Sir Jim Ratcliffe Terus Kurangkan Kos di Manchester United, 100 Pekerja Bakal Dibuang
Sir Jim Ratcliffe meneruskan usahanya untuk mengurangkan kos di Manchester United dengan merancang membuang tenaga kerja. Selepas membuang 250 pekerja pada musim panas lalu, dia kini bersedia untuk memberhentikan lebih 100 kakitangan lagi di Old Trafford.
Ratcliffe telah membuat beberapa keputusan drastik untuk menangani masalah kewangan United. Kelab itu telah mencatatkan kerugian tahunan selama 5 tahun berturut-turut sejak kali terakhir meraih keuntungan pada musim 2018-19.
Dalam laporan kewangan tahun 2023-24, kelab mencatatkan kerugian bersih sebanyak £113 juta dan jumlah keseluruhan kerugian dalam tempoh 5 tahun mencecah £370 juta.
Pengurangan Kakitangan untuk Kestabilan
Dalam tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2023, United mempunyai purata 1,112 pekerja berbanding 1,008 pekerja di Liverpool dan 723 di Arsenal. Pihak INEOS percaya United perlu “disesuaikan” dengan jumlah pekerja yang lebih kecil. Oleh itu, pada Mei lalu kelab mengumumkan program pemberhentian pekerja yang mengakibatkan 250 orang kehilangan pekerjaan.
Dalam laporan kewangan suku keempat tahun 2024, United menyatakan langkah itu adalah sebahagian daripada pelan transformasi perniagaan kelab yang bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan jumlah pekerja dan menstruktur semula organisasi. Kajian kos yang dijalankan oleh firma perunding Interpath Advisory menunjukkan pengurangan itu boleh menjimatkan wang sebanyak £40-45 juta, walaupun pelaksanaannya telah menelan kos sekitar £10 juta.
Kini United merancang satu lagi pusingan pemberhentian pekerja dan kakitangan di kelab itu masih belum dimaklumkan secara rasmi.
Prestasi Teruk Burukkan Kewangan Kelab
Sejak Ogos 2024, keadaan kewangan Manchester United semakin merosot disebabkan prestasi buruk pasukan. Selepas 24 perlawanan Liga Perdana, United berada di tangga ke-13, hanya 10 mata di atas zon penyingkiran dan 14 mata di belakang Chelsea yang berada di tempat ke-4. Ini bermakna mereka hampir pasti tidak akan layak ke Liga Juara-Juara Eropah melalui slot liga. Ia akan memberi kesan besar kepada pendapatan kelab.
Sebagai contoh, berdasarkan kontrak mereka bersama Adidas, jenama sukan itu akan mengurangkan pembayaran tajaan tahunan kepada United sebanyak $10 juta dalam musim mereka tidak bermain di Liga Juara-Juara. Satu-satunya peluang United untuk bermain dalam kejohanan itu pada musim depan adalah dengan menjuarai Liga Europa. Kini mereka telah layak ke pusingan 16 pasukan terakhir dalam pertandingan itu.
Perbelanjaan Kelab yang Tidak Terkawal
Selain kehilangan pendapatan, United juga menanggung kos tambahan akibat keputusan pengurusan yang kurang bijak. Dalam laporan kewangan suku pertama tahun 2025 yang dikeluarkan pada November, kelab mendedahkan bahawa mereka telah membelanjakan lebih £21 juta untuk kos memecat Erik ten Hag dan staf kejurulatihannya serta melantik Ruben Amorim bersama pasukannya.
Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila United sebelum itu telah memperbaharui kontrak Ten Hag selepas kemenangan dalam final Piala FA menentang Manchester City dan memecatnya hanya selepas 9 perlawanan liga musim baharu bermula.
Selain itu, United turut mengalami kerugian lebih £5 juta dalam kes membabitkan Dan Ashworth. Dia diambil dari Newcastle United sebagai pengarah sukan tetapi meninggalkan kelab selepas 5 bulan dengan “persetujuan bersama.”
