Pada pukul 10 pagi Selasa, di sebuah pejabat arkitek di London, Manchester United telah membuka tirai dan mengajak dunia melihat masa depannya.
Keputusan untuk membina stadium baharu berkapasiti 100,000 tempat duduk untuk menggantikan Old Trafford yang sudah berusia 115 tahun akhirnya telah dilancarkan. Stadium baharu tersebut akan menelan kos sekitar £2 bilion.
Sir Jim Ratcliffe menjangkakan ia boleh menjadi stadium bola sepak paling hebat di dunia. Reka bentuk stadium itu menunjukkan betapa besarnya cita-cita United.
United yakin mereka boleh menyiapkan stadium baharu itu dalam tempoh 5 tahun sambil membantu membangunkan semula kawasan Trafford dan merangsang aktiviti perniagaan serta menambah peluang pekerjaan. Rancangan ini adalah hasil dari perbincangan selama setahun.
Mengapa United Memilih Membina Stadium Baharu Berbanding Menaiktaraf Old Trafford?
Dalam tempoh 12 bulan lepas United sudah menjelaskan mereka telah mempertimbangkan 2 pilihan untuk mengembalikan maruah stadiumnya. 2 pilihan itu adalah membangunkan semula Old Trafford secara berperingkat dengan meningkatkan kapasiti kepada 87,000 atau membina stadium baharu berkapasiti 100,000 di kawasan berdekatan.
Akhirnya, pilihan ke-2 dilihat lebih mudah, cepat dan memberi lebih banyak kelebihan. Stadium baharu akan dibina di atas tanah milik United seluas 100 ekar, bersebelahan Old Trafford. Ia membolehkan perlawanan terus diadakan di stadium lama tanpa mengurangkan kapasiti 74,310 tempat duduk atau United tidak perlu bermain di stadium lain sementara pembinaan berjalan.
Stadium baharu yang lebih moden dan terletak berdekatan boleh direka mengikut kehendak United tanpa perlu bergantung kepada landasan kereta api yang berada di belakang Sir Bobby Charlton South Stand. Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk konsert dan acara sukan utama lain termasuk Grand Final liga ragbi yang diadakan setiap Oktober.
Pelan ini menjanjikan stadium yang tiada tandingan. 3 menara yang diinspirasikan daripada trisula Red Devil pada lencana kelab akan menyokong kanopi gergasi yang melindungi penyokong daripada hujan di dalam dan di luar stadium.
Apa yang lebih penting, stadium baharu itu akan meningkatkan pendapatan kelab. Dengan tambahan 13,000 tempat duduk korporat, United akan mendapat keuntungan berjuta-juta pound setiap musim selepas berpindah nanti. Untuk musim 2023-24, United telah menjana £137 juta daripada hasil hari perlawanan. Angka tersebut lebih tinggi dari semua kelab di Liga Perdana dan jumlah itu akan meningkat lebih tinggi lagi dengan stadium baharu yang lebih moden.
Berapakah Anggaran Kos dan Siapa yang Akan Membayarnya?
Jumlah yang diperlukan untuk membina stadium baharu tersebut adalah sangat besar, jauh mengatasi mana-mana projek stadium di UK. Stadium Tottenham Hotspur telah menelan kos sekitar £1 bilion dan skala perancangan United sudah tentu memerlukan pelaburan lebih mahal dari itu terutamanya selepas kenaikan harga bahan mentah seperti konkrit dan keluli. Anggaran awal kos pembinaan adalah sekitar £2 bilion.
Stadium Bernabeu milik Real Madrid, boleh dijadikan rujukan. Menurut laporan kewangan kelab yang dikeluarkan pada Mac lalu, pengubahsuaian Stadium Bernabeu menelan kos sekitar £1.51 bilion. Tetapi Madrid kini meraih pendapatan hari perlawanan sebanyak £208 juta setahun. Ia membuktikan pelaburan besarnya berbaloi.
United yakin stadium baharu ini adalah pelaburan yang berbaloi untuk jangka masa panjang. Namun, masih belum pasti bagaimana kos pembinaannya akan ditanggung. Sebelum ini, Ratcliffe mencadangkan agar dana kerajaan digunakan kerana beliau mahu stadium baharu itu menjadi Wembley of the North. Tetapi sekarang, beliau telah mengesahkan bahawa United sendiri akan membiayai pembinaannya.
