Pengadil Ini Mengeluarkan Pistol Untuk Lindungi Diri Selepas Memutuskan Sepakan Penalti Yang Kontroversi

Telah berlaku satu insiden yang dianggap sangat gila dalam sejarah dunia bola sepak, selepas seorang pengadil mengeluarkan sepucuk pistol selepas wisel penamat dibunyikan.

Insiden aneh dan luar biasa itu telah berlaku di Honduras dan ia benar-benar menggemparkan dunia bola sepak.

Rakaman mengejutkan yang memperlihatkan bagaimana seorang pengadil berjalan-jalan ditengah padang sambil membawa pistol, telah tular di media sosial pada ketika ini.

Ia merupakan sebuah perlawanan amatur di pekan barat Honduras, La Jigua dan menurut laporan media tempatan, selepas wisel penamat dibunyikan, pengadil dilihat mengeluarkan sepucuk pistol sambil berjalan-jalan di atas padang.

Laporan sama turut menyatakan yang pengadil tersebut melakukan hal itu kerana beliau mahu melindungi dirinya dari diserang oleh para penyokong.

Hal itu kerana ramai penyokong yang bengang dengan pengadil itu kerana beliau telah menghadiahkan sepakan penalti yang dianggap kontroversi.

Pengadil tersebut turut kenyang makan maki sepanjang perlawanan dan para penyokong juga tidak henti-henti memanggil beliau dengan gelaran ‘anak haram’.

Laporan sama turut mendakwa yang ada seseorang telah menghulurkan pistol tersebut kepada pengadil perlawanan, selepas tamat perlawanan tersebut.

Pengadil itu kemudiannya melepaskan satu das tembakan ke bawah sebagai amaran kepada para penyokong yang pistol miliknya mempunyai peluru.

Insiden seperti ini jelas sangat jarang berlaku dalam dunia bola sepak, dan boleh dikatakan hampir mustahil untuk para peminat melihat insiden seperti ini berlaku.

Walau bagaimanapun, pernah berlaku satu insiden hampir serupa pada tahun 2018 yang lalu, yang mana seorang pemilik kelab telah membawa masuk sepucuk pistol ke tengah padang.

Salah seorang ahli perniagaan berketurunan Rusia dan Greece, Ivan Savvidis yang juga merupakan pemilik PAOK Salonika jelas bengang dan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang membatalkan gol jaringan skuadnya ketika bertemu AEK Athens dalam saingan Greek Superleague.

Savvidis kemudiannya merempuh masuk ke padang bersama pengawal peribadinya, dan mencari pengadil perlawanan sebagai sasarannya.

Beliau sebenarnya sudah dua kali cuba untuk menceroboh padang, dan ketika cubaan keduanya, beliau melakukan satu hal yang lebih extreme dengan membuka jaket dan menunjukkan pistol yang beliau miliki.

Savvidis kemudiannya telah dikenakan hukuman gantung selama tiga tahun dan turut didenda bernilai £87,000.

Sementara pihak kelab sendiri pula dikenakan dengan hukuman penolakkan tiga mata, denda £55,000 dan dipaksa bermain tiga perlawanan di halaman sendiri secara tertutup.

Insiden pemain memaki pengadil, pengadil memaki pemain itu sudah sangat biasa dalam dunia bola sepak, namun insiden seperti ini sememangnya aneh dan tak sepatutnya berlaku.

Walau bagaimanapun, jika pengadil itu tidak membawa pistol, beliau berkemungkinan sudah tekorban, atau mungkin sudah berehat di hospital terdekat pada ketika ini.

Ia kerana para penyokong sememangnya menyerbu ke arahnya ketika wisel penamat dibunyikan, namun sebaik satu das tembakan dilepaskan, kesemua pemain terus melakukan rutin mereka seperti biasa.

Pengadil itu juga boleh bertenang berdiri di atas padang, dan jelas sekali tiada sesiapa yang berani untuk mendekatinya, apa lagi untuk memaki dan mengapa-apakan beliau.

Sehingga kini, masih tidak pasti adakah pengadil itu akan dihukum atau tidak, dan andai beliau dihukun, tentunya beliau akan berdepan dengan hukuman yang berat atas kesalahannya.

Hal seperti ini tidak seharusnya berlaku dalam dunia bola sepak dan semoga saja tidak akan ada lagi insiden seperti ini berulang lagi di masa hadapan.

Sumber: SB

BACA:  Berapakah Gaji Pengadil Premier League dan Liga Eropah Yang Lain?