Pengadil Perlawanan Akhir UCL 2018 Berpesta Selepas Kejayaan Real Madrid Tewaskan Liverpool

Pengadil yang mengadili aksi perlawanan akhir saingan Champions League antara Liverpool dan Real Madrid pada tahun 2018 dikatakan berpesta selepas tamat perlawanan.

Pembantu Jurgen Klopp, Peter Krawietz mendedahkan yang pengadil tersebut berpesta sambil menyanyi sakan meraikan kejayaan Real Madrid memenangi perlawanan tersebut.

Aksi perlawanan akhir pada ketika itu tidak dinafikan lagi sememangnya penuh dengan drama dengan Real Madrid pada ketika itu berjaya menewaskan Liverpool 3-1.

Dua gol jaringan Gareth Bale dan satu gol jaringan Karim Benzema sudah cukup untuk mengesahkan gelaran Champions League ketiga mereka secara berturut-turut di bawah kendalian Zinedine Zidane.

Terlalu banyak hal yang berlaku dalam perlawanan tersebut yang telah mengundang kontroversi dan menjadi topik perbualan hangat para peminat.

Mohamed Salah tidak dapat menghabiskan perlawanan tersebut kerana dibelenggu masalah kecederaan lengan akibat ditarik oleh Sergio Ramos.

Ada juga dakwaan yang mengatakan bahawa Mohamed Salah sendiri yang mencederakan dirinya dengan berpaut pada Sergio Ramos sebelum terjatuh.

Antara isu lain paling hangat dibincangkan adalah isu melibatkan kedunguan penjaga gol utama Liverpool pada ketika itu, Loris Karius.

Karius telah menghadiahkan gol percuma kepada Real Madrid selepas dengan mudahnya beliau melorongkan bola ke kaki Benzema yang kemudiannya sekadar menahan bola itu untuk membuka tirai jaringan Real Madrid.

Gareth Bale turut berjaya mencipta nama dalam perlawanan tersebut selepas kejayaan beliau menjaringkan gol yang sungguh luar biasa menakjubkan untuk bantu Real Madrid mencatatkan kemenangan.

Ia jelas sekali kekalahan yang sangat pedih untuk skuad kendalian Jurgen Klopp itu dan ia masih terkesan sehingga ke hari ini walau mereka sudah berjaya memenangi gelaran Champions League pada musim berikutnya.

Menjelang aksi perlawanan akhir yang menemukan kedua-dua pasukan itu di Paris pada tahun ini, pembantu Jurgen Klopp, Peter Krawietz tampil mendedahkan tentang situasi mendukacitakan selepas tamat perlawanan tersebut.

“Di Kiev, bilik persalinan di sana seolah-olah bilik rawatan.”

Jelas Peter Krawietz kepada The Athletic pada tahun 2019 yang lalu.

“Bayangkan yang kamu masuk ke sana dan seorang lelaki yang sudah pergi ke hospital dan sudah kembali pulang, dia dalam kesakitan dan menangis. Dan kemudian kamu dengar lawan kamu berpesta.”

“dan di sebelah bilik persalinan itu pula, pengadil turut berpesta sama. Saya tak tahu kenapa, tapi mereka menyanyi dan berpesta bersama satu kotak bir.”

“Bagi kami, ia situasi yang sangat teruk.”

Tambah Krawietz lagi.

“Untuk mencari reaksi yang betul itu susah. Tapi itu semua memang sebahagian dari itu. Kamu perlu tunjukkan kekuatan dan semangat walau kalah. Dan perlu tunjuk reaksi yang tepat.”

“Ya, mereka memang menyakitkan kami, tapi mereka tak terus jatuhkan kami. Kami kecewa, tapi itu bukan pengakhiran.”

Liverpool jelas sekali akan sangat berharap mahu membalas dendam atas kekalahan pada tahun 2018 yang lalu dengan mereka bertekad mahu menewaskan Madrid di Paris nanti.

Selepas kejayaan mereka menjulang gelaran FA Cup dan Carabao Cup, The Reds jelas sekali dianggap calon kegemaran untuk melengkapkan treble mereka di Paris nanti.

Mohamed Salah percaya aksi pada hujung minggu ini merupakan kesempatan emas untuk beliau membalas dendam atas kekalahan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, komen dari Mo Salah itu tidak diterima dengan baik oleh Valverde yang menganggap bintang Mesir itu biadap.