Kesan Pemecatan di Bahagian Bola Sepak
Gelombang pemberhentian pekerja kali ini dijangka memberi impak besar kepada bahagian bola sepak kelab yang sebelum ini tidak terjejas. Malah, laporan sebelum ini menyebut bahawa Ratcliffe memecat Ashworth kerana beliau tidak bertindak cukup pantas atau tegas dalam mengurangkan jumlah pekerja di bahagian bola sepak.
Beberapa pekerja di Old Trafford, yang bercakap secara sulit percaya bahawa keputusan yang kurang bijak oleh INEOS dalam menangani kes Ten Hag dan Ashworth, serta perbelanjaan besar sekitar £200 juta untuk membeli Matthijs De Ligt, Joshua Zirkzee, Leny Yoro dan Manuel Ugarte telah menyebabkan kakitangan kelab berisiko kehilangan pekerjaan.
Pada awal Disember lalu ketua eksekutif United, Omar Berrada sudah memberi bayangan mengenai pengurangan kakitangan ini dalam satu mesyuarat bersama semua staf di Old Trafford.
“Saya tahu ini adalah tahun yang sukar,” kata Berrada. “Dan saya tidak boleh berjanji bahawa tahun depan tidak akan sukar juga.”
Ratcliffe: Keputusan Sukar Perlu Dibuat
Dalam satu temu bual bersama fanzine United We Stand pada Disember lalu, Sir Jim Ratcliffe mengakui bahawa beliau perlu membuat keputusan sukar demi memastikan Manchester United kembali ke tahap terbaik.
“Untuk membawa Manchester United ke tahap yang sepatutnya, ia seperti menguruskan sebuah negara. Kita perlu membuat keputusan yang sukar dan tidak popular. Jika kita mengelak daripada membuat keputusan sukar, maka tidak akan ada perubahan besar,” katanya.
Ratcliffe juga menegaskan bahawa masalah kewangan kelab tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.
“Kami mewarisi situasi kewangan yang hanya masa akan dapat menyelesaikannya,” tambahnya.
Peningkatan Harga Tiket dan Pemotongan Perbelanjaan Lain
Selain pemberhentian pekerja, INEOS juga telah mengambil beberapa langkah lain untuk mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan kelab. Antaranya termasuk:
- Meningkatkan harga tiket perlawanan kepada £66 untuk setiap keping.
- Menghapuskan diskaun tiket untuk kanak-kanak dan warga emas untuk bagi baki musim ini.
- Memotong kad kredit korporat yang digunakan oleh pegawai-pegawai kanan kelab.
- Meminta staf membayar sebahagian kos perjalanan untuk menghadiri final Piala FA pada Mei lalu.
- Menamatkan kontrak khas untuk legenda kelab termasuk perjanjian duta dengan Sir Alex Ferguson dan bayaran tahunan £1 juta (RM5.9 juta) kepada bekas ketua eksekutif, David Gill.
Keputusan untuk menaikkan harga tiket telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan peminat. Namun United mempertahankan tindakannya melalui satu surat kepada kumpulan penyokong.
“Kami sedang mengalami kerugian besar setiap tahun dan ini tidak boleh diteruskan,” kata kelab dalam surat tersebut.
“Kami terpaksa membuat beberapa keputusan yang sukar. Ini termasuk pengurangan tenaga kerja dan pemotongan perbelanjaan dalam pelbagai bidang. Kami tidak mengharapkan peminat untuk menampung sepenuhnya kekurangan ini tetapi kami perlu menyesuaikan strategi harga tiket supaya ia selaras dengan keadaan semasa.”
Glazer Serahkan Kawalan kepada INEOS
Walaupun keluarga Glazer masih memiliki saham majoriti saham dalam Manchester United, mereka kini dilihat telah menyerahkan kawalan penuh operasi perniagaan dan bola sepak kelab kepada INEOS.
Perubahan besar yang dilakukan INEOS dalam pengurusan kelab ini menunjukkan perbezaan besar dengan cara Glazer yang mengendalikan United sebelum ini. Sehingga kini, keluarga Glazer tidak menunjukkan tanda-tanda akan menentang langkah pemotongan kos yang dibuat oleh Ratcliffe dan pasukannya.
Buat masa ini, Manchester United belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai pemberhentian pekerja terbaru ini.