Peminat Teruja Melihat CM Punk Kembali Ke Dunia Gusti Profesional

CM Punk secara rasminya telah melakukan debut bersama All Elite Wrestling, seterusnya kembali aktif dalam dunia gusti profesional.

Selepas tujuh tahun bersara dari dunia gusti profesional, Punk akhirnya kembali dan reaksi para peminat terhadap hal ini sungguh luar biasa menakjubkan.

Rumours tentang kembalinya Punk ke dunia gusti professional sudah hangat diperkatakan sejak bulan lalu, yang mana beliau dikatakan sudah menandatangani perjanjian bersama AEW.

Walau bagaimanapun, tiada sesiapa yang pernah mengesahkan hal tersebut dan tiada siapa yang menjangkakan beliau benar-benar sudah kembali ke dunia gusti profesional.

AEW kemudiannya mengumumkan Rampage show yang datang dari kampung halaman Punk, Chicago dengan tajuk ‘The First Dance’.

Penggusti berusia 42 tahun itu masih menggunakan lagu tema lamanya, ‘Cult Of Personality’ di hadapan puluhan ribu peminat di United Center.

Keadaan dalam Arena kecoh dengan para peminat begitu teruja melihat entrance Punk dan mereka bahkan sudah bersorak nama beliau sebelum beliau keluar lagi.

Dek kerana acara tersebut dilangsungkan di Chicago, maka tidak hairanlah mengapa reaksi para peminat begitu menggila dan sangat teruja dengan kemunculan semula CM Punk.

Sepertinya sudah lama tidak ada ‘pops’ yang begitu dasyat dalam arena gusti professional sejak kebelakangan ini dan reaksi yang ditunjukkan oleh para peminat ketika melihat Punk sangat priceless.

Ini merupakan penampilan pertama Punk ke dalam industri gusti profesional sejak kali terakhir beliau kononnya dipecat oleh WWE pada tahun 2014 yang lalu.

Punk ketika itu mencetuskan kontroversi dengan beliau membuka segala aib WWE dan turut mencari gaduh dengan pemilik syarikat, Vince Mcmahon.

Beliau kemudiannya menyertai UFC dengan rekod dua kekalahan yang mana beliau tewas kepada Mickey Gall dan Mike Jackson.

Dengan kehadiran CM Punk yang sebelum ini pernah menjadi Juara Dunia WWE selama 434 hari, sepertinya AEW bakal menambah aura mereka dan kekuatan mereka untuk menandingi syarikat gergasi gusti profesional, World Wrestling Entertainment.

Perlawanan rasmi pertama CM Punk bersama AEW selepas ini adalah bertemu Darby Allin di All Out pay-per-view pada 5 September nanti.

Beliau awalnya menatap wajah Allin dan Sting sebelum menyatakan kepada duo tersebut yang sangat bahaya untuk bertarung dengannya di Chicago.

Punk kemudiannya meninggalkan gelanggang dan para peminat masih tidak henti-henti bersorak menjerit namanya.

Para peminat WWE tentunya berduka dengan berita ini memandangkan mereka sangat berharap agar CM Punk kembali, namun sayangnya penggusti dari Chicago itu memilih untuk menyertai AEW.

Setiap kali ada perlawanan atau detik yang agak membosankan di WWE, para peminat tentunya akan menjerit nama Punk, bahkan ketika The Rock sedang bercakap, mereka turut pernah melakukan hal yang sama.

The Rock pada ketika itu turut sempat mengambil telefonnya dan mahu menghubungi CM Punk ketika berada di atas gelanggang WWE, dan adegan itu antara yang paling diingati oleh para peminat.

Dengan WWE yang tidak henti-henti melepaskan penggusti utama, dan AEW yang bijak menandatangani penggusti berbakat, tidak mengejutkan andai mereka bakal menjadi kuasa besar baru dalam dunia gusti profesional.

WWE tentunya sedang merencana sesuatu supaya peminat tidak melupakan mereka sepenuhnya selepas ramai bintang kesayangan yang telah dilepaskan.

Kehadiran semula John Cena sedikit sebanyak membantu WWE menambah daya tarikan mereka, namun ia tidak cukup untuk menandingi apa yang AEW miliki pada ketika ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Peminat Terhibur Melihat Riddle Tunggang Unta Di Acara Crown Jewel