Butiran lanjut mengenai pembiayaan masih belum didedahkan.
“Ia masih terlalu awal dan sebagai sebuah syarikat PLC, kami tidak boleh membuat spekulasi mengenai pembiayaan,” kata Ketua Eksekutif United, Omar Berrada ketika pembentangan kelab di London pada Selasa pagi.
“Apa yang boleh saya katakan ialah, sebagai pusat utama, ia adalah peluang pelaburan yang sangat menarik. Kami cukup yakin akan menemui cara untuk membiayai stadium ini.”
Hak penamaan stadium boleh membantu menampung kos pembinaan. United dijangka boleh mendapatkan sekitar £15 juta setahun jika mereka menjual hak penamaan stadium baharu kepada rakan kongsi komersial.
United perlu mendapatkan pinjaman luar jika Ratcliffe dan keluarga Glazer tidak menyuntik dana ekuiti dalam jumlah besar. Sejak 20 tahun lalu, pemilik kelab itu sentiasa menolak pendekatan tersebut. United juga tidak mempunyai wang untuk membiayai projek itu.
Pada Isnin lepas Ratcliffe sekali lagi memberikan gambaran membimbangkan mengenai kewangan kelab. United masih mempunyai £300 juta hutang (yuran perpindahan pemain) yang belum dibayar dan hutang tersebut mempunyai faedah sebanyak £35 juta setahun.
Meminjam wang tidak semurah dahulu. Kadar faedah untuk pembiayaan stadium Spurs adalah 2.75%. Pinjaman tersebut adalah pinjaman jangka panjang yang telah dirancang sebelum pandemik Covid-19 mengubah landskap kewangan. Namun, kadar faedah asas Bank of England sekatang berada pada 4.5% menjadikan kos pinjaman jauh lebih tinggi.
Satu kelebihan untuk United adalah mereka sudah memiliki tanah sendiri untuk digunakan dalam pembinaan stadium baharunya. Kelebihan itu kecil tetapi sedikit membantu.
Bagaimanakah Rupa Stadium Baharu Itu?
Unik. Imej konsep pertama dan model skala bagi stadium baharu yang dicadangkan oleh United telah didedahkan pada pagi Selasa di pejabat Foster + Partners di London, firma arkitek yang diasaskan oleh Sir Norman Foster, seorang anak kelahiran Manchester.
Reka bentuk berbentuk payung gergasi akan menutupi keseluruhan stadium, disokong oleh 3 menara utama. Laluannya akan dipenuhi pokok dan menghubungkan tapak Old Trafford yang sedia ada. Ia menyerupai Olympic Way di Wembley, manakala sebuah plaza awam yang 2 kali ganda lebih besar daripada Trafalgar Square juga akan dibina.
Stadium baharu itu sangat besar. Malah, antara yang terbesar di dunia. Sejak kapasiti Wembley dikurangkan pada tahun 1985, bola sepak Inggeris tidak pernah memiliki stadium berkapasiti 100,000 dan United akan dapat menampung satu pertiga lebih ramai penyokong berbanding kapasiti 74,310 di Old Trafford ketika ini.
Di peringkat Eropah, hanya Camp Nou milik Barcelona (yang kini sedang melalui proses pengubahsuaian) lebih besar. Kapasitinya mencecah 105,000 tempat duduk.
Berapa Lama Pembinaan Stadium Itu Akan Mengambil Masa?
Dari kajian kebolehlaksanaan projek sebesar ini biasanya mengambil masa antara 6 hingga 10 tahun untuk siap sepenuhnya tetapi United optimis ia boleh disiapkan dalam tempoh 5 tahun dari sekarang.
Asas kepada keyakinan ini adalah penggunaan reka bentuk modular. Foster mencadangkan stadium ini boleh dibina dengan menggunakan 160 komponen berasingan yang dibuat di jauh dari tapak pembinaan dan ia akan dipasang disitu selepas dihantar melalui Terusan Kapal Manchester, yang terletak di sebelah tapak stadium baharu.
Ratcliffe membandingkan proses ini dengan Projek ONE, tapak besar milik syarikat petrokimia INEOS yang sedang dibangunkan di Antwerp. Projek itu menggunakan komponen yang dibina di Abu Dhabi, Indonesia dan Thailand sebelum dihantar ke tapak pembinaan.
