Pemuda Dari Malaysia Mengejutkan Dunia Bola Sepak Dengan Ramalannya Yang Tepat

Tidak ramai yang menjangka Manchester United mampu layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas 2-0 di gelanggang sendiri pada perlawanan pertama kepada Paris Saint-Germain.

Tetapi itulah bola sepak. Anda tidak akan dapat menjangka apa yang akan berlaku dalam bola sepak.

Manchester United melakukan kebangkitan luar biasa di Parc des Princes ! Kemenangan yang menghampakan jutaan peminat Liverpool seluruh dunia !

Banyak pihak tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat United bangkit berikutan masalah kecederaan yang membelenggu sebilangan pemain utama mereka. Ditambah pula pemain tengah berpengaruh, Paul Pogba tidak dapat bermain kerana menerima kad merah di Old Trafford tempoh hari.

Namun begitu, bola itu bola dan bukan flat. Siapa sangka kita dapat melihat antara malam paling menakjubkan dalam sejarah Red Devils dalam pertandingan peringkat Eropah berlaku di Parc des Princes semalam.

Manchester United menjadi pasukan pertama dalam sejarah pertandingan untuk bangkit dari kekalahan 2-0 di gelanggan sendiri untuk layak ke peringkat seterusnya.

Walaupun ramai peminat Manchester United sendiri yang skeptikal dengan peluang pasukan mereka, ia tidak menghalang seorang peminat Red Devils dari Malaysia untuk meramal pasukan kegemarannya itu untuk mara ke peringkat suku akhir.

Seorang pengguna Twitter berasal dari Malaysia, Timmy Chin membuat ramalan Manchester United akan menyingkirkan PSG dari Liga Juara-Juara Eropah sambil menyenaraikan pemain yang akan menjaringkan gol dalam perlawanan timbal balik.

Timmy juga meramal dengan tepat ‘sequence’ jaringan dan paling menakjubkan, beliau turut meramal Marcus Rashford akan menjaringkan gol pada minit kecederaan untuk menghantar United ke pusingan seterusnya !

Selepas tamat perlawanan, akaun rasmi Twitter Manchester United memberi reaksi terhadap ramalam Timmy.

Selepas tweet Timmy menarik perhatian jutaan pengguna alam maya, ia juga berjaay mencuri perhatian beberapa pemain Manchester United seperti Ashley Young, Diogo Dalot, dan Victor Lindelof.

Young yang menjadi kapten dalam perlawanan menentang PSG tempoh hari, berjanji akan menghantar jersi beliau kepada Timmy.

Beliau juga mencabar Timmy supaya membuat satu lagi ramalan untuk pertembungan menentang Arsenal hujung minggu ini. Dan jika ramalan Timmy tepat sekali lagi, Young akan menghantar jersi yang ditandatangani seluruh skuad.

Cabaran Young disambut baik oleh Timmy dan pemuda dari Malaysia itu meramal United akan mencatatkan kemenangan 4-2 ke atas Arsenal malam esok.

Selain itu, pemain pertahanan United, Victor Lindelof turut memberikan komen terhadap ramalan Timmy. Lindelof berkata Timmy patut membuat ramalan setiap minggu kerana ia memberi tuah kepada Manchester United.

BACA:  Pogba Kembali 'Menikmati' Bola Sepak Selepas Pemergian Mourinho