Peminat Teruja Melihat Temu Bual Kante Selepas Menjaringkan Gol Bertemu Leicester City

Jika ada anugerah khas untuk pemain paling mulia dan merendah diri dalam dunia bola sepak, N’Golo Kante sudah tentu akan menjadi penerima untuk anugerah tersebut.

Tidak keterlaluan juga untuk menganggap yang mungkin Kante tiada saingan untuk mencabar beliau dalam memenangi anugerah seperti itu.

Beliau bukan hanya seorang yang merendah diri, berhati mulia, sopan santun, comel, pemurah, jujur dan bijak, namun Kante juga sememangnya seorang pemain yang hebat ketika beraksi di atas padang.

Pemenang Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Perancis itu telah dinobatkan sebagai pemain terbaik ketika beraksi bertemu Leicester City malam semalam.

Beliau mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan di King Power Stadium, dengan Kante mengawal setiap inci padang dan turut mencipta nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan tersebut.

Beliau berjaya menjaringkan gol kedua untuk Chelsea dalam perlawanan ini, menerusi gol solo yang tidak boleh dinafikan sangat hebat dan menakjubkan.

The Blues berjaya mencatatkan kemenangan 3-0 menewaskan Leicester City malam semalam, dengan Christian Pulisic, Antonio Rudiger dan N’Golo Kante berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol.

Kemenangan itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan Chelsea sebagai pendahulu dalam saingan Premier League pada ketika ini.

Selepas tamat aksi kemenangan dalam perlawanan tersebut, Kante telah dipanggil oleh BT Sport untuk menerima piala anugerah pemain terbaik perlawanan dari Antonio Rudiger.

Apa yang menakjubkan, Kante telah menunjukkan sikap merendah diri ketika ditemu bual, dan sikap beliau itu berjaya mencuri perhatian peminat di media sosial.

Peminat di media sosial teruja dengan semangat dan rasa cinta Kante terhadap Chelsea selepas beliau berjaya membantu kelabnya mencatat kemenangan kesembilan mereka dari 12 perlawanan sepanjang musim ini.

“Macam mana boleh ada orang yang sanggup untuk benci dia? Lihat saja macam mana sikap merendah diri yang dia tunjukkan.”

“Saya rasa kalau ada pemain lain yang memiliki bakat seperti dia, susah untuk dia tidak berlagak atau sombong.”

“Saya tak pernah kenal dia secara peribadi, tapi melihat dia ditemu bual, ia seolah-olah seperti saya sedang melihat saudara saya di dalam TV.”

“Dunia bola sepak tidak akan sama lagi selepas Kante bersara, saya tak sanggup melihat hari itu tiba nanti.”

Persembahan mantap yang Kante pamerkan ketika bertemu Leicester City malam semalam membuktikan yang khidmat beliau sememangnya masih diperlukan di Stamford Bridge.

Beliau bukan hanya hebat dalam mematahkan serangan lawan, namun Kante juga sebenarnya berfungsi ketika skuadnya memerlukan tambahan jaringan.

Gol jaringan beliau semalam membuktikan yang Kante telah menunjukkan peningkatan dari segi kualiti penyudahnya.

Chelsea sebelum ini ada ura-ura yang mereka mahu melepaskan Kante sebelum kontraknya tamat, dan kini sepertinya Tuchel mungkin boleh mempertimbangkan semula keputusan beliau itu selepas melihat komitmen yang ditunjukkan oleh bintang berusia 30 tahun itu.

Kante sejak dari ditandatangani telah banyak membantu Chelsea dalam memenangi kejuaraan, dan juga menjadi nadi penting yang membantu The Blues mengelak dari kekalahan.

Beliau juga merupakan pemain terpenting yang membantu Chelsea untuk memenangi gelaran Champions League pada musim lalu.

Aksi hebat Kante dalam saingan Champions League musim lalu telah meletakkan beliau sebagai salah seorang calon kegemaran untuk memenangi anugerah Ballon D’or.

Chelsea pada ketika ini berada di kedudukan pertama dalam carta saingan liga dengan mengumpul 29 mata, empat mata mengatasi Liverpool yang berada di kedudukan kedua.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kante Berjaya Menjadi Pemain Keempat Dalam Sejarah Yang Pernah Julang EPL, UCL, CWC Dan Piala Dunia