Pencapaian Sukan SEA Terburuk Dalam Sejarah?

Sukan SEA 2019 bakal melabuhkan tirainya pada hari ini dan secara keseluruhan, kontinjen Malaysia menduduki tangga kelima dalam senarai pungutan pingat dengan 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa, satu tangga di atas Singapura.

Sebelum kejohanan bermula, sasaran awal kontinjen Malaysia adalah 70 emas, namun gagal dicapai dan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong yang menyifatkan pencapaian kontinjen negara pada tahun ini adalah terburuk dalam sejarah.

“Seperti saya katakan dulu, paling kurang atlet kena dapat 76 pingat emas, baru sama pencapaian di Korat. Tapi sekarang tak sampai 60 pingat emas… terburuk dalam sejarah kerana kita belanja banyak duit dan hantar atlet paling ramai,” katanya menerusi laporan di Harian Metro.

Datuk Seri Zolkples turut menyatakan bahawa pencapaian di Korat ternyata lebih baik meskipun acara yang dipertandingkan lebih sedikit  berbanding di Manila.

“Di Korat hanya 475 acara dipertandingkan, tapi di Manila 531 acara dan 68 pingat emas dimenangi adalah 14.31 peratus daripada jumlah keseluruhan pingat.

“Jika menang 70 pingat emas daripada 531 acara, tidak sampai 14 peratus atau 13.18 peratus saja,” tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, antara sukan yang mengecewakan adalah memanah di mana wakil negara kita hanya mampu memungut satu emas daripada lima yang disasarkan.

Image result for zolkples embong
Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.

“Saya tidak ingat bila kita tidak pernah tidak menang emas. Kali ini memanah recurve ada atlet layak ke Olimpik, hanya satu emas menerusi trio lelaki,” ulasnya mengenai pasukan memanah negara.

Selain itu, tenpin boling pula sekadar mendapat dua emas – separuh daripada sasaran manakala pasukan pelayaran yang pulang tanpa sebarang pingat.

“Saya tidak terfikir, perbelanjaan tinggi dikeluarkan untuk sukan, misalnya pelayaran. Kita ada dua atlet layak ke Olimpik iaitu Khairulnizam Mohd Affendy dan Nur Syazrin Mohd Latif tapi hanya menang gangsa,” katanya.

Ternyata prestasi ini cukup untuk membuatkan orang lama MSN ini tidak berpuas hati, menjadikan sukan badminton yang menyumbangkan emas turut menerima tempias.

Tiga emas yang dimenangi, menurut Datuk Seri Zolkples, adalah ‘ihsan’ daripada kontinjen lain memandangkan Thailand dan Indonesia menghantar pemain utama mereka ke Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Guangzhou, China.

Secara keseluruhan, Malaysia sekadar berada satu tangga di bawah sasaran, namun kurang 20 pingat emas.

“Kita sasar tempat keempat, tapi capai nombor lima dan beza 20 pingat emas dengan negara di tangga keempat.

“Bagi saya pencapaian ini memang teruk pada saat kita nak menghadapi Sukan Olimpik tahun depan. Ini bukan petanda baik untuk sukan negara dan sesuatu mesti dilakukan. Ini ‘wake-up call’ dan bukan masanya berbulan madu.”

Sumber berita : Harian Metro, Berita Harian.

Baca Juga

Baca Juga