Peminat Terhibur Lihat Aksi Ronaldo Terlupa Benzema Bukan Rakan Sepasukannya

Kali terakhir Karim Benzema bertemu dengan Cristiano Ronaldo di pentas bola sepak antarabangsa adalah pada tahun 2015 yang lalu, dan ketika itu kedua-dua mereka masih beraksi bersama di Real Madrid.

Di acara Euro 2020 ini, mereka berdua sekali lagi dipertemukan dalam pentas saingan bola sepak antarabangsa, dengan Ronaldo bukan lagi rakan sepasukan Benzema di peringkat kelab.

Sebelum sepak mula perlawanan lagi, kedua-dua mereka telah mencipta detik yang sungguh mengharukan dan membuatkan para penyokong beremosi.

Ketika semua pemain sedang bersedia untuk memulakan permainan, kamera merakam wajah Benzema yang tersenyum manis sambil menatap wajah bekas rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo.

Ronaldo juga pada ketika itu turut tersenyum melihat Benzema dengan mereka berdua saling berbalas senyuman sebelum memulakan aksi sebagai musuh di atas padang.

Kedua-dua Benzema dan Cristiano Ronaldo merupakan nadi penting untuk Real Madrid sejak dari 2009 sehingga 2018, dengan gandingan mereka telah membantu Los Blancos memenangi pelbagai kejuaraan.

Dalam tempoh sembilan tahun beraksi bersama di Santiago Bernaneu, kedua-dua mereka berjaya mencipta pelbagai sejarah dan kenangan manis bersama.

Senyuman dari seorang sahabat kepada sahabatnya yang berbeza pasukan, sangat menyentuh emosi para peminat dan insiden tersebut seakan mengingatkan kita kepada senyuman Reus dan Lewandowski satu ketika dahulu.

Lewandowski merupakan sahabat karib kepada Marco Reus ketika mereka beraksi bersama Borussia Dortmund sebelum ini.

Lewandowski kemudiannya telah ditandatangani oleh Bayern Munich, dan pada tahun 2015, kedua-dua mereka telah dipertemukan dalam satu perlawanan antara Dortmund bertemu Bayern.

Ketika aksi perlawanan Jerman Cup 2015 itulah Marco Reus mengukir senyuman manis untuk Lewandowski, sebelum bintang Poland itu kembali membalasnya.

Selain insiden saling berbalas senyuman sebelum sepak mula, Benzema dan Ronaldo telah mencipta begitu banyak detik beremosi dalam pertemuan antara mereka awal pagi tadi.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah ketika melihat Ronaldo memberi arahan kepada Benzema supaya menolak bola ke belakang semula untuk build up serangan dari centre-half.

Benzema ketika itu sudah berada di kawasan Portugal untuk melakukan serangan, namun mungkin kerana kawalan ketat dari barisan pertahanan Juara Euro 2016 itu, beliau dilihat buntu mengawal bola.

Ronaldo yang ketika itu berada di sisi beliau telah mengarahkan Benzema untuk tolak bola ke belakang dan build up semula serangan dari centre-half.

Tindakan spontan Ronaldo itu mencuri perhatian peminat yang menganggap beliau mungkin terlupa yang baju putih yang dipakai oleh Benzema itu bukanlah jersi Real Madrid.

Cristiano Ronaldo turut dilihat mengucapkan tahniah kepada Karim Benzema ketika bintang Real Madrid itu menjaringkan gol penyamaan untuk Perancis.

Selepas tamat aksi babak pertama permainan, kedua-dua mereka dilihat saling bertukar jersi ketika dalam perjalanan masuk ke terowong.

Selepas tamat perlawanan, Benzema telah memberikan jersinya kepada Pepe sementara Ronaldo pula memberikan jersinya kepada Kylian Mbappe.

Mereka berdua juga dilihat sentiasa berpeluk dan berbual sepanjang perlawanan ini dan ia jelas menunjukkan yang mereka saling merindui satu sama lain.

Menariknya lagi, kedua-dua Benzema dan Cristiano Ronaldo berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri 2-2 itu.

Ia merupakan antara detik paling beremosi ketika melihat reunion antara dua pemain terhebat dalam sejarah Real Madrid itu.

Satu lagi insiden menarik yang melibatkan bekas bintang Real Madrid dalam perlawanan ini adalah insiden melibatkan Pepe dan Karim Benzema.

Ketika Benzema mahu mengambil sepakan penalti, Pepe sudah memberitahu Patricio supaya melayangkan badannya ke sudut sebelah kiri, beliau berkali-kali menunjukkan isyarat tersebut kepada penjaga gol Portugal itu.

Namun Patricio melayangkan badannya ke sudut sebelah kanan, sementara bola rembatan Benzema benar-benar menuju ke sudut sebelah kiri lalu menerjah jaring gawang gol Portugal.

Kedua-dua pasukan Perancis dan Portugal berjaya melayakan diri ke pusingan 16 terbaik selepas mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan ini.

Perancis mara sebagai Juara kumpulan F dan mereka selepas ini akan bertemu Switzerland di pusingan kalah mati.

Sementara Portugal pula yang mara ke pusingan kalah mati dengan berada di kedudukan ketiga peringkat kumpulan, mereka akan bertemu dengan Juara kumpulan B, Belgium.

BACA:Β  Video: Cristiano Ronaldo Pernah Jadi Guru Lingard Ketika Kanak-kanak