“Jika kita mula sekarang, saya rasa ia adalah projek 5 tahun, bukannya 10 tahun,” kata Ratcliffe mengenai stadium baharu United pada Selasa.
Secara teori, ia bermakna United boleh berpindah ke stadium baharu pada musim 2030-31, tetapi terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi termasuk sokongan dari segi perundangan dan perancangan.
Jalan ke arah pembinaan ini masih panjang. Cadangan perancangan terperinci perlu dikemukakan dan pembiayaan perlu dipastikan sebelum kerja pembinaan bermula. Sebagai perbandingan, Everton akan bermain perlawanan Liga Perdana pertama di stadium baharunya 4 tahun selepas mereka memulakan kerja rasmi di tapak Bramley-Moore Dock pada Ogos 2020.
Adakah Stadium Baharu Ini Akan Menjadi Gelanggang Untuk Pasukan Wanita?
Buat masa ini, perkara itu masih belum jelas. Pasukan wanita United kini bermain di gelanggangnya sendiri di Leigh Sports Village tetapi beberapa perlawanan Liga Super Wanita (WSL) musim 2024-25 diadakan di Old Trafford.
Perlawanan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Old Trafford ialah derby Manchester menentang City pada 4 Mei tetapi banyak bergantung kepada tahap permintaan daripada peminat.
Apakah Langkah Seterusnya?
Fasa perancangan yang panjang akan bermula tidak lama lagi, di mana United perlu mengemukakan pelan terperinci kepada Majlis Trafford mengenai cara mereka akan menguruskan peningkatan kapasiti dan bagaimana struktur stadium baharu ini akan kelihatan di luar reka bentuk konsep yang telah dipersembahkan.
Proses ini akan memerlukan tempoh perundingan yang lebih luas, memberikan peluang kepada penduduk setempat untuk menyuarakan bantahan mereka. Namun, sokongan yang telah ditunjukkan oleh pihak berkepentingan tempatan termasuk Majlis Trafford, Greater Manchester Combined Authority dan Andy Burnham, mencadangkan bahawa rancangan United mempunyai sokongan kukuh untuk diteruskan.
Apakah Kesannya Terhadap Kawasan Sekitar?
Kenyataan rasmi United pada pagi Selasa disusun dengan tujuan yang jelas. Daripada sekadar mengumumkan rancangan stadium baharu berkapasiti 100,000 tempat duduk, ayat pertama mereka menegaskan sokongan terhadap agenda pertumbuhan kerajaan UK.
Bagi Ratcliffe dan Old Trafford Regeneration Task Force yang ditubuhkannya pada tahun lalu, projek ini sentiasa lebih daripada sekadar pembinaan stadium. Stadium baharu United akan menjadi pusat utama dan ia menjadi sebahagian daripada projek transformasi yang lebih besar.
Perbandingan telah dibuat dengan projek pemulihan Stratford di timur London menjelang Sukan Olimpik 2012 dengan janji untuk memberi nafas baharu kepada kawasan Greater Manchester yang sudah lama terbiar.
Matlamat utama adalah untuk menghidupkan semula kawasan Trafford Park dan Salford Quays, dengan stadium baharu sebagai pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih besar. Cadangan awal termasuk kawasan untuk 17,000 rumah baharu serta peluang perniagaan, runcit dan hiburan bagi menampung kira-kira 1.8 juta pelawat setiap tahun.
Hasil kajian daripada Old Trafford Regeneration Task Force mencadangkan bahawa projek ini boleh menyumbang tambahan £7.3 bilion kepada ekonomi UK dan mewujudkan lebih 90,000 peluang pekerjaan apabila mengambil kira semua aspek projek di luar pembinaan stadium baharu United. Lord Coe menyifatkan ia sebagai salah satu projek pemulihan terbesar yang pernah dilakukan di UK.
Inilah sebabnya Ratcliffe mahu kerajaan UK turut serta. Pada Januari lalu, Canselor Perbendaharaan Rachel Reeves secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap pembangunan semula Old Trafford, dengan janji untuk membina perumahan baharu dan pembangunan komersial di sekitar stadium sebagai pemacu kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.
