Peminat Terkesan Dengan Keputusan WWE Melepaskan Bray Wyatt

Peminat WWE dan segelintir bakat-bakat dalam dunia sukan gusti terkejut dengan berita perlepasan bekas Juara dunia, Bray Wyatt atau turut dikenali sebagai ‘The Fiend’.

Jelas sekali ramai yang tidak menduga dan kecewa dengan keputusan WWE untuk melepaskan penggusti berbakat dan hebat seperti Bray Wyatt.

Rakan regu beliau, Alexa Bliss, bekas ahli kumpulan ‘The Wyatt Family’, Adam Scherr (lebih dikenali sebagai Braun Strowman) dan bekas Juara dunia wanita, Mickie James antara yang terkesan dan terkejut dengan berita tersebut.

Kesemua mereka meluahkan rasa terkejut tentang berita itu dilaman media sosial masing-masing dan seakan tidak percaya WWE boleh melepaskan Wyatt.

Bray Wyatt sudah lama tidak muncul di acara WWE, dan kali terakhir peminat melihatnya adalah di acara mingguan Monday Night Raw sehari selepas WrestleMania pada April lalu.

Beliau ketika itu membuat penampilan ringkas ekoran dari kekalahan mengejutkan beliau di tangan Randy Ortan 24 jam sebelum itu.

Terdapat laporan yang mengatakan bahawa Wyatt sepatutnya mengalahkan Orton di acara WrestleMania, namun pihak kreatif mengubah jalan cerita di saat-saat akhir.

Pihak kreatif mengubah rancangan asal mereka dengan memberikan kemenangan kepada ‘The Fiend’ dan hal itu sebenarnya sangat mengejutkan para peminat.

Wyatt menyertai WWE sejak tahun 2009 dengan beliau ketika itu beraksi di pusat perkembangan bakat, dan kemudian membuat kemunculan bersama Nexus.

Beliau kemudiannya menghilang buat seketika, sebelum kembali ke WWE dengan karakter dan watak baru sebagai Bray Wyatt.

Bray Wyatt terkenal kerana membawa watak psycho dengan beliau ditemani oleh dua orang kanannya, Erik Rowan dan mendiang Luke Harper.

Beliau kemudiannya turut pernah digandingkan bersama Braun Strowman, Randy Ortan dan terakhir ketika membawa gimik ‘The Fiend’, beliau digandingkan bersama Alexa Bliss.

Bekas Juara dunia WWE itu turut tampil membuat promo ketika acara RAW pada Ogos tahun lalu, namun kemudiannya beliau kembali hilang tanpa khabar.

Watak The Fiend yang digilai ramai

WWE kemudiannya memuat naik status di laman rasmi mereka berkait perlepasan Bray Wyatt dengan menyatakan bahawa:

“WWE sudah memutuskan untuk melepaskan Bray Wyatt. Kami berharap yang terbaik untuk masa depan beliau selepas ini.”

Walaupun masih terlalu awal untuk memikirkan apa rancangan Wyatt selepas ini, agak menarik untuk membincangkan tentang status yang dimuat naik oleh Braun Strowman.

Pada waktu yang sama dengan berita perlepasan Bray Wyatt, Braun Strowman turut mengumumkan perlawanan pertamanya selepas beliau dilepaskan oleh WWE.

Menurut laporan PWInsider, bekas Juara Universal WWE itu dilaporkan sudah bersetuju untuk bergusti bersama Qatar Pro Wrestling, dan akan beraksi di acara ‘SuperSlam 3’.

Beliau akan terbang ke Qatar pada September nanti untuk menandatangani perjanjian bersama syarikat gusti kecil itu.

Braun Strowman membalas berita dari WWE itu dengan memuat naik status yang menyatakan:

“Sahabat, saya menanti!!!!”

Beliau turut memuat naik gambar mereka berdua sedang berdiri di atas gelanggang WWE.

Terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa Scherr, yang dikenali sebagai Braun Strowman itu, telah menerima tawaran dari AEW dan bekas majikan beliau selepas WWE melepaskannya pada Jun lalu.

Strowman menyertai WWE sebagai ahli Wyatt Family bersama Bray Wyatt, Erick Rowan dan mendiang Luke Harper.

The Wyatt Family kini hanya tinggal kenangan

Beliau kemudiannya berjaya mendapat tempat sebagai penggusti solo dan turut sempat berseteru dengan Bray Wyatt ketika kedua-dua mereka menjadi penggusti utama syarikat.

Beliau jelas sekali berharap agar dapat kembali bersama dengan Bray Wyatt, namun sehingga kini masih belum jelas ke mana destinasi tetap mereka selepas ini.

WWE kebiasaannya ketika melepaskan pengurus mereka, pihak syarikat akan meletakkan klausa untuk menghalang mereka bergusti di bawah jenama lain selama tempoh 90 hari.

Oleh itu, sudah hampir pasti untuk para peminat tidak akan melihat Bray Wyatt kembali ke gelanggang sepanjang tahun ini, sehingga klausa tersebut tamat.

Terdapat juga laporan yang menyatakan Bray Wyatt sebenarnya sudah lama tidak muncul kerana beliau sedang mendapatkan rawatan mental.

Beliau mengalami tekanan perasaan yang sangat teruk selepas mendapat berita kematian sahabat karibnya, Luke Harper.

Ketika aksi di acara WrestleMania tahun lalu, para peminat sempat berfikir yang watak ‘The Fiend’ sebenarnya dibawa oleh orang lain dan bukannya Bray Wyatt.

Ia kerana aksi dan persembahan ‘The Fiend’ pada ketika itu sangat teruk dan jauh berbeza dari siapa beliau yang peminat kenali.

Ekoran dari itu, tersebar cerita yang mengatakan Bray tidak beraksi dengan baik kerana beliau mengalami masalah mental, dan pihak kreatif mengubah skrip di saat-saat akhir juga atas masalah yang sama.

Walau apa pun yang berlaku, semoga Bray Wyatt berjaya selepas ini dan kembali mendapatkan kemampuan dan semangat beliau yang dikagumi ramai.

Sumber: GMS

BACA:  UFC: Khabib Ugut Tinggalkan UFC, Dakwa Terima Tawaran Untuk Menyertai WWE