Valverde anggap Salah tak menghormati Real Madrid

Mohamed Salah dianggap bersikap biadap terhadap Real Madrid dan dakwaan itu seolah-olah semakin memanaskan aksi perlawanan akhir saingan Champions League yang akan dilangsungkan hujung minggu ini nanti.

Liverpool sepertinya akan lebih bersemangat untuk mengakhiri saingan musim ini dengan memiliki piala ketiga mereka di Paris selepas kegagalan mereka menjulang gelaran Premier League.

Kegagalan Liverpool menjuarai saingan Premier League jelas sekali telah mengecewakan Mohamed Salah apa lagi selepas beliau sedar yang The Reds sudah hampir untuk memenangi gelaran liga minggu lalu.

Ketika Man City mendahului Aston Villa dengan keputusan 3-2, Salah berjaya menjaringkan gol pendahuluan untuk Liverpool dan beliau sempat terpedaya dengan keputusan palsu 3-3 di Etihad.

Ketika beliau sedar yang Villa masih ketinggalan, bintang Mesir itu jelas sekali nampak kecewa dan kekecewaan itu kekal sehingga detik beliau mengambil hadiah kasut emas selepas tamat perlawanan.

Walau bagaimanapun, Salah tentunya mahu setidak-tidaknya mengakhiri saingan musim ini dengan membantu Liverpool membalas dendam terhadap Real Madrid, seterusnya menjuarai saingan Champions League.

Beliau gagal untuk mengakhiri aksi ketika perlawanan akhir saingan Champions League pada tahun 2018 yang lalu kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Maka kerana itulah aksi perlawanan akhir pada musim ini dianggap sebagai misi balas dendam oleh Mohamed Salah.

Pemenang kasut emas Premier League itu bahkan turut menyebut nama Real Madrid sebagai lawan idaman beliau di pentas perlawanan akhir sejak dari aksi di peringkat separuh akhir lagi.

Selepas The Reds sah layak ke perlawanan akhir, Mohamed Salah mendedahkan beliau berharap agar Real Madrid berjaya tewaskan City kerana beliau mahu membalas dendam di pentas perlawanan akhir.

Walau bagaimanapun, komen Salah itu sepertinya tak diterima dengan baik oleh para pemain Real Madrid, dengan Federico Valverde mendakwa komen itu satu hal yang biadap.

“Jelas sekali memang setiap perkataan yang keluar dari mulut setiap orang itu adalah pilihan dia sendiri.”

“Saya lawan dia dan ia seolah-olah tak menghormati logo Real Madrid, pemain Real Madrid.”

“Satu-satunya hal yang perlu kami lakukan adalah berikan yang terbaik, cuba tunjukkan mengapa kami ada di pentas perlawanan akhir dan mari berharap kami akan mampu berikan satu piala lagi kepada Real Madrid.”

Tidak pasti mengapa Valverde menganggap komen Salah itu sebagai satu hal yang biadap kerana sepertinya tiada masalah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh bintang Mesir itu.

“Saya mahu bermain bertemu Real Madrid, saya sekadar mahu jujur.”

Komen Salah kepada BT Sport yang dianggap biadap oleh Valverde itu.

“Manchester City merupakan pasukan yang hebat, kami sudah bermain beberapa kali bertemu mereka musim ini.”

“Jika kamu tanya saya secara peribadi, saya lebih memilih Madrid. Kami kalah perlawanan akhir sebelum ini, saya mahu bermain bertemu mereka dan semoga kami menang.”

Sepertinya komen Salah tidak lah dianggap biadap atau tak menghormati Real Madrid seperti apa yang dilakukan oleh Kylian Mbappe, hingga boleh mengundang kemarahan Valverde.

Memandangkan kedua-dua pasukan telah melakukan comeback ketika aksi peringkat separuh akhir sebelum ini, maka jelas sekali aksi perlawanan akhir nanti sudah tentu akan sangat menghiburkan.

Para peminat juga tentunya sudah tidak sabar mahu menyaksikan aksi perlawanan akhir saingan Champions League minggu ini yang menemukan dua kelab terhebat dunia itu.

Siapa agaknya akan muncul juara nanti, Liverpool atau Real Madrid? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ole Gunnar Solskjaer Goyang Masalah Kecederaan Ganggu Aksi Bertemu Liverpool