Reeves juga berjanji untuk memperluaskan lapangan terbang Heathrow dan membangunkan Lembah Silikon Eropah antara Oxford dan Cambridge, tetapi United kini menjangkakan kerajaan akan menyokong projek mereka.
“Saya rasa mereka mahu bergerak pantas dan melihat kemajuan dalam penggal ini,” kata Ratcliffe pada Selasa.
Bukan satu kebetulan apabila Old Trafford Regeneration Task Force merasakan perlu mempamerkan visi mereka di kedua-dua persidangan parti buruh dan konservatif pada musim luruh yang lalu. Permainan politik ini sebenarnya sudah bermula sejak sekian lama.
Apa Kata Kumpulan Penyokong?
United mungkin mengharapkan sokongan sebulat suara terhadap rancangan mereka tetapi terdapat sedikit keraguan selepas pengumuman besar itu dibuat. Manchester United Supporters Trust (MUST) menyifatkan reka bentuk stadium baharu sebagai menakjubkan dan mengujakan, namun mereka tidak mahu terlalu teruja.
“Dengan ketidakpastian mengenai harga tiket musim depan, prestasi buruk di atas padang, spekulasi mengenai penjualan pemain muda utama serta keputusan kewangan terbaru, berita ini mungkin menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan yang jelas,” kata kenyataan MUST.
Tambahnya lagi.
“Sehingga semua persoalan ini terjawab, keyakinan kami terhadap rancangan untuk menjadikan Old Trafford yang terbesar dan terbaik sekali lagi akan dibayangi oleh kebimbangan tentang kesannya kepada peminat.”
Bukankah peminat sudah tidak puas hati tentang harga tiket dan adakah ia menjejaskan kehadiran penonton?
Menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal pada Ahad lepas (yang berakhir dengan keputusan 1-1) kemarahan peminat terhadap pemilik kelab semakin memuncak. Antara keluhan utama penyokong adalah peningkatan harga tiket di Old Trafford.
Pada Disember lepas sebuah kumpulan penyokong, The 1958 mengadakan protes selepas United mengumumkan sebahagian tiket perlawanan akan meningkat kepada £66 pada pertengahan musim. Tiada lagi diskaun untuk kanak-kanak atau warga emas. Dalam surat kepada Ketua Eksekutif United, Omar Berrada, kumpulan itu menyifatkan kenaikan tersebut sebagai eksploitasi terhadap peminat setia kelab.
Tiket bermusim untuk musim 2023-24 telah meningkat sebanyak 5%, selepas dibekukan selama 11 tahun. Ratcliffe sendiri mengesahkan pada Isnin lalu bahawa sedikit lagi kenaikan akan berlaku lagi untuk musim hadapan.
Walaupun perlawanan Liga Perdana di Old Trafford masih mendapat sambutan, ia adalah kerana 51,000 penyokong adalah pemegang tiket bermusim. Kehadiran penonton dalam saingan lain sudah mula merosot. Ia terbukti dalam perlawanan Piala FA menentang Fulham, di mana hanya 67,614 penyokong hadir menyaksikan kekalahan United, jauh lebih rendah berbanding kapasiti maksimum stadium itu. Ia menunjukkan ketidakpuasan hati peminat semakin besar.
Apa Akan Terjadi kepada Old Trafford?
Old Trafford, gelanggang Manchester United sejak tahun 1910, tidak akan digunakan lagi. Semua sejarah dan kenangan di stadium ini akan digantikan dengan stadium baharu yang lebih moden. Struktur lama akan dirobohkan selepas stadium baharu siap dibina. Stadium baharu dengan kapasiti 100,000 tempat duduk akan dibina berdekatan dengan Old Trafford.
Pihak kelab juga perlu memutuskan apa yang akan terjadi kepada patung-patung ikonik di Old Trafford, termasuk patung Sir Alex Ferguson, Sir Matt Busby serta ‘Holy Trinity’ (Bobby Charlton, Denis Law, dan George Best). Mereka perlu menentukan sama ada patung-patung ini akan dipindahkan atau diberikan penghormatan lain di stadium baharu.
Sir Alex Ferguson, pengurus paling berjaya dalam sejarah United, berkata:
“Old Trafford mempunyai banyak kenangan istimewa untuk saya tetapi kita harus berani mengambil peluang ini untuk membina stadium baharu yang sesuai untuk masa depan dan mencipta sejarah baharu.”