utama Bilbao di usianya 18 tahun, Inaki sudah mula beri perhatian penuh kepada adiknya.

Dalam satu aksi perlawanan dalam saingan La Liga awal bulan ini, Inaki mengamuk memaki hamun bintang Osasuna, Chimy Avila kerana telah melakukan terjahan yang boleh mengakhiri karier Nico Williams.

Avila ketika itu cuba menghalang Nico dari melakukan serangan pantas di akhir-akhir minit permainan, namun cara yang beliau gunakan untuk menghalang bintang Bilbao itu sebenarnya sangat merbahaya.

Bahkan pengulas yang mengulas perlawanan tersebut turut percaya yang tackle itu sebenarnya boleh membunuh karier Nico Williams.

Inaki kemudiannya berdepan dengan Avila ketika permainan sedang berlangsung, untuk memaki hamun beliau atas tindakan dungunya yang boleh membahayakan pemain lain.

Kedua-dua mereka kemudiannya telah ditenangkan oleh rakan sepasukan masing-masing dan Avila sudah tentu sedar tindakan beliau terhadap Nico sangat tidak wajar.

Bercakap selepas tamat aksi kekalahan bertemu Real Madrid dalam perlawanan akhir saingan Spanish Super Cup, Inaki telah memberi nasihat yang sangat berguna kepada para pemain muda Bilbao.

“Saya beritahu mereka yang dalam hidup kamu akan kalah lebih banyak berbanding menang dan kamu perlu terus berjuang dan tahan kesakitan.”

“Kita perlu berjuang supaya lebih banyak peluang seperti ini akan datang lagi. Real Madrid berhak untuk menang dan kita perlu mengucapkan tahniah kepada mereka.”

“Kalah dalam perlawanan akhir memang menyakitkan. Tapi ia adalah satu kebanggaan untuk kita dapat beraksi dalam perlawanan akhir, para penyokong kita boleh berbangga dengan apa yang kita lakukan di atas padang.”

Sumber: SPORTbible

Baca Juga

Baca Juga